IKHLAS

Posted: Thursday, May 31, 2012 by WZWY in Labels:
0

TIBA-TIBA PERKATAAN INI MUNCUL DALAM FIKIRAN SAYA. Ketika ini juga saya masih berusaha mengembalikan semula momentum penulisan manuskrip MEREKA YANG BERTAUBAT. Sebaik sahaja dimaklumkan kertas cadangan penulisan manuskrip ini diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilihan GISB, saya mula mencari rentaknya semula.

IKHLAS BUKAN SUATU YANG MUDAH

Saya percaya tuan-tuan juga bersetuju jika saya katakan IKHLAS ini sesuatu yang sukar dicapai, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil. Ikhlas adalah kekuatan dan motivasi umat Islam.

Kita mungkin menganggap setiap pertolongan atau bantuan kita itu IKHLAS. Namun begitu, di dalam hati masih menaruh harapan agar orang yang ditolong itu akan membantu kita pula nanti. Maka, di situ telah membuatkan kita gagal mencapai tahap IKHLAS yang sebenar.

Jadi, macam mana tanda-tanda IKHLAS?

Menurut Dzinun al-Misri :

1) Segala pujian atau pun celaan manusia tidak memberikan apa-apa kesan ke atas amalan kita. Maknanya, jika orang mengeji, kita masih teruskan amalan baik kita. Apatah lagi jika orang memuji, kita masih lakukan perkara yang sama tanpa mengharapkan lagi pujian orang lain.

2) Kita lupakan segala amalan-amalan baik kita. Jangan ungkit. Ingat! Jangan mengungkit. Kita berusaha pula melaksanakan amalan-amalan baik dengan lebih hebat lagi.

3) Setiap apa kita lakukan itu hanya mengharapkan keredaan Allah serta ganjaran di akhirat.

Jika ketiga-tiga perkara di atas berjaya dilaksanakan, maka kita sudah mencapai tahap IKHLAS yang sebenarnya. Ini semua berkait dengan hati. Maka kita sebagai hamba Allah tidak layak untuk mempersoalkan keikhlasan orang lain. Ia di luar kemampuan kita.

Saya juga harus muhasabah diri. Saya juga percaya tuan-tuan juga mahu muhasabah diri semula. Pernah tak kita terfikir atau terlepas cakap bahawa kita tidak berpuas hati dengan markah prestasi yang diberikan oleh majikan. Kita yakin bahawa kita sepatutnya mendapat markah yang lebih tinggi. Maka bermula hari ini, biarlah kita lakukan tugas kita dengan IKHLAS tanpa mengharapkan pujian manusia. Ini kerana penilaian Allah lebih hebat lagi berbanding manusia di persekitaran kita.

Kesimpulannya, jika kita mahu hati yang tenang dan bahagia, maka laksanakan segala amalan kita dengan penuh KEIKHLASAN. Walaupun nampak sukar, kita sama-sama didik HATI kita agar bersifat IKHLAS. Kita hendaklah berusaha memohon pada-Nya. Timba seberapa banyak ilmu dunia dan akhirat. Latih diri sentiasa memberi dan beristighfar pada-Nya.

Insya-Allah kita berjaya di dunia dan di akhirat.
 

Selesa

Posted: Tuesday, May 29, 2012 by WZWY in Labels:
0

TANGGAL 28 MEI 2012, Wan Nur Faqihah (belum daftarkan nama di JPN) dibenarkan keluar dari wad Hospital Umra, Shah Alam.

Alhamdulillah, sepanjang isteri dan anak berada di sini, kami dilayan dengan penuh mesra dan selesa.

Beberapa perkara perlu dipersiapkan jika tuan/puan mahu bersalin di sini ialah :

1) Sediakan ongkos yang lebih daripada pakej ditawarkan kerana akan ada caj-caj tambahan jika ibu atau bayi memerlukan khidmat tambahan. Contoh kami hanya dimaklumkan bayaran sekitar RM3500-RM3800 (bersalin secara pembedahan). Oleh kerana anak perlukan rawatan tambahan dan isteri pula perlu tambahan darah, maka caj meningkat kepada RM4474.

2) Jika suami/ahli keluarga yang akan menemani isteri di wad, sila bawa 'kerusi malas/tambahan'. 

3)  Sila bawa makanan sendiri.

Selain itu juga walaupun kita rasa kita sudah merancang bersalin di hospital swasta yang menyediakan pakar dan pelbagai kemudahan, jangan lupa untuk terus solat sunat dan berdoa pada Yang Maha Esa agar dipermudahkan segala urusan kita. Jangan hairan kerana masih terdapat kes-kes luar jangka di hospital swasta yang menyediakan segala kepakaran mereka masih gagal melawan takdir Ilahi dan terpaksa dirujuk kepada hospital kerajaan.

Isteri saya juga sebelum ini diminta rujuk dengan hospital kerajaan kerana mengalami darah rendah. Dan kami juga sudah dua kali ke Hospital Sg Buloh. Tidak adil jika kita mahu bandingkan keselesaan dan kemudahan perkhidmatan di kedua-dua hospital ini. Tapi secara jujurnya, hospital kerajaan sudah membuat banyak perubahan dan selesa kecuali di beberapa kawasan yang padat penduduk seperti di Hospital Ampuan Rahimah Klang.

