Tinggalkan Income RM7000

Posted: Thursday, August 27, 2009 by WZWY in Labels:
3

Salah seorang kenalan memaklumkan bahawa dia telah meletak jawatan sebagai seorang agen kaji selidik salah sebuah syarikat.

"Macam mana sekarang?" tanya saya.

"Alhamdulillah, tapi dekat-dekat raya ni aku telah berhenti kerja," kawan.

"Kenapa?Bukankah dulu kau bekerja di salah sebuah syarikat yang melakukan kaji selidik," soal saya lagi.

"Ya, betul,"

"Apa sebab berhenti? Pendapatan tidak lumayan ke?" soal saya lagi ingin tahu.

"Bukan macam tu, income aku dua minggu dalam tiga ribu ringgit," kawan menunjukkan 3 batang jari.

"Wow, hebat. Habis tu kenapa berhenti?" soal saya lagi.

"Masalah hukum," jelas kawan.

"Hukum?"

"Ya, sebab aku risau tentang pendapatan daripada gaji aku,"

"Maksudnya?" tanya saya ingin lebih tahu.

"Syarikat ada membuat kaji selidik tentang syarikat arak dan sudah tentu incomenya juga datang daripada syarikat arak. Jadi aku sanggup berhenti dan tidak ingin bersubahat," terang kawan lagi penuh yakin.

"Subhanallah!" terpacul daripada mulut saya secara tiba-tiba.

"Pengurus tempat aku bekerja pun sanggup meninggalkan jawatannya, kalau dibandingkan gajinya lebih besar daripada aku," sambung kawan lagi.

"Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang benar dan mencari kebenaran,"

"Jadi apa projek sekarang," soal saya.

"Teruskan kerja lama yang satu lagi, walaupun income tidaklah sekencang agen kaji selidik," balas kawan dan melihat air tenang di Tasik Shah Alam.

Begitulah sedikit sedutan kisah benar seorang kawan yang sanggup melupakan pendapatan mencecah RM7000 sebulan demi mencari rezeki halal dan diredhai Allah. Semoga dia dirahmati dan diberi kekuatan oleh Allah.

Solat Dhuha: Magnet Rezeki

Posted: Monday, August 24, 2009 by WZWY in Labels:
3

Cuaca agak panas pada petang ini. Sukri merenung jauh seperti memikirkan sesuatu. Mungkin ia agak rumit atau sukar untuk digalas olehnya.Di tepi tasik inilah biasanya dia akan menenangkan fikiran.
"Apa yang dikenang tu, jauh nampak!" bicara Fuad dan menepuk bahu sahabat baiknya.
"Eh, kau rupanya, buat terperanjat aku saja," Sukri mengurut dada terkejut dengan kehadiran rakannya secara tiba-tiba.
"Apa lagi yang boleh aku buat sekarang?" 
"Kenapa?" Fuad menyoal semula minta kepastian dan duduk bersebelahan Sukri.
"Entahlah, sejak perniagaan Forex ini menjadi isu halal dan haram," Sukri meluahkan apa terbuku sejak seminggu lepas.
"Oh! Ingatkan fikir nak tambah cawangan," kata Fuad dan tersenyum.
"Ceh! Ke situ pulak kau berfikir," balas Sukri pantas.
"Jadi, apa masalahnya, buatlah bisnes lain. MLM ka Insurans ka, atau pun jual apa-apa yang patut," nasihat Fuad.
"Kau cakap senang, kau kan tahu sudah hampir 2 tahun aku belajar dan buat benda ni. Aku rasa inilah saja jalan untuk aku mencari nafkah tambahan," jelas Sukri semoga sahabatnya faham.
" Allah berfirman dan maksudnya, Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba dan dia pula yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala sesuatu. Petikan ayat 62, surah al-Ankabut," Fuad memandang sahabatnya yang dalam kerisauan.
"InsyaAllah, kita akan dikurniakan rezeki lain, yang pasti kita berusaha," tambah Fuad lagi.
"Aku tahu rezeki Allah melimpah ruah atas muka bumi ini, tapi aku buntu dan tidak tahu apa harus aku buat sekarang," Sukri menggaru-garukan kepala.
"Kau dah solat?" tanya Fuad.
"Solat apa? Dah pukul 6 petang ni," Sukri kehairanan.
"Maksud aku, solat dhuha. Solat antara pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari," 
"Hmmmm.." 
"Maknanya kau tak buatlah tu," Fuad sudah maklum dengan sahabatnya.
"Rasulullah menganjurkan solat dhuha supaya umatnya melaksanakan dengan istiqamah hingga kita terlepas daripada jerat kemiskinan dan mendapat kemudahan rezeki," sambung Fuad lagi.
Sukri mengangguk dan mendengar penuh khusyuk.
"Sesiapa mengerjakan solat dhuha 2 rakaat, maka Allah menghadiahkan kepadanya sebuah istana daripada emas dalam syurga, ini adalah hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi," terang Fuad lagi bagi menenangkan perasaan sahabatnya dalam keadaan gundah.
"InsyaAllah, esok pagi aku akan mula solat dhuha," wajah Sukri menampakkan keceriaan bagai terlepas beban dipikul.
"Alhamdulillah,solat dhuha bukan sahaja memudahkan rezeki tetapi ia akan mendekatkan kita dengan Allah," sambung Fuad lagi.
"Terima kasih kerana menyedarkan aku," Sukri memegang tangan sahabatnya.
"Sama-sama, lagi pun kita sesama manusia harus ada ingat mengingati," jelas Fuad tersenyum puas apabila sahabatnya mula memahami rezeki Allah itu maha luas.
Kedua-dua sahabat bangun dari kerusi dan menuju ke kereta setelah jam menunjukkan sudah hampir waktu berbuka puasa.

