Andai Aku Affrina

Posted: Friday, May 29, 2009 by WZWY in Labels: ,
0

Novel remaja setebal 264 muka surat ini merupakan novel pertama yang saya miliki hasil terbitan GISB. Pada peringkat awal saya agak mengambil masa untuk membaca novel ini disebabkan tugasan harian, tetapi setelah saya selesai membaca bab ke-4 saya terus membaca sehingga selesai bab ke-14 sehingga jam 1 pagi.

Walaupun ia berkaitan remaja perempuan yang berumur 14 tahun, saya begitu tertarik dengan susunan penceritaan serta bahasa yang mudah dan biasa digunakan dalam kehidupan seharian.

Oleh kerana saya pun masih baru hendak berjinak-jinak dengan dunia penulisan novel ini, ia banyak memberi pendedahan dan motivasi untuk hasilkan satu karya yang baik pada satu hari nanti.

Pada mulanya, saya tertanya-tanya siapakah Affrina kerana watak utama dalam novel ini ialah Alia. Kebijaksanaan penulis menggarap watak-watak dalam novel ini menjadikan pembaca begitu selesa untuk terus membaca dan mengikuti setiap bab dalam novel ini.

Secara ringkasnya, novel ini amat baik sekali untuk dibaca terutama golongan remaja kerana ia memberi satu pengalaman yang bermakna dan wajar dijadikan teladan untuk semua sebagai remaja Islam.

:) Hanya catatan seorang yang baru hendak bermula...

Patuhi Syarat Menjadi Penulis

Posted: Friday, May 22, 2009 by WZWY in Labels:
0

Dalam apa jua bidang yang diceburi, pasti ada syarat-syarat yang wajib dipatuhi jika ingin berjaya dalam bidang tersebut.

Berdasarkan pembacaan saya tentang dunia penulisan ini, antara syarat-syarat yang wajib saya patuhi dan ikuti ialah :

1- Minat Untuk Membaca.
2- Minat Terhadap Ilmu
3- Rajin Menelaah
4- Bertanggungjawab
5- Jujur
6- Ikhlas Dengan Penulisan
7- Bersedia untuk dikritik.
8- Gigih dan Sabar.
9- Sanggup mengubah rutin hidup.
10- Mulakan menulis.....

Sukar atau tidak jika sudah ada tekad dan keazaman membara dalam diri, apa juga halangan pasti jua akan diredahi. Hendak atau tidak, jika ingin berjaya, patuhi segala syarat-syaratnya dan jangan mudah untuk menyerah kalah sebelum berjuang. Bak kata peribahasa " kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya". Semoga keazaman ini akan terus berkekalan dan semakin meningkat. Tanya diri, apa yang aku mahu, apa yang aku kejar, apa yang aku tahu, apa yang aku takutkan?....

* cadangan untuk dibaca : Buku 'menjadi penulis jutawan' (Nimoiz TY), Tips Menjadi Penulis Bestseller ( zamri Mohamad)
* jika ada cadangan lain, silakan....

Siapa Diri Kita Sebenarnya?

Posted: Wednesday, May 20, 2009 by WZWY in Labels:
0

Siapa aku sebenarnya? Persoalan ini sentiasa bermain dibenak kepala bagi yang cuba untuk mengenali siapakah dirinya sebenarnya. Sama ada seseorang itu guru, doktor, peguam, imam, peniaga atau apa sahaja pekerjaannya, ia belum menggambarkan siapa diri kita sebenarnya.

Mengikut buku Trading Chaos yang saya baca sebelum ini, penulis menyatakan bahawa jika ingin mengenali siapa diri kita sebenarnya, kita perlu melihat diri kita dicermin selama tiga puluh minit pada setiap hari dan tanya berulangkali siapakah aku sebenarnya? Insyallah selepas itu, lama kelamaan kita akan kenal siapa diri kita.

Walau bagaimanapun berdasarkan tulisan Hj Ahmad Salim Omar yang dipetik dalam majalah Solusi ialah yang menentukan siapa diri kita sebenarnya ialah hati kita dan perasaan kita. Itulah hakikat diri kita sebenarnya. Bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada segumpal daging bila keadaanya baik maka baik pula seluruh anggotanya dan bila rosak, rosak pula seluruh anggota badannya. Ketahuilah bahawa itu adalah hati".

