Kembali Sepi Dan Sunyi?

Posted: Wednesday, September 30, 2009 by WZWY in
0


Kembali sepi? Betul ke kembali sunyi?  Betul ke hanya sebaris saf sahaja? Jangan buat perbandingan dengan bulan Ramadhan. Itu lain sebab ada solat Terawih.

Memang kembali sepi (setakat pengalaman penulis sahaja). Tiada lagi berduyun-duyun apabila suasana tenang sahutan azan berkumandang.

Kenapa tidak boleh buat perbandingan? Adakah surau atau masjid hanya untuk dikunjungi dibulan Ramadhan sahaja? Adakah Rumah Allah itu hanya layak pada satu-satu masa sahaja?

Entahlah, mungkin budaya masyarakat sesetengah tempat. Apa pun secara realitinya semakin hari semakin jauh masyarakat dengan pintu surau atau masjid. Kalau ada, berapa ramai golongan remaja solat berjemaah? Di manakah mereka? Tapi agak menyedihkan juga apabila suasana 'meriah' di bulan Ramadhan sudah hilang sebaik sahaja takbir raya dilaungkan. Adakah itu petanda berakhirnya menjejaki tangga surau atau masjid untuk tahun ini. Nauzubillah!

Apabila penceramah melontarkan ilmu-ilmu Allah, hanya muka-muka itu juga tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berulang kali. Sesetengah hamba-Nya lebih selesa berada di depan kaca televisyen menyaksikan rancangan kegemaran berbanding korbankan masa walau seketika di majlis-majlis ilmu. Doa seharian ingin kebaikan, kekayaan, kesihatan dan seumpamanya tetapi tanggungjawab kepada Maha Pencipta diabaikan.


Itulah...kembali sepi dan menunggu semula di bulan Ramadhan akan datang..pastikah?

Apa Nak Jadi Pemegang Stereng?

Posted: Sunday, September 27, 2009 by WZWY in Labels:
0


Salam Aidilfitri. Maaf Zahir Batin. Ketika ini isu atau cerita semasa di musim perayaan ialah Ops Sikap. Bila fikir-fikir...kenapa pihak berkuasa melaksanakan Ops Sikap? Apa kurangnya kemudahan pengangkutan atau jalan raya di Malaysia ini?

Jalan raya atau kenderaan di negara kita tiada masalah sebesar masalah SIKAP segelintir atau sebahagian atau hampir 100% atau mengikut penilaian masing-masing tentang pemandu-pemandu di negara ini. Maka wujudlah Ops Sikap saban tahun menjanjikan kadar penurunan kes kemalangan atau kehilangan nyawa di jalan raya. Tapi mengikut statistik semasa, kadar kemalangan dan kematian meningkat pada tahun ini.

Apa yang dilalui oleh saya semasa balik kampung dengan aliran trafik yang sememangnya biasa pada musim perayaan ialah cukup mengejutkan. Entah apa dikejar atau dikejar sesiapa pun entahlah apabila kenderaan dipecut laju tanpa mengira amaran had laju atau pun di jalan selekoh atau pun dengan deretan kenderaan di depan.

Kenapa nak laju? Apa matlamat memandu laju? Adakah takut sampai lewat ke kampung? Sedar atau tidak bila seseorang pemandu memandu laju dan sibuk untuk memotong saja, emosi dan pemikirannya akan sentiasa dalam keadaan 'stress'. Pantang kenderaannya dipintas oleh pemandu lain. Maka dia sibuk untuk mengejar dan memintas balik. Adakah ia ingin dijadikan bahan cerita di kampung bahawa kereta dia laju atau semua kereta berjenama mahal habis dipotongnya dan tinggal bau asap sahaja.

Hairan bin Ajaib apabila pemandu tanpa mengira usia apabila memegang stereng sahaja, maka berubah tingkah laku dan perangai. Hilang rasa sabar dan tolak ansur. Lesen D yang dipakai sejak bertahun-tahun bagaikan sudah memegang lesen memandu jentera F1. Tunjuk hebat dan gagah tapi silap percaturan maka berakhir dengan sitausi memilukan. Semoga kita semua dilindungi Allah daripada segala sikap negatif di jalan raya dan selamat sejahtera semasa pemanduan.

Wassalam...