Selesa di alam sana

Kita semua mahukan keselesaan dan perkhidmatan yang cemerlang. Maka kita perlukan sedikit pengorbanan wang ringgit. Begitu juga jika kita ingin selesa berada di alam barzakh dan alam akhirat dan memasuki syurga Allah. Kita perlukan pengorbanan dan bersabar. Iman dak takwa menjadi syarat utama untuk memperoleh 'keselesaan' di alam sana. Oleh kerana, di dunia kita nampak dengan mata kasar, maka kita sanggup berbelanja besar. Berbeza pula dengan janji Allah di alam akhirat di sana seperti tidak diendahkan dan masih leka dengan keindahan dunia. Muhasabah untuk diri saya dan tuan/puan.

Rasulullah bersabda, "Berseru seorang penyeru ( di alam syurga ) bahawa kamu akan selalu sihat dan tidak akan sakit selama-lamanya, akan hidup tidak akan mati selama-lamanya, akan muda dan tidak akan tua selama-lamanya, akan berasa senang (gembira) tidak sudah atau bosan selama-lamanya." (Riwayat Muslim).

Nah, apa lagi? Inilah janji Allah SWT.

Tapi..itulah hakikatnya ramai manusia yang masih lagi tanpa segan silu melanggar hukum Allah. Anggap dunia adalah segala-galanya. Ada harta tetapi dibelanjakan secara boros dan ke arah yang tidak diredai Allah.

Satu lagi sabda Rasulullah SAW, " Allah menciptakan 100 rahmat, satu rahmat dibahagikan kepada seluruh isi dunia ini, sedangkan 99 bahagian lagi dibahagikan di akhirat (iaitu di syurga)." (Riwayat Muslim)

Allahu akbar! Kerdilnya apa yang saya rasa sekarang. Saya mengejar satu bahagian daripada pagi ke malam. Dan begitulah kehidupan manusia sekarang mengejar dan terus mengejar kebahagiaan dunia. namun hakikatnya, ia hanya satu bahagian sahaja. Alangkah cantiknya, jika kita kejar akhirat dan dunia ikut sekali di belakangnya.

Semua ini kerana kita mahu selesa. Maka hiduplah untuk akhirat.
Insyallah.

Mohon undur diri.

CEMAS SEKETIKA

Posted: Sunday, May 27, 2012 by WZWY in Labels:
0

Situasi saya agak gawat pada tengah hari semalam (26hb Mei) apabila Zikry mengadu sakit perut dan sakit kepala. Badan dia juga agak panas. Sejak awal pagi tadi dia mengadu sakit perut dan sakit kepala. Lebih kurang pukul 8 pagi selepas masak nasi bubur dan bakar ikan untuk dibawa ke hospital, saya lihat Zikry masih lagi tidur. Ziyad dan Zali tertidur di ruang tamu selepas solat Subuh.
 
Selepas menghantar sarapan isteri dan ibu mertua, saya singgah sekejap bersarapan di sebuah kedai mamak. Hati masih tidak tenteram kerana keadaan Zikry tadi masih lagi tidak stabil.
 
Lebih kurang pukul 12 tengah hari saya bawa Zikry ke sebuah poliklinik di Alam Budiman. Zikry pula seperti biasa kurang bercakap dan menangis. 
 
Kecewa. Apabila sampai di kaunter sebuah poliklinik tersebut, saya tidak dilayan atau ditegur pun. Malah staf sibuk dengan kerja dia sahaja. Bila ditanya, dimaklumkan doktor ada tetapi tidak dipanggil untuk mendaftarkan nama. 
 
Selepas lama menunggu, saya ambil keputusan panggil Zikry yang dalam keadaan sakit keluar. Saya teringat masih ada satu klinik swasta di taman perumahan ini, Klinik As-Syakirin. Saya terus hidupkan enjin dan ke klinik tersebut. Alhamdulillah, sampai sahaja terus dipanggil daftar dan masuk ke bilik doktor.
 
Terkejut apabila doktor syak Zikry ada apendiks. Maka dia minta saya hantar segera Zikry ke Hospital Sungai Buloh.
 
Dalam kepala sedang fikir macam mana kalau Zikry masuk wad dan isteri masih dirawat di Hospital Umra Seksyen 13, Shah Alam. Teringat kembali pada tahun 2003 apabila Al-Ghazali masuk ICU dan Zikry pula ditahan di wad kerana asma.
 
Dipendekkan cerita selepas hampir 4 jam di Hospital Sungai Buloh, doktor khabarkan berita gembira apabila ujian darah menunjukkan Zikry tidak ada simptom sakit apendiks. Doktor hanya memaklumkan Zikry ada jangkitan kuman dan diberikan anti biotik. Dibenarkan pulang.
Alhamdulillah.
 
Syukur dengan nikmat Allah. Dalam hati tetap terus berdoa agar tiada apa-apa berlaku kepada anak kedua ini. Banyak benar dugaan dia alami sejak berumur 3 tahun. Keluar masuk hospital.
 
Hari ini (27hb Mei ) isteri dibenarkan pulang. Badan masih lemah. Tugasan saya sejak 26hb ialah masak bubur nasi dan bakar ikan selar. Ia akan berterusan hingga habis pantang. 'Baby' masih ditahan wad dan dibenarkan keluar pada esok hari (28hb Mei).

Semoga diberi keredaan dan kerahmatan Allah.

Amin.

Kehadirannya dinanti....

