Dugaan Hidup Itu Pasti

Posted: Wednesday, January 18, 2012 by WZWY in Labels:
0

ALLAH SENTIASA MENDUGA KITA. Menguji sejauhmanakah kekuatan iman dan takwa hamba-hamba-Nya. JIka kita lemah, kita akan tersungkur. Jika kita kuat, kita akan mengecapi kebahagiaan dan kenikmatan hidup yang tidak kita sangka-sangkakan. Percayalah dengan ketentuan-Nya.

Kita harus yakin bahawa Allah akan sentiasa menguji kita dengan kadar keimanan kita sendiri. Lihatlah bagaimana seorang rasul apabila menerima ujian Allah berbanding diri kita yang kerdil ini.

Dugaan yang kita tempuhi itu sudah semestinya dapat menjadikan hati kita semakin kuat, penuh keyakinan serta menghasilkan keimanan, kesabaran dan melemahkan hawa nafsu. Janji Allah sebagaimana termaktub dalam Surah Ibrahim, ayat 7 bermaksud :"Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu." Setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah itu Maha Mengetahui. Redha dan pasrah selain terus berusaha memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

Realiti kehidupan

Kita sering berkeluh-kesah dengan pelbagai masalah menimpa. Celik sahaja mata, otak sudah berputar berfikir dengan 1001 perkara atau masalah yang harus diselesaikan. Orang bujang dengan masalah orang bujang. Orang berkeluarga dengan masalah tersendiri. Orang pencen pun masih tidak sunyi dengan ujian-ujian hidup.
- Orang yang masih menyewa berfikir untuk membeli sebuah rumah.
- Orang yang sudah beli rumah berfikir untuk membeli rumah yang lebih besar.
- Orang yang menganggur berfikir untuk mendapatkan apa-apa pekerjaan.
- Orang sudah berkerja berfikir untuk meningkatkan pendapatan bulanan.
- Orang yang bujang berfikir untuk menyimpan duit persediaan berkahwin.
- Orang yang berkahwin berfikir untuk menyimpan persediaan menimang cahaya mata.
- Orang yang memandu kereta kecil berfikir untuk membeli kereta lebih besar.
- Orang yang sudah ada kereta besar berfikir untuk membeli kereta besar yang lebih hebat 
   dan terkini.

Di manakah kedudukan kita sekarang? Mungkin sedang berkeluh-kesah dengan kehidupan seharian. 

- Gaji tidak cukup.
- Rumah kecil.
- Perbelanjaan meningkat.
- Tiada simpanan.
- Hubungan dingin suami isteri.
- Suasana kerja membosankan.
- Dan lain-lain lagi.

Firman Allah :

"Jika Allah menimpakan suatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya yang lain dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Yunus : 107)

Memang sukar untuk diluah atau dlafazkan tentang apa yang kita alami. Tidak semua memahami apa yang kita tempuhi. Penyesalan itu baik tetapi lagi baik kita berusaha bertindak menyelesaikan permasalahan yang dihadapi itu dengan penuh hikmah. Mungkin ada langkah terbaik yang belum kita temui. Di samping berserah dan bertawakal pada-Nya, kita berusaha untuk mengatasi setiap permasalahan dihadapi. Berdoa pada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi. Insya-Allah.

Kedai ONLINE TintaNasuha

Posted: by WZWY in Labels: ,
0

ALHAMDULILLAH DENGAN KEIZINAN-NYA NOVEL DAN BUKU TULISAN SAYA DAN SAHABAT PENULIS RUHANA ZAKI BOLEH DIBELI SECARA ONLINE DI

http://www.tintanasuha.unisonmall.com/
 
* Novel/Buku boleh dibeli secara terus dengan penulis dengan potongan harga 10%-15%.
 
* Setiap novel/buku yang dibeli akan ditanda tangan oleh penulis. 

* Novel/Buku yang dibeli akan tiba ke pejabat atau rumah masing-masing melalui perkhidmatan POS Malaysia.

* Pembayaran mudah ke akaun Maybank.
 

KITA DIBERI PILIHAN

Posted: Sunday, January 8, 2012 by WZWY in Labels:
0

APABILA MANUSIA MENERIMA CATATAN AMAL IAITU SUATU CATATAN LENGKAP KEHIDUPAN KITA SEBAGAI MANUSIA, KITA AKAN KE PERHENTIAN TERAKHIR. PERHENTIAN ABADI DAN TIADA LAGI PENGEMBARAAN KEHIDUPAN SELEPAS ITU. KITA AKAN TIBA DI ALAM TERAKHIR IAITU ALAM SYURGA ATAU NERAKA.