Puasa dan Ayam Golek

Posted: Sunday, August 23, 2009 by WZWY in Labels:
0

Ayam Golek oh Ayam Golek! Semalam selepas mengunjungi kedai buku MPH di Giant Seksyen 13 Shah Alam. Hidupkan enjin kereta menuju ke tapak Bazar Ramadhan yang berada bersebelahan. Oleh kerana agak terleka di kedai buku, sempatlah khatam membaca sebuah buku dan beli sebuah novel terjemahan Indonesia 'Mukjizat Cinta'. Bukan apa, apabila seorang rakan di tempat kerja menceritakan tentang kekagumannya terhadap novel-novel seberang. Oleh itu, saya juga ingin menikmati keindahan isi cerita novel tersebut. Secara jujur, saya masih belum kesempatan membaca novel-novel 'bestseller' seberang.
Sambung cerita ayam golek pula, apabila berasak-asak masuk 'parking' ke kawasan bazar ramadhan bersebelahan Stadium Malawati. Maka mata mencari arah mana gerai menjual ayam golek. Kelihatan ramai pengunjung dan saya terus menghala ke arah bau asap di satu penjuru bazar. Bukan main menusuk ke kalbu. Kurus puasa macam ni kalau dihirup lama-lama bau asap ayam golek  ini.

Masyallah!Apabila sampai saja ke gerai tersebut, sebaris panjang pengunjung yang awal-awal lagi beratur untuk membeli ayam golek. Macam nak beli tiket bas di Puduraya. Dua-dua gerai ayam golek sama saja. Oleh itu, terpaksa melupakan hasrat berbuka dengan ayam golek pada hari ini. Tengok-tengok apa pilihan yang ada, kepala pun dah pening dangan lautan manusia semakin ramai mengunjungi tapak gerai. Siapa kata kita dalam  kekegawatan ekonomi, malah kegerunan dengan penularan wabak H1N1 masih belum mampu menyekat orang ramai ke bazar ramadhan ini. Syukur pada permulaan bulan Ramadhan ini tiada kes kematian wabak ini. Semoga ia berterusan dan wabak ini lenyap di bumi Malaysia ini.

Akhirnya, tiada pilihan belilah sup daging dan dua jenis kuih untuk santapan berbuka nanti. Begitulah sedikit sebanyak rutin kehidupan di bulan puasa. Masing-masing sibuk untuk mencari juadah berbuka apatah lagi dekat-dekat waktu berbuka. Nampak gaya esok pula saya cari ayam golek. Begitulah hari pertama puasa dan ayam golek.

Bulan Penuh Berkat

Posted: Saturday, August 22, 2009 by WZWY in Labels:
0

Bulan Ramadhan datang lagi. Petang semalam pun saya sendiri terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan juga kesibukan ramai orang yang mengunjungi pusat membeli belah. Persiapan barang dapur menjadi agenda wajib tetapi dibulan puasa ini ia agak istimewa. Ia bukan hanya persiapan berbuka tetapi makanan untuk bersahur perlu disediakan.