Posted: Saturday, May 26, 2012 by WZWY in Labels:
0

SEGALA PUJI BAGI ALLAH, dengan keizinan-Nya seorang puteri hadir dalam keluarga kami. Lebih kurang pukul 11 pagi, zaujah keluar dari bilik pembedahan Hospital Umra Shah Alam.

Masa zaujah disahkan mengandung, kami tidak kisah sama ada ahli baharu nanti lelaki atau perempuan. Sebelum ini kami telah dikurniakan 4 hero dan anak yang nombor 4 pun sudah berumur 6 tahun.

Sesungguhnya kehadiran puteri ini amat bermakna dalam keluarga kami. Ia anugerah terbesar Allah kepada kami pada tahun ini. 

Dua tiga hari lepas kami masih berkira-kira sama ada zaujah bersalin di Hospital Sg buloh atau di Hospital Umra. Doktor pakar di Hospital Umra telah maklumkan bahawa zaujah ada tekanan darah rendah. Jadi, untuk keselamatan dan bekalan darah mencukupi, zaujah dinasihatkan bersalin di hospital kerajaan.

Pada malam 24hb Mei, zaujah mahu membuat pemeriksaan kandungan sekali lagi di Hospital Umra. Kemudian kami diberi pilihan untuk bersalin di sini secara pembedahan atau menunggu hari untuk bersalin secara normal di Hospital Sg Buloh. Bayi dalam kandungan makin membesar. Dikhabarkan sudah mencecah 4KG. Ia menimbulkan kerisauan kami.

Selepas berdiskusi di lobi Hospital Umra, kami memutuskan supaya zaujah bersalin secara pembedahan kerana memikirkan kemampuan zaujah agak terbatas kerana darah rendah. Maka tarikh pembedahannya pula ialah pada keesokan hari (25hb). Zaujah juga akan dibekalkan 2 pain darah sebagai persediaan nanti.

Tepat jam 9.50 pagi, zaujah dibawa masuk ke bilik operasi. 

Lebih kurang 11 pagi, zaujah dibawa masuk ke dalam wad. Badan zaujah amat lemah sekali. Kemudian kembali ceria selepas ahli keluarga baharu dibawa masuk ke dalam wad. Kemudian tugas saya pula memperdengarkan kalimah Allah di telinganya. Mendoakan agar bayi comel ini akan menjadi muslimah sejati dan mendoakan kami pula nanti. Insya-Allah.

Allahu akbar! Semoga kita semua dirahmati-Nya.

Hanya Linangan Air Mata

Posted: Thursday, May 24, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

"TOK!TOK!TOK!"

Pintu bilik saya diketuk. Kemudian muncul salah seorang guru.

"Encik Wan! Ada seorang murid kita mengalami masalah dalaman yang agak besar."

Saya menyambut satu set soalan peperiksaan . Kemudian saya melihat semula ke arah guru itu semula.

Tidak percaya.

Murid itu menulis deretan ayat bagaikan sebuah lagu atau puisi tentang kemarahan dan kekecewaannya di halaman kosong di belakang set soalan itu.

Dia begitu kecewa apabila ayah mengabaikannya. Dia juga kecewa apabila ayahnya memperlakukan ibu sedemikian rupa. Dia sangat marah dan berdendam kepada seorang ayah yang tinggalkan ibu, dia dan dua adik yang lain.

Murid ini adalah mangsa sebuah rumahtangga yang runtuh.

Saya tidak tergamak untuk tulis di sini isi perbualan saya dan murid perempuan tersebut. Dia lahirkan segala isi hati kekecewaannya. Kesal dan marah.

"Saya dan adik-adik, kadang-kadang tidak makan kerana ibu tiada duit."

"Bila balik sekolah, kami pernah hanya minum air sahaja kerana tiada makanan di rumah."

"Adik saya berumur 3 tahun minum air teh dan bukan susu kerana ibu tiada duit untuk belikan susu."

"Ayah boleh terbang bercuti tetapi sanggup lupakan saya dan adik-adik. Kata tiada duit."

Murid ini bercucuran air mata dari awal hingga akhir pertemuan. Alhamdulillah, sudah menjadi rezeki murid ini kebetulan masih ada sebahagian pakaian, kasut dan beg yang lebih sumbangan syarikat MISC pada tahun lepas. Maka kami menyerahkan kepada murid dan adik lelakinya. Moga ia membantu. Wajah suram murid tadi mula mengukir sedikit senyuman. Kemudian saya maklumkan mereka akan masuk senarai 'waiting list' penerima makanan RMT pada setiap pagi. Jika ada murid tidak hadir sekolah. Mereka akan menggantikan mereka untuk ambil sarapan tersebut.

Saya juga terkesan. Murid pada usia 11 tahun ini telah menerima tekanan hidup sehebat itu.  Ke manakah perginya rasa kasih dan sayang serta tanggungjawab seorang ayah? Biarkan bekas isteri dan anak-anak menderita. Inilah dunia yang kita diami sekarang. Nasihat saya padanya, "Jangan lupa solat. Minta doa dengan Allah banyak-banyak."

Saya undur diri dahulu.

2 Cerita 1 Hari

Posted: Wednesday, May 23, 2012 by WZWY in Labels:
0

SATU CERITA yang agak menyedihkan tentang segelintir masyarakat Islam di persekitaran kita. Kedua, sebuah cerita 'biasa' tetapi boleh diambil manfaat oleh sahabat-sahabat.