Nasihat Syeikh Abdul Qadir Jailani agar kita menjadikan akhirat itu sebagai MODAL UTAMA harta kita dan dunia itu pula sebagai KEUNTUNGANNYA. Jadi, gunakanlah waktu utama mencari akhirat. Dan pada waktu lebihan itu digunakan pula untuk mencari dunia dan penghidupan kita. Namun begitu, kebanyakan manusia menjadikan dunia itu sebagai MODAL UTAMA berbanding akhirat.

Contoh mudah, bila kita bersolat. Kita bersolat bukan hanya kerana kita tahu sudah masuk waktu dan bersolat tanpa memerhatikan rukuk, sujud, tamakninah dan sebagainya. Kerjakan solat itu bersungguh-sungguh sebagai mana kita tekun berusaha mencari rezeki di dunia ini. Kita harus sedar ibadah solat itu kayu ukur hala tuju kita di destinasi akhir hidup kita sebagai hamba Allah. Berat atau ringan timbangan amalan bergantung kepada cara hidup kita di dunia ini.

Sesuatu yang manusia lupa ialah apabila seseorang itu menempuh jalan akhirat dan menjadikan akhirat itu modal utama kehidupan, maka sudah pasti mereka akan meraih keuntungan dunia dan akhirat bersama-sama. Contoh kita bekerja dengan penuh tekun, hindari segala perlakuan dosa seperti curi tulang, rasuah, riba dan sebagainya kerana takutkan peringatan Allah. Maka kita akan mendapat dua keuntungan iaitu dunia dan akhirat.

Kita diberikan AKAL untuk berfikir. Maka fikir-fikirkanlah ke mana hala kehidupan kita di alam akhirat nanti. Mati adalah sesuatu yang pasti. Balasan syurga dan neraka juga sesuatu yang pasti. Pilihlah cara hidup yang membawa kita ke arah mana yang kita mahu. Jangan hati kata mahu ke syurga tetapi perlakuan kita pula dipenuhi noda dan dosa. Allahu akbar. Moga saya dan tuan-tun dilindungi daripada hasutan syaitan dan api neraka.Insya-Allah.

Perhati dan renungkanlah firman Allah bermaksud ,"Di antara kamu ada orang yang mengkehendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang mengkehendaki akhirat." (Ali-Imran:152).

Bersabarlah kita dalam mengerjakan kebaikan. Semoga saya dan tuan-tuan sentiasa dirahmati oleh-Nya.
( Catatan ini respon daripada kuliah maghrib di Surau Al-Mukhlisin bertajuk : PERSEDIAAN MATI oleh Al-Fadhil Ustaz Amir dari Cahaya SPK Shah Alam ).

What You See is What You Get

Posted: Friday, January 6, 2012 by WZWY in Labels:
0

INILAH PESAN GURU kepada saya. Setiap orang ada sudut pandang masing-masing. Kata guru saya, "Kenapa suka melihat pada keburukan seseorang berbanding kebaikan yang ada padanya?" Sambungnya lagi, "Apa kurangnya kita sebagai hamba Allah yang memiliki segala kekurangan dan kelemahan."

Kita  telusuri kisah tentera Nabi Musa a.s terserempak dengan bangkai seekor anjing. Masing-masing memandang jijik kepada bangkai tersebut. Tiba-tiba Nabi Musa a.s memuji keputihan gigi anjing tersebut. Masing-masing terkejut. Nabi Musa a.s tidak melihat sesuatu yang jijik pada bangkai tersebut. Jika seekor bangkai anjing pun dilihat ada juga kebaikan padanya. Apatah lagi kita manusia yang hidup dan mengaku beriman kepada Allah SWT dan baginda Rasulullah SAW.

"Kenapa dilihat pada keburukan orang semata-mata. Hingga segala kebaikan orang tersebut tiada langsung dalam penglihatan kita."

Inilah yang dimaksudkan bahawa jika kita melihat seseorang atau pasangan dengan sudut pandang negatif, maka kita akan dapat yang buruk saja daripadanya. Bila seseorang itu lakukan kesilapan kecil sahaja, maka kebaikan yang besar-besar dilakukan itu dengan sendirinya tertimbus dengan segala rasa perasaan prasangka kita itu. Maka, adakah adilkah kita ? Siapa kita di sisi Tuhan Pencipta alam ini? 