Petang nanti, suasana cukup biasa bagi orang Malaysia ialah pelbagai juadah dan entah dari mana datang bermacam-macam makanan akan muncul di bazar Ramadhan. Semua kelihatan sibuk dengan pesiapan untuk berbuka. Jari sepuluh belum tentu cukup untuk membawa plastik dipenuhi makanan dan minuman.

Begitu juga di surau atau masjid, pada minggu pertama akan dipenuhi jemaah. Imam, bilal dan AJK masjid/suaru tersenyum lebar apabila rumah Allah menjadi tumpuan berbanding sebelum ini hanya sebaris atau tidak cukup pun sebaris datang berjemaah. Masuk minggu kedua ia akan menyusut dan sehinggalah hari-hari terakhir 10 Ramadhan, pusat-pusat membeli belah menjadi tumpuan. Surau dan masjid kembali sepi. Adakah ini perlu kita jadikan rutin masyarakat kita? Adakah senario ini perlu kita isi dalam bulan penuh keberkatan ini? Semoga tahun ini kita semua mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Apatah lagi dengan penularan penyakit-penyakit baru di dalam dunia. Sepatutnya ia menjadi petunjuk untuk mempertingkatkan keimanan dalam diri.

Salam Ramadhan!

Takutkan Siapa?

Posted: Sunday, August 16, 2009 by WZWY in Labels:
0

"Tolong ambil fail di atas meja sana," Lina tanpa membantah pantas ke arah meja di tepi pintu masuk.

"Saya mahu awak beritahu semua staf bahawa kita sekarang ada peraturan baru di pejabat ini," Lina mengangguk faham dan mengambil memo untuk dicetak dan diedarkan.

"Sila keluar sekarang!" perintah Dato' Abu sambil menghempas fail ke meja. Lina masih terpingga-pingga memikirkan apakah kesalahan telah dilakukannya terus keluar dengan wajah sugul.

Itulah sebahagian dialog atau peristiwa sering berlaku dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang pekerja. Kita bukan hamba kerana dibayar gaji tetapi kita akan akur setiap perintah ketua atau bos.

Kita juga akan tergopoh gapah pada saban pagi kerana bersiap-siap ke pejabat. Jika tidak, punch card merah menanti. Kita akan siapkan kerja mengikut jangka masa ditetapkan.

Begitu juga sebagai seorang pelajar,kita akan siapkan tugasan diberikan mengikut jadual dan memastikan hasil kerja kita adalah yang terbaik.Masing-masing berlumba-lumba untuk lulus cemerlang.

Walau bagaimanapun kehidupan kebanyakan manusia hari ini cukup berbeza dan lupa kepada tanggungjawab utama yang wajib ditunaikan. Saudara-saudara lihat di sekeliling, apakah realitinya yang berlaku. Adakah semuanya mengikut apa yang digariskan oleh Allah s.w.t?Adakah saya atau saudara-saudara seperti mereka?

Firman Allah s.w.t :
Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling dari pada-Nya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya). ( Surah al-Anfaal:20)

Manusia lebih takutkan perintah dan arahan ciptaan manusia berbanding perintah dan arahan Allah s.w.t.Kenapa perkara ini boleh berlaku? Siapa Bos atau Tuan kita sebenarnya? Milik siapakah kita ini?

Kita hanya manusia biasa yang tidak sunyi melakukan kesilapan atau kesalahan. Mungkin ia disengajakan atau sebaliknya. Jika tersedar, kita memohon keampunan-Nya. Semoga kita sentiasa berada di atas landasan kehidupan seorang muslim atau muslimah diredhai-Nya.

Fikir-fikirkan : Majikan/Bos/Ketua kita hanya mampu menyediakan gaji dan kemudahan di dunia semata-mata, tetapi Allah memberikan ganjaran tidak terhingga di dunia dan di akhirat. Oleh itu, sama-sama kita mengimbangi perintah atau arahan kedua-duanya. Semoga kita termasuk ke dalam golongan orang-orang beroleh kejayaan.

Wallahualam!