Saya mulakan dengan yang pertama. Selepas habis waktu kerja dan singgah sebentar di Kota Damansara untuk membuat pembayaran kad kredit di salah sebuah bank berhampiran simpang tiga berdekatan stesen minyak Shell. Selepas ini perancangan mengambil isteri di Hospital Sungai Buloh.

Saya terpaksa parkir kereta agak jauh dan berjalan melalui blok bangunan bersebelahan bank berkenaan. Dari jauh saya agak tertarik dengan gelagat seorang lelaki Melayu yang agak tegap dan fesyen rambut ala komando duduk di meja luar sebuah restoran. Sekejap pandang ke atas, sekejap ke bawah dan sekejap ke tepi. Kedua-dua mata mula membesar dan kemudian mengecil. Saya berhenti seketika kira-kira 10 meter di depan lelaki berkenaan.

Saya perhatikan apa yang dibuatnya dengan sehelai kertas di depannya. "Mungkin sedang mencatat nota atau senarai barangan." Saya berfikir demikian.

Apabila saya perlahan-lahan berjalan di sebelahnya, mata saya sempat menjeling ke arah meja lelaki berkenaan.

Alahai...rupa-rupanya dia sedang mencari ilham.
Benar ia mencari ilham nombor mana yang bakal naik.
7474, 4747, 7744, 4477. Inilah angka yang sedang ditulisnya. 

Saya menggeleng seketika. Badan tegap, tubuh badan sihat tetapi kerja 'tikam nombor' menjadi pilihannya. Memang patut dia berada di situ kerana deretan kedai nombor ekor bertapak di sini sehingga saya sampai ke muka pintu bank. Saya perhatikan di dalam kedai-kedai tersebut terselit 2-3 orang lelaki Melayu. Ada yang siap bertopi keledar.

Bukan lagi kira soal HALAL atau HARAM. Janji mudah dan berikan 'keuntungan'. Tidak pasti berapakah jumlah orang Islam yang kaya raya disebabkan gila judi. Kalau tonton cerita God Of Gambler, digambarkan para penjudi yang kaya raya. Namun begitu, entah apalah nasib orang-orang kita yang masih berjudi walaupun sedar ia dilaknati oleh Allah.

Bila fikirkan lagi. Rezeki inikah yang bakal dibawa balik untuk menyara keluarga. Itu jika menang. Kalau asyik kalah, tentu anak dan isteri akan menjadi mangsa. Saya juga terfikir tadi untuk minum semeja dengan lelaki berkenaan. Kemudian cuba bertanya, berapa banyak modal dan untung berjudi. Bila fikirkan soal keselamatan diri sendiri. Saya masih lagi lemah dan belum ada kekuatan untuk itu. Namun begitu, saya berdoa agar berjumpa lagi dengan lelaki berkenaan dan cuba bertanya khabar dan sampaikan apa yang sepatutnya. Insyallah.

Cerita kedua pula saya rasa ramai sudah mengalaminya. Bukan soal besar pun. Hanya berkaitan isu 'parking' di Hospital Sungai Buloh. Setiap kali saya ke sana, pasti sukar untuk parkirkan kereta. Biasanya terpaksa parkir di luar pagar. Lagi mudah dan tidak pening kepala. Cuma agak jauh berjalan.

Sebelum sampai ke perkarangan hospital, saya teringat tentang masalah 'parking'. Terlintas di hati saya agar urusan hari ini dipermudahkan. Saya beristighfar 10 kali dan membaca sekali surah Al-Fatihah. Pesan guru, bacalah mana-mana surah yang mudah diingati dan mohonlah sesuatu yang baik daripada Allah.

Selepas itu dengan penuh yakin berdoa, "Ya Allah, berikan aku kemudahan untuk 'parking'kan kereta pada petang ini. Biarlah ada satu petak 'parking' kosong untuk aku."

Sebaik sahaja memasuki perkarangan hospital, saya terus belok kanan ke kawasan parking di depan pintu utama. Biasanya saya 'parking' berdekatan cafe. Bila masuk kawasan 'parking' kelihatan tiada petak kosong. Memang pun, ada banyak kereta terpaksa 'parking' di luar tadi. Tiba-tiba, "Eh! Cantik pula tempat kosong di depan sana." Dua tiga buah kereta di depan saya tadi meluncur laju mencari petak 'parking' berhampiran cafe. 

Alhamdulillah. Tidak sampai satu minit, terus masuk 'parking' dengan aman damai. Wah! Sesungguhnya jika Allah izinkan, maka ia mudah untuk kita. Berdoa dan yakin pada-Nya.

Sekian.

Haruskah dibuat perbandingan?

Posted: Tuesday, May 22, 2012 by WZWY in Labels:
0

KADANG-KADANG SAYA juga tewas apabila berasa rendah diri apabila membuat perbandingan dengan si fulan dan si fulan. Saya hanya manusia biasa yang tidak dapat lari daripada melakukan dosa dan kesilapan. Setiap orang inginkan kehidupan yang lebih baik berbanding apa yang dinikmati hari ini.

Tapi..bila guru berpesan, "Lihatlah orang di bawahmu dan bukan di atasmu."

Subhanallah, saya menjadi sebahagian manusia yang tidak bersyukur. Tidak pernah cukup dengan apa yang ada. Saya juga pernah lalui fasa kehidupan yang menyakitkan. Dan semua itu adalah campur tangan Allah. Maka, saya menerima setiap ketentuan-Nya itu dengan reda. Setiap permasalahan hidup itu rupanya lebih mendekatkan diri saya dengan-Nya. Ia juga menjadikan saya lebih kuat dan berusaha dengan maksima.