Oleh itu, jika hati kita tidak merasai kebesaran kekuasaan Allah s.w.t, hati kita tidak dekat dengan ayat-ayat Al Quran, hati kita tidak rasa untuk berjemaah di surau atau masjid, hati kita masih lagi ingin melakukan perbuatan-perbuatan mungkar, hati kita masih ingin terus bergelumang dengan noda dan dosa. Maka dengan itu kita perlu segera bertaubat dan meninggalkan segala perlakuan dan perbuatan yang dilarang oleh-Nya. Semoga dengan usaha itu, kita akan mengenali diri kita dan seterusnya mendekatkan diri dengan Maha Pencipta kita.

Oleh itu, kita perlu memberi fokus kepada hati dan memastikan ia selaras dengan kehendak Islam. Jika hati kita bermuafakat dengan kehendak Allah, maka kehidupan kita akan lebih bermakna dan menemui jalan kebahagiaan. Segala kesukaan Allah menjadi kesukaan kita dan seterusnya setiap perbuatan kita menjuruskan kepada iman dan takwa.Dengan itu, segala pekerjaan dan tanggungjawab kita akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya selaras dengan kehendak Islam tanpa berlaku apa-apa penyelewengan dan seumpamanya.

Kita adalah makhluk ciptaan-Nya, setiap pergerakan, percakapan dan apa jua yang kita lakukan termasuk dalam kekuasaan-Nya. Jadi, kenali diri dengan sebaik-baiknya, apa kehendak kita, apa kemahuan kita dan pastikan ia tidak berlawanan dengan kehendak ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Insyallah jika kita ikhlas dalam setiap perbuatan kita, maka ia akan dipermudahkan oleh Allah s.w.t dan menerima ganjaran yang setimpal.

Wassalam!

TIADA ISTILAH GAGAL UNTUK ORANG BERJAYA

Posted: Sunday, May 17, 2009 by WZWY in Labels:
0

Siapa yang ingin gagal? Rasanya dalam sepuluh orang ditanya, pasti jawapan mereka tetap sama iaitu ingin berjaya dalam hidup.Walau bagaimanapun kenapa masih ramai yang gagal dalam usaha yang mereka lakukan? Adakah Allah SWT itu zalim? Sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Cuma yang penting kita kenali siapa diri kita, istiqamah dengan apa yang dilakukan dan melaksanakan segala perintah Allah SWT.

Kenapa saya baru hendak bermula sekarang sebagai penulis? Kenapa tidak sepuluh tahun dahulu? Adakah semua usaha dahulu menemui kegagalan? Bolehkah saya menjadi seorang penulis? Nampaknya pelbagai persoalan yang harus saya selesaikan.Walau bagaimanapun adalah cukup untuk saya nyatakan bahawa perkara-perkara yang dilakukan sebelum ini dianggap sebagai proses belajar untuk mematangkan diri.

Secara ringkas apa yang telah diusahakan sebelum ini selain tugas rasmi sebagai seorang pendidik sejak penghujung tahun 1994 dan lokasi pertama ditempatkan ialah di SMK Tungku, Lahad Datu, Sabah. Ia suatu pengalaman yang sukar pada waktu itu tetapi saya percaya masih ramai lagi rakan-rakan yang lebih sukar dalam menabur bakti sebagai pendidik terutama di Kepulauan Borneo ini. Kisah semasa bertugas di Sabah akan diceritakan pada masa-masa akan datang, Insyallah.

Selepas bertugas di Lembah Klang, ia suatu pengalaman yang jauh berbeza. Semua perkara perlu dilakukan dengan pantas dan bijaksana. Jika tidak, kita akan hanyut dan gagal menempatkan diri dalam suasana kota kosmopolitan ini. Semua perkara memerlukan kos sama ada ia besar atau kecil. Oleh itu, bermulalah pengalaman yang tidak pernah dilakukan semasa bertugas di Sabah selama lapan tahun iaitu menjadi guru tuisyen dari rumah ke rumah, multilevel marketing (MLM), agen insurans dan seterusnya pedagang matawang asing dalam talian.