Al Fatihah Buat Ustaz Asri Rabbani

Posted: Thursday, August 13, 2009 by WZWY in Labels:
0

Al fatihah buat Allahyarham Ustaz Asri "Rabbani". Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Sedih apabila mula-mula baca SMS tentang berita tersebut pagi tadi. Masih teringat semasa arwah datang ke sekolah saya bertugas memberi ceramah Maulidur Rasul pada 25 April 2008.
_____________________________

Kemaskini : 14 Ogos 2009
Alhamdulilah, pagi tadi sempat menziarahi pusara Allahyarham. Didoakan semoga keluarga Allahyarham akan tabah dan sabar dalam menempuhi kehidupan seharian.

Tahniah! Sasterawan Negara ke 10

Posted: Wednesday, August 12, 2009 by WZWY in
0


KUALA LUMPUR - Tokoh sastera dan bahasa, Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan atau nama penanya Anwar Ridhwan menyifatkan pengumuman beliau sebagai penerima anugerah Sasterawan Negara ke-10 semalam umpama hadiah hari lahirnya ke-60 tahun pada 5 Ogos lalu.

Bukan itu sahaja, pengiktirafan tersebut juga dianugerahkan kepadanya selepas genap 40 tahun beliau berkecimpung dalam bidang penulisan.

"Saya bersyukur. Anugerah ini agak berat, bagi saya ia satu amanah bangsa, amanah sastera dan amanah seni yang harus saya pikul. Saya cuba untuk pikul sebaik mungkin dan saya akan terus berkarya tetapi kali ini lebih selektif,'' katanya ketika ditemui Kosmo! di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini semalam.

Menurut beliau, tengah hari semalam merupakan detik terindah buat dirinya apabila menerima satu khidmat pesanan ringkas daripada seorang rakannya yang memberitahu dirinya terpilih sebagai penerima anugerah tersebut ketika beliau sedang menghadiri satu seminar di Aswara.

Berita dipetik daripada akhbar Kosmo (12 Ogos 2009)

CCTV oh CCTV

Posted: Monday, August 10, 2009 by WZWY in Labels:
0

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan khas berjumlah RM75 juta untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko jenayah yang tinggi di negara ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini.

Beliau berkata buat permulaan, bantuan itu akan diberikan kepada 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berisiko jenayah tinggi berdasarkan statistik polis tetapi menghadapi masalah kewangan untuk memasang CCTV.

Selain itu, PBT di Johor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan antara kawasan yang akan mendapat bantuan pemasangan CCTV sebelum dilaksanakan di seluruh negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Hartanah Tahunan 2008 di sini.
________________________________________

Saya rasa semua sudah maklum apa, bagaimana, bila, di mana, kenapa dan pelbagai persoalan lagi tentang penggunaan CCTV. Secanggih mana CCTV itu, kegiatan jenayah masih lagi terus berleluasa. Kenapa berlaku demikian?

Jawapan = TAKWA kepada Allah s.w.t

Selagi manusia di atas muka bumi ini hidup tanpa bersandarkan kepada hukum Allah s.w.t, maka gejala sosial ini berterusan menjadi satu penyakit kepada kita semua.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu”.{Al Hujuraat 13}

Jika seseorang itu takutkan Allah, kehidupan seharian kita diibarat sedang berada di bawah sebuah CCTV Yang Maha Kuasa. Di mana sahaja kita berada, kita tidak dapat elak dan sembunyikan diri.

Kata seorang penceramah motivasi yang saya sempat tonton di kaca TV beberapa hari lepas, untuk mengukur seseorang itu bertakwa atau tidak mudah sahaja. Setiap perlakuannya itu berlandaskan hukum Allah sama ada secara terang atau bersembunyi. Contohnya: Jika seseorang itu ada kuasa atau pangkat, ditawarkan ganjaran atau rasuah, walaupun tiada sesiapa melihat, dia takut dan menolaknya kerana dia tahu bahawa Allah sedang memerhatikannya dan dia sedar dua malaikat sedang mengawal pada setiap langkahnya. Ini kerana malaikat pada setiap hari akan berjumpa Allah dan melaporkan setiap perlakuan hamba-hamba-Nya.

Oleh yang demikian, jika semua manusia bertakwa kepada Allah, kita tidak memerlukan lagi penciptaan dan penggunaan kamera CCTV ini kerana CCTV Allah s.w.t lagi hebat dan akan ditayangkan semula pada hari akhirat kelak.