Ketika saya menghadapi kesulitan hidup, saya diajar agar tidak melihat kepada permasalahannya. Habis itu apa? Lihatlah setiap masalah atau kesulitan hidup itu dengan sudut pandangan positif. Muhasabah diri semula. Apa yang telah saya lakukan sebelum ini sebagai hamba-Nya. Setiap masalah itu menjadi UJIAN, PERINGATAN atau AZAB Allah SWT. Maka saya sedar, saya berada di posisi yang mana satu.

Kadang kala saya menganggap si fulan itu hidup senang dan bahagia. Rumah besar, kereta mahal dan pendapatan lumayan. Siapa saya jika dibuat perbandingan begitu? Sungguh kerdil rasa diri ini.

Namun hakikatnya, setiap manusia itu mempunyai permasalahan tersendiri. Mungkin saya rasa si fulan itu hebat, tetapi dalam masa yang sama mungkin si fulan itu juga sedang mengalami tekanan hidup yang lebih hebat lagi. Beristighfar, mohon keampunan kerana jiwa saya lemah dalam memahami sebuah kehidupan anugerah-Nya.

Saya harus sedar, sebagai hamba-Nya yang mengakui kebesaran-Nya harus berpegang kepada dahan keimanan kepada-Nya. Hidup di atas landasan ketakwaan kepada-Nya. Ingatkan diri sentiasa bahawa kehidupan di dunia ini tiada makna jika bekalan akhirat entah ke mana.

Kenapa harus saya cemburui kejayaan insan lain sedangkan saya juga dianugerahkan berbagai-bagai nikmat daripada-Nya. Masih  ramai manusia yang tidak bernasib baik sebagaimana saya. Kenapa harus saya bandingkan mereka dengan kehidupan atau kemampuan saya? Semua itu rezeki daripada-Nya. Kita berusaha, berdoa dan bertawakal. Itu suatu hakikat yang wajib diyakini.

Ujian dan persoalan hidup adalah suatu ketetapan daripada Allah SWT. Ketika ujian menimpa diri atau orang yang terdekat, bersabarlah dan hadapinya dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Setiap kesulitan itu ada kemudahan daripada-Nya. Insya-Allah!

Tugas kita ialah muhasabah diri dan sentiasa dekatkan diri pada-Nya. Jauhi segala perkara yang mendatangkan dosa. Perbanyakan zikrullah dan sedekah. Pertingkatkan amal ibadah. Maha suci Allah, kita akan mendapat kerahmatan-Nya.

Amin!

Berdoalah..Jangan Putus Asa

Posted: Monday, May 21, 2012 by WZWY in Labels:
0


“Saya sudah putus asa. Segala yang saya lakukan sudah tidak berguna lagi. Saya hilang keyakinan diri. Saya tewas.”

“Apa yang berlaku?”

“Isteri saya sudah tidak cintakan saya. Semua perkara yang saya lakukan kini, tiada makna lagi.”

“Adakah tuan pernah lakukan kesilapan?” Saya menduga.

“Iya. Dulu saya selalu abaikan dia. Semakin lama kudis itu makin membesar dan menyebabkan dia sudah tiada apa-apa perasaan lagi terhadap saya.”

“Berdoa dan bersolatlah. Insya-Allah keadaan kembali pulih.”

“Tidak mungkin.”

“Mungkin betul sangkaan saudara.”

Lelaki itu membulatkan mata. “Kenapa tuan kata begitu?”

“Kerana tuan sendiri beranggapan begitu. Tuan sudah hilang keyakinan diri. Tuan perlu ingat, kita masih ada Allah. Dia yang menyatukan hati tuan dan isteri suatu ketika dahulu. Jadi, kembalilah kepada pemilik penyatuan hati itu. Berbaik sangka pada Allah.”

Inilah sebahagian kisah manusia yang sedang dan telah diuji oleh Allah. Dan terpulanglah pula kepada seseorang itu mahu mengambil tindakan yang bersesuaian. Andai masih yakin dan beriman kepada-Nya. Maka, kembalilah pada-Nya. Mungkin ini suatu peringatan daripada-Nya agar kita sedar dan insaf di atas segala kelalaian kita sebagai hamba-Nya.

Jangan tuding jari kepada orang lain. Kita yang bertanggungjawab di atas segala yang berlaku. Kita bersabar di saat diuji dan kita juga bersabar apabila bahagia mula menjelma. Saat gembira dan bahagia sebenarnya lebih sukar untuk bersifat sabar. Oleh sebab itu ramai manusia yang bahagia, kaya raya dan seumpamanya tewas dengan dorongan hawa nafsu.

Salah satu teknik yang dianjurkan oleh Islam sebagai perangsang kekuatan diri kita ialah berzikir. Benarkah begitu? Kata Imam Bukhari, zikir adalah tugasan harian setiap muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap saat agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap saat.

Saya tunjukkan satu bukti iaitu firman Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 35 :”Dan golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.”

Andai lelaki tadi terus berzikir dan mengingati Allah. Insya-Allah keyakinan diri akan pulih. Reda dia atas apa yang berlaku selepas berusaha habis-habisan memberi dan terus memberi kepada pasangannya. Berikan kasih sayang, berikan doa, berikan khidmat sebagai suami dan seumpamanya. Andai kata selepas semua itu masih belum berganjak tingkah laku isteri, fikirkanlah jalan alternatif yang terbaik untuk kedua-duanya. Sesungguhnya sesiapa beriman dengan-Nya, maka Dia akan berikan pertolongan.