Pernah dengar kata-kata ini, "Untuk membaiki dunia, baiki manusianya. Dan untuk membaiki manusia, baiki hatinya."

Masalah kita ialah bermula dengan HATI. Maka kita sama-sama perbaiki HATI masing-masing agar jernih dan sifat-sifat mazmumah dapat dinyahkan daripada HATI kita.

Bagaimana?

Perbanyakkan ibadah sunat selain ibadah wajib. Sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran. Perbanyakkan zikir pada-Nya. Banyak membaca buku-buku agama dan motivasi diri. Bergaullah dengan orang-orang soleh dan boleh menegur kita ke arah kebaikan.

Semoga Allah redha. Ampuni segala kekhilafan aku.
Aku hamba-Mu yang berdosa.


Selamat Tahun Baru 2012

Posted: Monday, January 2, 2012 by WZWY in Labels:
0

SELAMAT TAHUN BARU 2012 buat semua pengunjung yang masih sudi menatap setiap entri di blog yang tidak seberapa ini. Segala entri adalah cebisan luahan, pengalaman dan perkongsian ilmu semata-mata.

CERITA FASAL AZAM?

Ini sudah jadi lumrah kita. Masuk tahun baru, sibuk bercerita azam tahun baru. Ada juga yang bertanyakan tentang azam tahun lepas. Sudah tertunai atau tertangguh lagi.

Tidak kisahlah tentang apa azam tuan-tuan atau sesiapa pun. Paling penting tanya diri sendiri, apa azam di tahun baru ini. Apakah wawasan yang mahu dicapai? Apa projek terbaru? Ini berdasarkan kemampuan masing-masing. Untuk mencapai apa-apa kejayaan pastinya perlukan perancangan. Maka rancanglah kejayaan hari mendatang pada hari ini sekarang. Itu sahaja formula mudah orang yang cipta kejayaan.

Tahun lepas, banyak pengalaman pahit manis berlaku di sepanjang tahun hinggalah ke hari terakhir 2011.Suka duka adalah teman kehidupan kita pastinya. Janganlah kita membenci kerana perasaan itu memungkinkan jiwa kita sakit. Memaafkan adalah lebih mulia dan diredhai-Nya.

Awal Januari 2011 dimulakan dengan bertukar lokasi kerja dari SK Taman Medan ke SK PPR Lembah Subang kerana kenaikan pangkat. Tanggungjawab baru sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mula dipikul di sekolah baru. Suasana baru, rakan kerja baru, lokasi baru, cara kerja baru, tugasan baru dan pastinya semangat pun mahu baru. Alhamdulillah dengan bantuan rakan-rakan, dapat melaksanakan tugas dengan sedaya mungkin.

Bidang penulisan.

Bidang penulisan diteruskan lagi dengan kelahiran Novel Impian Juara 2 dan Ops Conteng. Memang sejak mula-mula bergiat pada tahun 2010, saya hanya mampu hasilkan DUA buah novel setahun sahaja. Pada tahun baru dengan azam baru, saya selesai menulis manuskrip buku Tarbiyah Rohani. Dan pada bulan Januari ini, saya merancang mahu menulis sebuah novel awal remaja seterusnya.

Tahun 2012 diharapkan juga diberikan ketenangan dan kebahagiaan hidup. Semoga Allah SWT restui dan perkenankan. Mujahadah menjadi hamba-Nya yang diredhai. Berusaha menjadi seorang ayah dan suami yang diredhai. Segala pengalaman lepas dijadikan teladan. Walaupun sukar, ia perlu diharungi juga. Berat atau ringan hasil daripada kesilapan lampau akan cuba ditebus satu persatu. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Usia makin meningkat. Ia sepatutnya mematangkan kita. Sedaya upaya mendekatkan diri pada-Nya. Jadilah hamba-Nya yang sentiasa ingat tentang tanggungjawab. Melatih diri agar memiliki RASA KEHAMBAAN DAN RASA BERTUHAN.

Moga Allah redha dan mengampunkan segala dosa-dosa lalu. Setiap hamba yang berdosa akan sentiasa diberi ruang untuk bertaubat. Apa lagi kita sekadar hamba-Nya. Hebatkah kita untuk menandingi kekuasaan-Nya.
Wallahualam.