Selagi manusia tidak mendekati Allah s.w.t, selagi itulah kehidupan masyarakat akan kucar kacir dan pastinya suatu hari nanti negara kita akan menghadapi situasi sukar.

Semoga kita semua berada dalam kerahmatan-Nya. Begitu banyak dugaan yang kita hadapi pada setiap hari.

Wallahualam.

Keajaiban Wuduk

Posted: Saturday, August 8, 2009 by WZWY in Labels:
0

Kebetulan pada hari ini akan ke sekolah bagi membantu guru-guru J-Qaf dalam Program Kem Bestari Solat(KBS), rasanya elok dikongsikan di sini tentang keajaiban wuduk. Apatah lagi wabak Selsema Babi H1N1 yang kian merebak di negara kita. Saya berpendapat amalan berwuduk ini ada kaitannya dalam proses pencegahannya.

Islam telah meletakkan syarat sah solat itu dengan tubuh dan pakaian yang suci daripada najis. Hadas besar pula perlu disucikan dengan cara mandi hadas, manakala hadas kecil pula disucikan dengan mengambil wuduk.

Diriwayatkan daripada Amru bin 'Abasah, beliau berkata, "Wahai Rasulullah s.a.w, ceritakanlah kepadaku mengenai wuduk."

Baginda s.a.w berkata,"Tidak ada seorang antara kalian yang berwuduk kemudian ia berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung, kemudian mengeluarkannya kecuali berguguran dosa-dosa dari wajah mulut dan hidungnya. Kemudian sekiranya dia membasuh wajahnya seperti yang diperintahkan Allah s.w.t, dosa-dosanya yang terdapat pada wajahnya berguguran bersama-sama air dari hujung janggutnya. Kemudian ketika dia membasuh kedua-dua tangannya hingga ke siku dengan air, dosa-dosa tangannya berguguran bersama-sama titisan air dari jari-jarinya. Kemudian ketika dia membasuh kedua-dua tapak kakinya sehingga ke hujung jari kakinya, dosa kedua-dua kakinya berguguran bersama-sama air dari jari-jarinya. Sekiranya dia berdiri solat dengan memuji dan mengagungkan Allah dengan pujian yang layak untuk-Nya dan dia khusyuk hatinya, maka dosa-dosanya hilang seakan-akan dia baru dilahirkan dari perut ibunya."
( Hadis Riwayat Muslim )

Wuduk adalah amalan terbaik bagi menghilangkan rasa letih dan ia menyegarkan badan. Kajian yang dilakukan oleh pakar perubatan moden menunjukkan wuduk boleh mengembalikan keseimbangan tenaga ke seluruh tubuh badan kita. Ia juga memulihkan tenaga yang hilang dari badan kita akibat aktiviti fizikal selain berperanan membersihkan diri seseorang itu daripada dosa. Segala caj negatif akibat daripada perbuatan yang mendatangkan dosa juga dapat dihilangkan dengan berwuduk.

Salah satu rahsia bagaimana umat Islam kekal cergas dan bertenaga adalah kerana wuduk yang sempurna. Wuduk mampu mengembalikan keseimbangan yang ideal kepada tubuh badan kita, di mana ia memperbaiki kerosakan yang berlaku pada aliran tenaga yang ada pada tubuh kita. Wuduk juga mampu mengilangkan kesan-kesan akses-akses negatif yang muncul akibat perkembangan teknologi seperti penggunaan telefon bimbit dan komputer.

Oleh itu perbuatan berkumur, membasuh hidung, membasuk muka dan kedua-dua tapak tangan serta membasuh kedua-dua tapak kaki memberi kesan kepada kesihatan kita. Contohnya perbuatan berkumur boleh melindungi mulut dan kerongkong daripada radang, membasuh hidung juga boleh mengelakkan hidung kita daripada debu, bakteria serta kuman pelbagai penyakit.

Dan dikesempatan dengan ruangan terhad ini juga, wuduk juga dapat menurunkan suhu badan. Suhu badan manusia normal adalah 37 darjah celcius. Apabila suhu badan meningkat selain mengelap tubuh dengan kain basah, ia juga dapat dikurangkan dengan berwuduk dan membiarkan air itu kering sendirinya.

Wallahulam.