Percayalah!

Ada Yang Lebih Penting Lagi

Posted: Saturday, May 19, 2012 by WZWY in Labels:
0

KEBANYAKAN MANUSIA pada hari ini amat tekun mencari rezeki. Keluar pagi dan pulang malam. Di pejabat atau di tempat kerja sentiasa mendapat pujian kerana memberikan perkhidmatan cemerlang.

Ada juga sesetengah manusia yang terlalu leka mencari harta dan wang ringgit sehingga mengabaikan tanggungjawab utama sebagai hamba Allah SWT. Sanggup bersekang mata mengumpul wang tetapi dalam masa yang sama dahi tidak pernah menyentuh sejadah.

Pendek kata, manusia lebih mengutamakan keindahan dan kemanisan dunia semata-mata. Padahal sudah sedar bahawa suatu hari nanti semuanya akan dibawa ke padang Mahsyar untuk dibicarakan.

Sebenarnya ada yang lebih penting selain bekerja siang malam atau pun terpaksa mengejar waktu untuk menyiapkan projek perniagaan.

Apa dia?

Ibadah lahir dan dan ibadah batin.

Dalam Islam ada ibadah lahir dan ada batinnya. Ada orang Islam, amalan dan ibadah lahirnya sukses. Dia berjaya solat, puasa, tunaikan zakat, mengerjakan haji, menutup aurat dan sebagainya. Namun begitu, dalam pada itu masih ramai umat Islam gagal dalam melaksanakan ibadah lahir mereka. Mereka cuai menunaikan solat atau melambat-lambatkan solat, tidak berpuasa dan seumapamanya.


Muhasabah buat diri saya sendiri.

Amalan dan ibadah kita bukan setakat melaksanakan sahaja. Kalau kita hanya laksanakan ibadah lahir sahaja, belum ada apa-apa makna lagi jika abaikan ibadah batinnya. Ia diibaratkan buah, amalan dan lahiriah itu hanyalah kulitnya sahaja. Kita belum mendapat isinya walhal nilai buah itu terletak kepada kemanisan isinya.

Dalam erti kata lain setiap ibadah yang kita lakukan ada ROH IBADAH. Roh dalam ibadah solat di antara lain ialah khusyuk. Roh dalam ibadah puasa ialah mendidik nafsu, menyuci dan mengembalikan fitrah kita kepada keadaan asal semula jadinya suci dan murni. Roh dalam ibadah zakat ialah mengorbankan perasaan cinta kepada harta dan mata benda dunia dan menggantikannya dengan cinta kepada Allah dan kepada manusia yang fakir miskin.


Maka kita sama-sama semak sama ada segala ibadah kita itu dapat mendidik HATI kita dekat dengan-Nya atau sebaliknya. Dapatkan kita mengekang hawa nafsu kita untuk melakukan dosa. Mampukah kita membersih hati dari segala sifat-sifat mazmumah dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah.


Kita sama-sama semak dan perbaiki diri. Insya-Allah.
Selamat bercuti di hujung minggu.
Apa perancangan hari ini?

Indahnya Bahasa

Posted: Wednesday, May 16, 2012 by WZWY in Labels:
0

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah kata-kata kita terhadap seseorang sama ada bercakap berdepan, melalui telefon, chatting di laman sosial atau SMS. Mungkin kita berniat baik, tetapi cara nada suara atau pemilihan kata-kata yang boleh mengguriskan perasaan orang lain perlu dielakkan.

Sifirnya mudah sahaja. Kalau kita rasa sakit sakit hati bila orang berkata demikian kepada kita. Orang lain pun sama juga. Nampak mudahkan?

Kita mungkin meminta pertolongan seseorang atau pasangan. Permulaan ayat sudah cantik. Sebagai contoh :

"Abang tolong beli apa-apa buah-buahan bila balik nanti. Tak kan hari-hari nak makan roti kering sahaja. Boringlah."

Apa perasaan saudara bila membaca petikan ayat demikian atau telinga mendengar ayat demikian?

Kenapa tidak, "Abang tolong singgah beli apa-apa buah nanti. Rasa mengidam durianlah."

Suami pun tersenyum bila membaca ayat SMS ini.

Perkara ini perlu diberi perhatian kerana kita ini manusia yang yang akal,nafsu dan perasaan. Jika kita marah, orang pun sama juga. Ingat itu sahaja.

Namun begitulah, kita sebagai manusia ada kelemahan masing-masing. Biar belajar hingga menara gading sekali pun dengan berkelulusan apa-apa bidang sekali pun, jika akhlak percakapan tidak dijaga. Maka kita tidak akan dihormati oleh sesiapa pun. Mungkin kita rasa orang takut atau hormat kita. Mungkin kerana tidak mahu ia menjadi isu pergaduhan. Maka sama-sama  jaga hati dan perasaan pasangan atau rakan-rakan.

Biar hamba undur diri dahulu.
Insan masih mahu belajar.


 

Caj Bateri

Posted: Tuesday, May 15, 2012 by WZWY in Labels:
0

14 MEI 2012 ( 3.45 PM )

PETANG INI saya mengajak sahabat, sifu penulisan, motivator dan mentor penulisan saya Tuan Haji Zakaria makan roti Arab di salah sebuah restoran berhampiran GISB.

