Fokus Penyelesaian Bukan Permasalahan

Posted: Tuesday, April 26, 2011 by WZWY in Labels:
0

Setiap orang pasti menghadapi MASALAH atau UJIAN HIDUP yang tersendiri. Bezanya adalah sama ada masalah itu besar atau sederhana atau kecil sahaja. Paling BESAR mungkin melibatkan permasalahan mengenai HIDUP atau MATI.

Masih ingat lagi pada tahun 2003, saya diberi ujian oleh Allah SWT apabila dua anak saya terpaksa dimasukkan ke wad kerana penyakit asma. Dan salah seorang iaitu anak ketiga saya Wan Muhammad Al-Ghazali terpaksa dimasukkan ke wad ICU. Ayahanda tercinta Allahyarham Wan Yusoff kembali kerahmatullah pada tahun yang sama.

Inilah rentetan UJIAN HIDUP yang menjadi satu KEPASTIAN yang kita tidak boleh elakkan. Kita tidak boleh katakan ia tidak berlaku kepada diri kita. Semuanya dalam perancangan Allah SWT Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Kita sebagai hamba-Nya perlu redha dan hadapi dengan tenang dan penuh ketaqwaan. Walaupun ia nampak mudah, ia adalah sesuatu yang sukar untuk dihadapi. Namun kita harus terus tabah dan letakkan Allah SWT sentiasa ada bersama-sama kita. Pada-Nya kita mohon petunjuk. Pasti ada jalan penyelesaiannya.
Fokus Pada Penyelesaian Bukan Permasalahan

Apa yang saya hadapi kini juga dalam perancangan Allah SWT. Itulah kekuasaan Allah SWT. Tunjukkan sesuatu yang kita alpakan sebelum ini. Walaupun ia kelihatan berat atau sesukar mana pun, saya perlu hadapi dengan penuh hikmah. Buntu dan kecewa. Itu adalah sesuatu yang normal. Tapi kita harus kuat. Bukan mneyerah begitu sahaja. Tentu ada hikmah di sebaliknya.
Alhamdulillah dengan petunjuk-Nya. Didorong untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Berfikir dengan waras tanpa mengikut telunjuk hasutan syaitan. Bantuan sahabat-sahabat yang sentiasa tidak putus-putus berikan nasihat percuma. Itulah yang harus kita lakukan. Jika hadapi apa jua permasalahan, beri tumpuan pada penyelesaiannya. Bukan hanya merungut dan mengeluh. Masalah...masalah...masalah.

Berkongsi

Tidak salah untuk berkongsi apa permasalahan yang kita hadapi dengan orang yang kita percayai. Lihatlah di kalangan rakan-rakan kita. Mereka ada kelebihan dan kekurangan masing-masing sebagaimana kita. Jika sudah yakin, maka berceritalah, luahkanlah apa yang terbuku di hati. Puaskan diri. Menangislah sepuas-puasnya. Dan jangan lupa, kembali pada Yang Maha Esa. Dialah tempat yang menjadi penentu segala permasalahan kita. Dekatkan diri pada-Nya. Muhasabah diri. Dan ingat, jangan sesekali menjauhkan diri daripada Allah SWT. Perbanyakkanlah solat sunat, zikir, doa, sedekah dan amalan-amalan yang dituntut oleh agama Islam.

Berubahlah

Jika itu yang perlu dilakukan. Berubahlah. Jangan terlalu EGO dan mementingkan diri sendiri. Berubah itu lebih baik jika apa yang sedang dan sudah dilakukan sebelum ini menjadi puncanya. Kenapa perlu takut? Hadapi kenyataan bahawa aku yang bersalah. Aku perlu berubah sekarang. Tinggalkan apa yang tidak sepatutnya dilakukan. Mulakan sesuatu yang baru. Perkara yang lebih mendatangkan kebaikan untuk kita dan orang di sekeliling kita.