Kursus Penulisan Cerpen KEPEZI

Posted: Wednesday, August 5, 2009 by WZWY in
1

Alhamdulillah, pada 1-2 Ogos 2009 lalu saya berkesempatan menghadiri Kursus Penulisan Cerpen di DBP anjuran Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI).

Banyak perkara atau ilmu pengetahuan berkaitan penulisan dapat saya timba di sepanjang kursus dua hari ini. Rasa bertuah dapat berguru dengan Bonda Zaharah Nawawi dan Dr Mawar. Format kursus dua hari ini juga menjadikan masa berlalu begitu pantas. Selama dua hari ini juga kami diberi tunjuk ajar dan kaedah bagi menghasilkan karya bermutu. Patutlah ada di kalangan peserta maish tidak puas walaupun melebihi 4-5 kali menyertai kursus ini.Semoga segala ajaran kedua-dua pembimbing hebat ini dapat diterjemahkan dengan sempurna oleh saya dan rakan-rakan.

Rasa bertuah juga dapat mengenali rakan-rakan kursus yang mempunyai latar belakang pendidikan dan penulisan yang hebat-hebat belaka.

Bismillah Lima

Posted: Monday, August 3, 2009 by WZWY in Labels:
0

Pagi tadi semasa perjalanan ke tempat kerja. Radio KLFM akan menjadi stesen pilihan pada pukul 6.45am sebaik sahaja rancangan tafsir al-Quran Ustaz Zahazan di IKIM selesai. Ustaz Fauzi bergilir-gilir dengan Ustaz Wan Sohor akan memberi tazkirah mereka di awal pagi. Mengikut Ustaz Fauzi tadi, penyakit H1N1 ini Insya Allah boleh kita elakkan dengan banyak membaca Ayat Bismillah Lima seperti di atas. Jadikan ia satu amalan pada setiap hari. Ini adalah dugaan Allah s.w.t dan ia tentu ada hikmah disebaliknya. Kita sebagai hamba-Nya sentiasa berdoa dan bermohon pada-Nya agar kita semua dilindungi daripada wabak tersebut. Insya Allah.

BERUBAH KE TAK?

Posted: Sunday, August 2, 2009 by WZWY in Labels:
0

BERUBAH!

"InsyaAllah, saya akan berubah."
"Saya akan cuba berubah."
"Belum masa saya berubah lagi."
"Lepas balik kursus, saya akan berubah."
"Saya hendak berubah tapi....."
"Buat apa saya nak berubah?"
"Patutkah saya berubah?"
"Apa saya dapat jika berubah?"
"Kalau kau berubah,aku pun hendak berubah."
"Susahlah hendak berubah."

Pelbagai alasan boleh diberikan jika mahu berubah atau tidak mahu berubah. Soalnya terpulang kepada diri sendiri. Sudah puas nasihat diberikan. Sudah puas membaca buku motivasi. Sudah puas dileteri,mungkin.Sudah puas terima kegagalan.

Kenapa masih tidak berubah?

Biar apa pun apa jua alasan, jika perlu berubah, kita mesti berubah. Mungkin kita merasakan kita sudah hebat atau kita di pihak yang betul. Jika seseorang merasakan kita perlu berubah. Paling baik apabila majoriti mengenali kita berpendapat kita perlu berubah. Apa perlu kita tunggu lagi?

Mungkin ia sesuatu keputusan yang sukar.
Mungkin ia sesuatu yang pahit untuk dilakukan.
Mungkin ia sesuatu mustahil.

Fikirkanlah dengan akal yang waras.

Berilah peluang kepada diri sendiri.
Sayangilah diri sendiri.

Untuk apa aku berubah?

Aku ingin berubah dari apa yang ku rasakan ia silap atau salah.
Aku ingin berubah dengan apa yang ditegur terhadapku.
Aku ingin menjadi sebagaimana diimpikan.
Aku ingin menjadi pemenang.
Aku ingin menjadi seperti mereka.

Mereka yang telah buktikan..cara inilah membuahkan KEJAYAAN.
Akanku buktikan sesuatu kepada kalian.
InsyaAllah!

..terima kasih isteri tercinta serta anak-anak
..mama zaharah
..teman-teman
..pak ya
..sifu kusyi
..ummu najah
..bonda zaharah nawawi
..dr mawar
..individu-individu membantu mengenali dan mendidik aku dalam dunia penulisan