PBAKL Kali Ini Berbeza

Posted: Sunday, April 4, 2010 by WZWY in Labels:
1

Alhamdulillah, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 sudah melabuhkan tirainya pada 28 Mac yang lalu. Perkhabaran gembira juga apabila Gerai Galeri Ilmu mendapat sambutan hebat daripada para pengunjung. Sekalung tahniah buat tim GISB yang bertungkus lumus siang malam pada sebelum, semasa dan selepas program berakhir. Kebetulan pula pada tahun ini GISB (Galeri Ilmu Sdn Bhd) berada di lokasi strategik.

Pada tahun ini, saya bersyukur kerana sempat berkunjung ke PWTC sebanyak empat kali. Kali pertama dan kedua kerana menghadiri Kursus Penulisan Buku Kanak-Kanak dengan Dr. Amida. Kali ketiga berada di gerai GISB bagi mempromosikan novel sulung saya Impian Juara. Dan kali keempat pula lebih bermakna apabila berkunjung bersama isteri dan anak-anak. Pengalaman tidak dapat dilupakan apabila anak bongsu, Hijazi hilang daripada pandangan kami hampir satu jam sehingga pengumuman dibuat oleh pihak urusetia tentang sesiapa kehilangan anak lelaki berbaju biru dan berseluar 'jeans'. Syukur Alhamdulillah, Allah saja yang tahu apa perasaan kami semasa itu.

Saya masih ingat ketika berkunjung ke PBAKL ini pada tahun 2007 apabila saya memasang angan-angan untuk menulis dan buku tertera nama saya berada di rak dan dijual di mana-mana gerai. Ketika itu juga saya sempat membeli sebuah buku iaitu Menjadi Penulis Jutawan hasil tulisan Nimoiz TY. Cuma saya tidak pasti sama ada angan-angan itu menjadi kenyataan atau sebaliknya.Saya juga tidak ketahui lorong mana perlu saya lalui untuk menjadi seorang penulis. Malah saya juga tidak fikirkan lagi genre apa yang sesuai dengan saya.

Selepas itu....

Angan-angan itu terbang di angin lalu sahaja.

Selepas dua tahun berlalu, pada April 2009 angan-angan itu datang lagi. Kali ini lebih kuat auranya.

Lantas saya berjumpa Saudara Zakaria Sungib dan bermulalah kerjaya kedua saya sebagai seorang penulis/novelis.

PBAKL 2010, impian saya menjadi realiti apabila Impian Juara berada di gerai Galeri Ilmu dan bersyukur kerana hasil usaha sulung ini tidak mengecewakan dan mendapat maklum balas baik daripada pembaca.

Walaupun agak lewat berada di bidang ini, saya bersyukur kerana selepas pelbagai perkara dilakukan sebelum ini, akhirnya menemui apa yang saya minat dan mahu lakukan.
Syukur kehadarat Ilahi.

Bersyukur di atas kehendak-Nya saya dipertemukan dengan Pak Ya ( Zakaria Sungib ) selaku Editor Kanan GISB. Bagi saya beliau bukan sahaja editor malah selaku mentor dan pembimbing untuk saya hasilkan karya-karya seterusnya.
bersama Tuan Zakaria Sungib di Gerai GISB

* Semoga manuskrip kedua dapat disiapkan pada atau sebelum penghujung April ini.