Pelbagai pengalaman ditempuhi dan banyak suka duka dalam mengharungi kehidupan dengan melakukan dua tiga kerja dalam satu masa.Walau bagaimanapun ia bukanlah sesuatu perkara yang pelik dan ia sudah menjadi satu 'budaya' apabila tinggal di bandar-bandar besar terutama di Lembah Klang ini. Dalam senarai pekerjaan separuh masa yang pernah dilakukan, pekerjaan sebagai pedagang mata wang asing dalam talian atau pun lebih popular dikenali sebagai 'Forex Trading' yang agak mencabar dan memberi pulangan yang agak lumayan. Walau bagaimanapun dengan pelbagai isu yang berlaku, maka saya harus mencari alternatif untuk meneruskan kehidupan ini dengan lebih bermakna lagi. Oleh itu, salah satu usaha yang sedang dilakukan ialah menempatkan diri dalam Zon Planet Penulisan. Semoga usaha ini diberkati dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Semoga kita berjumpa lagi dalam pos seterusnya tentang mengenali diri kita yang sebenarnya dan syarat-syarat yang wajib saya lakukan jika ingin menjadi penulis.

Wassalam!

SIAPA KATA TIDAK BOLEH....

Posted: Friday, May 15, 2009 by WZWY in Labels:
0


" Sejauh mana kesungguhan anda untuk meneruskan cita-cita bergantung kepada betapa kuatnya keazaman anda untuk memilikinya "

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Hormat buat tuan/puan yang sudi singgah di blog ini. Sebagai pos pertama di blog ini, saya petik kata-kata di atas yang diambil daripada buku 'Keazaman Membara' hasil tulisan Dr Asrul Zamani. Sememangnya setiap individu yang bercita-cita tinggi memerlukan keazaman yang kuat bagi memastikan apa jua cita-cita yang dimpikan menjadi suatu realiti.

Bagi merealisasikan impian untuk menjadi salah seorang yang bergelar penulis, ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu dilakukan dan memerlukan pengorbanan bagi menggapai cita-cita tersebut. Oleh itu, siapa kata kita tidak boleh untuk mencapai apa jua cita-cita kita selagi kita belum bermula. Bagi menjadi seorang penulis, kita perlu menjadi seorang pembaca, dan bukan sekadar membaca apa yang kita minat sahaja tetapi dalam pelbagai topik dan bidang.

Pesan Pak Ya ( En Zakaria Sungib) seorang Editor Kanan di Galeri Ilmu Sdn Bhd, sebagai langkah pertama untuk berada dalam dunia penulisan, kita perlu memberi rangsangan kepada diri kita untuk menulis. Bina keyakinan diri dan keazaman yang kuat untuk menjadi seorang penulis. Dan ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika ia disertakan dengan minat dan usaha yang berterusan. Pasti kejayaan akan menjelma suatu hari nanti.

Tambah beliau, seorang penulis perlu bijak membahagikan masa dan sedia berkorban untuk mengubah rutin kehidupan biasa. Oleh itu apa yang perlu diubah? Jawapan yang boleh diberikan ialah segala perkara yang dilakukan selain urusan kerja, tanggungjawab terhadap keluarga dan urusan ibadah kepada Yang Maha Esa wajar dikurangkan dan penuhi masa tersebut dengan perkara yang berkaitan dengan dunia penulisan sama ada membaca, ,mengkaji atau pun menulis.

Saya masih tidak layak untuk memberi apa-apa pandangan kerana masih lagi mencari rentak apa yang perlu dilakukan untuk bermula sebagai penulis.Saya juga masih tercari-cari apakah bidang penulisan yang sesuai dengan diri saya. Apa yang saya tahu ialah mencari sebanyak mana informasi dan ILMU untuk menjadi seorang penulis. Hasil daripada ILMU itulah akan membimbing saya ke arah menjadi seorang penulis. Langkah awal yang telah dilakukan ialah membeli buku-buku yang berkaitan, mencari maklumat di internet dan berjumpa dengan mereka yang mahir dalam dunia penulisan.

Apakah langkah seterusnya? Izinkan saya lakukan dengan sempurna langkah-langkah awal tersebut.

Wassalam!

* sedang berusaha untuk menyertai bengkel/seminar penulisan seperti Bengkel Penerapan Nilai Islam Dalam Novel (GISB),Akademi Penulis, UNIKA PTS & Seminar dan Bengkel Penulis Bebas. Insyallah dipemudahkan oleh Allah SWT.