Kami sentiasa keluar minum dan sembang berkaitan dunia penulisan. Masih banyak perkara perlu saya belajar dan terus belajar.

Apabila saya merasakan 'bateri' saya semakin melemah. Saya biasanya berjumpa beliau untuk 'caj' balik agar idea saya kembali segar dengan izin Allah SWT.

Petang ini beliau mencadangkan agar saya menulis sebuah buku yang tidak boleh ditulis oleh orang yang bukan guru. Saya masih berfikir apa idea atau konsep yang sesuai. Alhamdulillah, dalam berbincang beberapa idea telah terbit dan boleh dimurnikan lagi. 

Itulah, dunia penulisan bagi saya agak unik dan berbeza mengikut kemampuan seseorang. Adakala saya boleh menulis dengan lancar berada di sebuah restoran yang para pelangganya lalu lalang. Adakala saya perlukan ruang waktu atau lokasi yang sunyi untuk hayati penulisan tersebut. 

Satu perkara ialah saya suka berjumpa rakan penulis atau sesiapa yang terlibat dalan dunia penulisan untuk percambahan ilmu dan idea-idea baharu. Sekurang-kurangnya apabila 2-3 orang penulis berkumpul, ia dapat memberi manfaat bersama.

Insya-Allah, diberi kekuatan untuk menulis proposal terbaharu, "Cikgu, Anak Saya O.K?".

Wallahualam.

Terima Kasih Ma....

Posted: Sunday, May 13, 2012 by WZWY in Labels:
0

SENTIASA DOAKAN BONDA TERCINTA Zaharah Mohamad agar terus dilimpahi kerahmatan Ilahi. Tidak pernah tertinggal walau satu hari untuk mendoakan kerahmatan buat bonda dan arwah ayahanda. Begitulah yang diajar kepada kita agar sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

Insya-Allah hujung minggu depan tiba giliran saya pula membawa bonda tinggal bersama-sama keluarga saya. Begitulah rutin kini, bonda akan bergilir-gilir berada di rumah adik-beradik kami seramai empat orang yang  kebetulan sama-sama merantau di bumi Selangor. Adik lelaki nombor lima pula bekerja di Pontian, Johor. Adik bongsu masih mengikuti pengajian kejuruteraan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Alhamdulillah dengan didikan arwah ayahanda Wan Yusoff dan bonda, kami enam adik-beradik berjaya sampai ke menara gading. Syukur di atas nikmat rezeki Allah SWT ke atas keluarga kami. Walaupun saya agak terlewat berbanding empat adik yang lain, akhirnya tercapai juga.

Scott Imulsion

Salah satu perkara rutin yang saya dipaksa lakukan pada setiap pagi sebelum ke sekolah dahulu ialah minum Scott Ilmulsion. Kalau dahulu ia tiada perisa oren sebagaimana sekarang. Memang saya kena tutup hidung setiap kali minum minyak ikan ini. Tapi itulah, kata bonda ia baik untuk kesihatan. 

Terima kasih banyak-banyak Ma di atas pengorbanan tiada henti-henti untuk membesarkan saya dan lima adik yang lain.

Saya bercita-cita untuk bersama-sama bonda tercinta ke Tanah Suci. walaupun Ma pernah mengerjakan ibadah haji. Insya-Allah ia terlaksana. Mohon pada Ilahi agar hasrat ini diperkenankan-Nya. Semoga ilham terus mencurah-curah untuk dizahirkan ke atas kertas putih.

Terima kasih Ma. Moga terus dirahmati Allah SWT.

SESI BEDAH BUKU

Posted: by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH! Dengan izin Ilahi segmen 'Bedah Buku' SUAMI YANG TERUJI berjaya dilaksanakan di SK PPR Lembah Subang. Namun begitu, saya sesuaikan dengan audiens yang merupakan para pendidik dan sentiasa berdepan dengan karenah murid-murid.

Tempoh masa 50 minit sudah memadai buat saya melaksanakan sesi tersebut. Audiens juga beri perhatian yang sewajarnya. Maklumlah kisah-kisah yang disampai pun itu dekat dengan diri masing-masing.

Apa yang saya harapkan dalam tempoh masa itu, audiens dapat mengutip sebanyak mana maklumat yang disampaikan. Kemudian diterjemahkan pula dalam kehidupan masing-masing. Insya-Allah!
 
Satu perkara yang saya belajar hasil pembentangan tersebut ialah perancangan kita dalam melaksanakan sesuatu tugasan diamanahkan. Walaupun audiens itu merupakan guru-guru di bawah pentadbiran saya, saya perlu laksanakan sebaik mungkin agar mereka faham dan jelas dengan apa isu yang mahu saya sampaikan. Moga ia membantu mempertingkatkan juga prestasi kerja mereka.
 
Apa yang saya lihat ialah para guru yang berpotensi boleh merudum prestasi apabila dilanda badai masalah peribadi mereka. Sesiapa sahaja akan alami perkara yang sama. Jika pincang salah satu perkara dalam kehidupan kita, maka yang lain turut terjejas.
 
Contohnya, apabila seseorang itu menghadapi kemelut perhubungan dengan pasangan mereka, maka ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuan apabila berada di pejabat. Itulah namanya manusia. Ada hati dan perasaan. Maka, pembentangan tersebut meruapakan salah satu usaha saya merungkai permasalahan seumpama itu.
 