God is our "CEO"

Posted: Friday, September 11, 2009 by WZWY in Labels:
0

God is our "CEO",saya meminjam petikan Ustaz Pahrol dalam tulisan beliau dalam majalah SOLUSI keluaran terbaru. Tulisan beliau amat menyentuh kalbu dan sewajarnya rakan-rakan membacanya tentang antara tujuan dan keperluan hidup, mana satu lebih penting?


Kita sebagai hamba Allah perlu ada tujuan hidup.Mengapa? Beliau menulis bahawa sebenarnya hubungan antara tujuan hidup dengan keperluan hidup umpama galah dengan buah. Galah penting kerana dengan galah kita mengait buah. Tetapi tentulah buah lebih penting kerana yang hendak kita makan ialah buah bukan galah.


Oleh itu, setiap masa semasa kita hirup udara segar di muka bumi ini dipenuhi dengan ibadah. "Tidak Kami kujadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku." (Surah al-Dhariyat 51:56). Tujuan kita hidup tidak boleh lari daripada beribadah kepada Allah. Dalam apa jua kita lakukan, kita sentiasa mengingati Allah.


Sering kali kita mendengar pandangan salah bahawa ibadah hanya melibatkan perkara berkaitan ibadah solat, puasa, haji dan sebagainya sahaja tanpa menyedari dalam Islam mengikut para ulama, ibadah pada dasarnya dibahagi kepada tiga bahagian iaitu ibadah asas (Fardhu Ain), ibadah sunat dan ibadah umum.


Secara ringkasnya ibadah asas ialah kita mempelajari,memahami,meyakini dan mengamalkan rukun islam dan rukun iman. Ia membentuk hubungan langsung antara seorang hamba dengan Tuhannya-hablunminallah. Ibadah sunat pula mengerjakan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, puasa sunat,berzikir dan sebagainya. Walaupun ia sunat tapi amat membantu kita menampung sebarang kekurangan dalam ibadah asas. Dan akhir sekali ibadah umum iaitu seluruh perlakuan, tindakan dan aktiviti selain daripada ibadah asas dan sunat. Ia merangkumi pekerjaan kita sehari-hari,tugas kita sebagai ayah, anak, ibu atau ahli masyarakat.


Sebenarnya banyak perkara lagi boleh disentuh dalam perkara ini. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah seluruh kehidupan kita adalah ibadah. Jika semua menitik beratkan perkara ini, saya percaya saudara-saudara juga bersetuju di negara kita tidak akan ada lagi kegiatan-kegiatan jenayah atau pun penyalahgunaan kuasa dan sewaktu dengannya. Masalah utama apabila Islam hanya dilihat dari skop kecil sahaja tanpa menghiraukan apa yang diarah dan dilarang oleh Allah s.w.t secara keseluruhannya.
Wallahualam!

Buat Apa Baca? Bukan Nak Periksa pun.

Posted: Friday, September 4, 2009 by WZWY in Labels:
0

Memang agak malang bagi seseorang individu menghabiskan masa yang diperuntukkan oleh Allah 24 jam sehari semalam tanpa membaca Al Quran atau pun sebarang buku berkaitan agama, motivasi pembangunan diri, ilmiah dan sebagainya seperti karya kreatif.

"Baca buku, buat apa?AKu bukan budak sekolah lagi nak periksa," Si A mengerut dahi menjawab pertanyaan Si B.

"Sejak bila fatwa katakan mesti nak ambil periksa baru baca buku?" Si A memandang Si B terkebil-kebil. Sejak bila pula kawannya begitu serius bercakap tentang isu ini. Biasanya bila keluar minum selepas solat Terawih, perbualan mereka hanya berkisar tentang isu semasa atau paling hebat pun mengenai Liga Perdana Inggeris.

"Kau tahu tak, bagaimana seorang penulis boleh bercerita tentang saham, tugas seorang doktor, peguam, ahli korporat atau pun ahli sukan? Padahal mereka hanya penulis sahaja dan tidak pernah pun bekerja atau belajar tentang apa yang aku sebut tadi," soal Si B.

"Dia orang lain sebab penulis, mesti tahu semua," Si A membela diri.

"Kau tahu tak ada penulis tahu tentang benda-benda tu dengan hanya masuk perpustakaan sahaja," Si A memandang tepat Si A.

"Ya, kenapa, tak percaya ka?" soal Si B lagi.

"Macam mana?" Si A mula berminat.

"Berapa kali kau masuk perpustakaan?" soal Si B.