"Manusia ketika  hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), apabila mati baru mereka terjaga (tersedar)."

Ini adalah kata-kata Saidina Ali r.a. Wajar kita ambil perhatian dan fikirkan sedalam-dalamnya. Apabila seseorang itu mati, baru tersedar bahawa selama ini dia banyak mempersiakan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Ketika itulah baru si mati tersedar tentang hakikat hidup dengan nyata dan tepat.

Jadi, dikesempatan kita hidup dan tersedar segala kealpaan kita sebagai HAMBA ALLAH. Tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ISLAM dan KETUA KELUARGA atau pelbagai tanggungjawab lain lagi. Bangkitlah. Berubahlah. Bangun dan sedarkan diri. Aku tidak bermimpi lagi.

Bersyukurlah dengan nikmat HIDUP ini.

 

KALI KEDUA

Posted: Tuesday, April 19, 2011 by WZWY in Labels:
0

Kali ini merupakan PBAKL kedua saya selepas menghasilkan novel awal remaja pertama pada tahun 2010 yang lalu.

Kali ini saya hadir sekali lagi ke gerai Galeri Ilmu Sdn Bhd di Ruang Legar PWTC (A-14) untuk sama-sama mempromosikan novel awal remaja ketiga saya iaitu Impian Juara 2.
Masih ingat lagi pada tahun lepas, salah seorang bapa bertanyakan Impian Juara ini akan ada sambungan ke?

Masa itu saya hanya mampu menyebut, "Insya-Allah. akan terbit tahun depan." Jadi nampaknya impian itu terlaksana dengan keizinan Allah SWT. Syukur.

Pada PBAKL 2010 di depan saya hanya ada sebuah sahaja novel tulisan saya. Tapi kali ini ada TIGA buah novel tulisan saya iaitu IMPIAN JUARA, OPS MENJEJAK PENCURI dan IMPIAN JUARA 2. Syukur Alhamdulillah!

Kalau ikutkan pada perancangan awal, saya mahu menulis DUA buah novel untuk PBAKL kali ini, tetapi Allah Maha Berkuasa hanya mengizinkan SATU sahaja kerana kesibukan tugas rasmi dan proses penulisan IMPIAN JUARA 2 memerlukan perubahan manuskrip. Walau bagaimanapun saya berpuas hati kerana masih ada lagi karya terbaru pada tahun 2011 ini. Insya-Allah, saya sedang merancang untuk menulis SIRI PENYIASATAN CILIK ADIB ADIBAH dengan kes terbaru pula.

Berdasarkan jadual promosi IMPIAN JUARA 2 ini, pihak GISB sudah merencanakan agar saya berada di gerai pada 23 April 2011 (Sabtu). Insya-Allah saya akan berada di sana pada pukul 2.00 petang hingga 3.00 petang. Semoga ia dipermudahkan-Nya.

Saya amat berharap agar IMPIAN JUARA 2 ini dapat diterima baik oleh pembaca. Semoga apa yang disampaikan dalam novel ini dapat memberi kebaikan untuk semua.

Saya menjangkakan PBAKL pada tahun ini akan mencatatkan jumlah pengunjung yang lebih ramai berbanding tahun lepas. Insya-Allah. Lagi pun industri penerbitan buku di negara kita juga semakin berkembang pesat. Ramai yang tidak sabar-sabar untuk memiliki buku-buku terbaru dengan harga promosi yang istimewa. Begitu juga di Galeri Ilmu Sdn Bhd tidak ketinggalan menawarkan potongan 20%. Diharapkan jualan GISB pada tahun ini juga meningkat.

Di PBAKL 2011 ini juga saya amat berharap dapat berjumpa dengan lebih ramai rakan penulis dan bertukar-tukar pandangan dan idea. Maklumlah sejak menceburkan diri dalam dunia penulisan ini, sungguh sukar untuk saya bersembang dengan rakan penulis lelaki. Ketika menyertai bengkel atau kursus penulisan, majoritinya peserta perempuan. Adakah bilangan penulis lelaki di negara kita kecil bilangannya? Atau saya masih belum berjumpa dan berkenalan dengan mereka?