"Mana aku tahu perpustakaan di sini dekat mana," Si A tersenyum malu.

"Itulah kau, kalau tiada modal hendak beli buku di kedai buku, kita masih ada alternatif ke perpustakaan. Macam kita di sini boleh ke Shah Alam sebelah muzium atau pun ke perpustakaan di Petaling Jaya bersebelahan dengan stadium hoki," jawab Si B.

"Aku bukan setakat perpustakaan, kedai buku pun masuk beli surat khabar sahaja," 

"Itulah kita kena ubah, setiap bulan sekurang-kurangnya sebuah atau dua buah buku kita beli dan baca," 

"Untuk apa?"

"Pengetahuan diri, sekurang-kurangnya kita lebih bersifat terbuka dan menjadi panduan hidup kita," Si B menyambung penjelasannya.

"Nampaknya aku kena tukarlah, duit aku pun setiap bulan habis beli benda ini boleh pula," Si A menunjukkan rokok dunhill kegemarannya dan menghembus asap bagai corong kilang sawit.

Si B mengangguk dan senyum sendirian dengan gelagat kawannya.

Itulah senario yang berlaku. Ia bukan suatu cerita kosong, tetapi orang kita suka bercakap kosong dan berborak lama-lama di kedai makan. Paling menyedihkan apabila ibu bapa hanya tahu membeli mainan untuk anak-anak tanpa dipimpin tangan mereka ke kedai-kedai buku.

Wallahualam.....

Dah Dia Berani!

Posted: Tuesday, September 1, 2009 by WZWY in Labels:
0

Robert Alain seorang warganegara Peranchis atau lebih dikenali "Spiderman' bukan manusia biasa kerana sifat degil dan keazaman tinggi membuatkan dia dikenali oleh seluruh penduduk bumi ini.
Keberanian dan kecekalan memanjat bangunan-bangunan tinggi bukan sesuatu yang mudah. Robert Alain berjaya menggunakan bakat dan kemahirannya untuk menakluk bangunan tinggi di serata dunia. Dan terkini dia dilaporkan berjaya menakluk bangunan setinggi 88 tingkat iaitu Menara Petronas. Setelah gagal dalam dua percubaan pada tahun 1997 dan 2007, maka pada tahun 2009 akhirnya impian terlaksana. Sebenarnya, apakah yang dicari oleh 'spiderman' ini? Adakah dia melakukan kerana nama, wang atau pun kepuasan diri.Walaupun apa yang dilakukan itu menyalahi undang-undang di dalam sesebuah negara, apakah nilai-nilai positif kita boleh ambil daripada manusia 'pelik' ini.

Saya teringat petikan dalam sebuah buku motivasi hasil tulisan Dr Asrul Zamani iaitu "Sebagai manusia, kita telah dijadikan supaya sentiasa berkeinginan dan untuk terus ingin lebih berjaya dari semasa ke semasa."

Pada hemah saya, begitulah yang berlaku ke atas Robert Alain. Dia tidak pernah puas dengan rekod peribadi dan akan terus berusaha mencipta dan terus mencipta rekod sebagai mana pelari terpantas dunia masa kini Usain Bolt yang baru saja memecah rekod peribadi 100M 9.69 kepada 9.58 saat. Sebelum ini tiada siapa menyangka bahawa ada pelari mampu melakukannya sehinggalah Usain Bolt membuktikannya. Dan tidak mustahil selepas ini rekod ini akan dipadamkan olehnya atau pun pelari lain pula. Begitulah fitrah manusia. Jika ke arah kebaikan dicari maka kita akan menemui kejayaan sejati dan begitulah sebaliknya.

Antara langkah-langkah Keazaman Membara yang boleh dikongsikan di sini ialah Percaya Bahawa Matlamat Anda Pasti Tercapai. Oleh itu, matlamat yang ditetapkan haruslah sesuatu yang boleh dicapai. Minda kita akan tahu sama ada sesuatu itu realistik atau pun tidak.Kepercayaan yang kukuh amat penting disemai dalam diri kita. Jika tidak, anggaplah cita-cita kita itu hanyalah khayalan semata-mata.

Semoga apa yang dibacakan di sini dapat memberi suntikan semangat untuk terus berjuang dan berusaha dalam apa jua lapangan yang kita usahakan. Insya-Allah, dengan iringan doa kita mampu mencipta kejutan untuk diri kita sendiri.