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembeli novel-novel saya sebelum ini dan diharapkan terus memberi sokongan untuk saya menghasilkan karya yang lebih baik lagi. Dan tidak lupa kepada pihak GISB yang masih memberi kepercayaan untuk saya. Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya.

Wallahualam.

Apa Yang Mendorong Saya Menulis IJ

Posted: Thursday, April 7, 2011 by WZWY in Labels:
1


IMPIAN JUARA 2

Posted: Tuesday, April 5, 2011 by WZWY in Labels:
1

ALHAMDULILLAH dengan keizinan-Nya hasil karya terbaru yang sedang dalam proses percetakan bakal menemui pembaca pada penghujung bulan April ini ( PBAKL 2011).

"Kita mahu kelainan pada sekuel Impian Juara."
Ini adalah satu cabaran bagi saya. Walau bagaimanapun dengan bantuan idea dan kreativiti Puan Zulina (penyunting), ia dapat disiapkan juga.

Proses penulisan novel ketiga ini adalah yang paling lama untuk disiapkan berbanding dua novel sebelumnya. Walau susah macam mana sekali pun, tugasan ini perlu disiapkan juga. Apatah lagi ia semakin hampir melepasi garis tarikh akhir yang ditetapkan. Dalam hati sudah bertekad untuk siapkan juga sempena PBAKL 2011. Terima kasih Tuan Haji Zakaria, Tuan Amir dan Puan Zulina.


IMPIAN JUARA 2 mengisahkan Imran yang baru sahaja bergelar JUARA Pingpong MSSD Petaling Utama pulang hampa apabila Pak Harun mengambil keputusan untuk berkahwin semula. Imran merasakan dirinya dipinggirkan. Imran juga tidak dapat menerima  kehadiran 'orang baru' sebagai ahli keluarga mereka.

Dihalau dari pusat latihan


Kekecewaan Imran bertambah apabila dia gagal mengawal perasaan semasa latihan pusat pingpong. Tindakannya bergaduh dengan rakan sepelatih menyebabkan dia dihalau dari pusat latihan. Selain itu juga dia dicabar oleh jurulatih untuk berlatih sendiri dan hadir semula ke pusat latihan untuk buktikan kemampuannya sebagai wakil daerah Petaling Utama.


Jurulatih baru


Sebaik sahaja dihalau dari pusat latihan, dia diberi tempoh seminggu untuk bertanding dalam pemilihan akhir. Keputusannya untuk berpindah ke rumah ayah rupa-rupanya ada hikmah di sebaliknya. Di situlah dia berkenalan dengan Adam Lee. Selepas itu, Adam Lee berusaha gigih melatih Imran tanpa Imran mengetahui siapakah sebenarnya Adam Lee.


Imran Diculik?


Imran juga mengalami pengalaman memeritkan apabila 'musuh' yang tidak dijangka mengambil keputusan untuk menculiknya sebelum perlawanan akhir pemilihan bermula. Adakah insiden ini menjadi penyebab dirinya tersingkir daripada perlawanan pemilihan yang bakal diadakan?


Oleh itu, para pembaca sekalian boleh dapatkan novel ini di PBAKL 2011 nanti untuk ketahui apa yang berlaku kepada Imran.


PBAKL 2011


Saya akan berada di booth Galeri Ilmu Sdn Bhd pada 23 April 2011 (2.00 petang) untuk mengadakan promosi jualan novel-novel tulisan saya. Insya-Allah semoga dipermudahkan oleh-Nya.


Semoga IMPIAN JUARA 2 ini dapat diterima oleh semua pembaca terutama adik-adik yang saya kasihi sekalian.


Wallahualam...