Mohon undur diri. Wassalam.


BERUBAH: MULAKAN DENGAN DIRI SENDIRI

Posted: Friday, May 11, 2012 by WZWY in Labels:
0

INSYA-ALLAH JIKA DIIZINKAN-NYA, pada  12 Mei 2012, saya diamanahkan untuk mengisi slot kerohanian dalam Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) SK PPR Lembah Subang.

Pada awalnya, tercari-cari tajuk atau isu yang sesuai. Kemudian saya mengambil keputusan untuk melaksanakan sesi 'bedah buku' SUAMI YANG TERUJI. Ia akan disesuaikan keperluan semasa audien.

Di antara perkongsian saya ialah :

Semua orang impikan KEBAHAGIAAN termasuk diri saya sendiri. Setiap orang juga ada IMPIAN yang mahu dicapai. Namun begitu tidak semua bernasib baik dalam mengecapi kebahagiaan khususnya dalam menempuh dunia rumah tangga. Inilah yang cuba saya kongsikan dengan para pembaca dalam buku SUAMI YANG TERUJI.

Secara ringkasnya, di antara syarat utama yang perlu kita laksanakan jika mahukan kebahagiaan ialah BERUBAH. Kita mulakan dengan diri kita terlebih dahulu untuk berubah. Pesan guru, "Jangan marah jika orang lain tidak berubah seperti yang kita harapkan kerana kita sendiri tidak berubah seperti yang kita inginkan."

Nampak mudah sahajakan?

Kita berubah menjadi seorang suami yang diharapkan oleh seorang isteri. Begitu juga isteri melakukan perkara yang sama. Kemudian kita berilah peluang, hulurkan kemaafan, berilah dorongan dan doakan agar si dia juga turut berubah. Sikap menyalahkan orang lain membuatkan masalah tidak pernah selesai. Buang segala ego dalam diri. Dikatakan orang ego sukar memberi. Dia hanya mahu menerima. Maka kita mulakan dengan diri kita untuk BERUBAH.

Contoh :

1) Sebelum ini sukar bertanya khabar, ubah dengan bertanya khabar.
2) Sebelum ini pemarah, ubah diri agar sentiasa bersabar dan beristighfar.
3) Sebelum ini tidak tepati masa, ubah untuk menepati masa.
4) Sebelum ini lambat solat, ubah bila masuk waktu, cepat-cepat tunaikan solat.
4) Sebelum ini solat bersendirian, ubah dengan solat berjemaah di rumah.
5) Sebelum ini sukar ke surau/masjid, ubah kepada setiap hari solat di surau/masjid.

Sekadar perkongsian. Semoga Allah reda.

KEMATIAN BUKAN PENGAKHIRAN

Posted: Tuesday, May 8, 2012 by WZWY in Labels:
0

05 MEI 2012 KETIKA saya sedang mengadakan promosi buku di gerai Galeri Ilmu, saya dikejutkan satu SMS rakan memaklumkan kami telah kehilangan seorang rakan baik semasa di kolej dahulu, Allahyarham Hisyam Asmawi.

Terkedu seketika.

Diusia 39 tahun arwah yang cukup dikenali di kalangan kami salah seorang peminat seni lukis dan akhirnya berjaya menggapai cita-cita beliau sebagai seorang artis seni lukis yang cukup dihormati telah kembali kerahmatullah.

Di sebelah ini adalah salah satu lukisan arwah yang saya ambil dari laman FB yang masih terus 'dijaga' oleh isteri arwah.

Kematian Bukan Pengakhiran

Sesuatu kematian itu adalah permulaan pada satu kehidupan baharu yang tidak akan mati-mati lagi. Kembara manusia akan diteruskan lagi ke alam barzakh, sebelum menyambung perjalanan ke alam akhirat bagi menentukan seseorang itu berada di syurga atau di neraka. Nauzubillah. Alam barzakh ini hanya sebagai fasa transit sahaja.

Mati itu hanyalah satu proses transisi manusia dari alam dunia menuju alam barzakh. Ia melalui proses sama sebagaimana manusia dari alam roh ke alam dunia. Apabila kita dicabut nyawa, maka ia merupaka suatu proses jiwa (roh) meninggalkan jasad.

Sesungguhnya kehilangan Hisyam Asmawi cukup terkesan di hati rakan-rakan. 

"Arwah mati dengan tiba-tiba."

Namun hakikatnya ia sudah termaktub dalam aturan Allah SWT. Kita pula akan tiba waktunya. Entah bila. Moga-moga roh arwah Hisyam Asmawi akan berada di kalangan orang-orang beriman. Insya-Allah. 

Tugas kita yang masih hidup di dunia fana ini ialah persiapkan bekalan untuk ke sana juga suatu hari nanti.

Muhasabah diri.

Giliran kita pula nanti.

Pengorbanan Isteri

Posted: Monday, May 7, 2012 by WZWY in Labels:
0

APABILA PERTAMA KALI saya melihat gambar ini dua tahun lepas, ia nampak lucu. Hakikatnya apabila saya melihat dari sudut berlainan.

Inilah 'tugas' isteri yang sentiasa berkorban dalam apa jua situasi.

Saya juga kena ambil iktibar di atas tugasan dan pengorbanan isteri selama ini. Begitu juga dengan saudara-saudara, cuba semak semula sejauh manakah pengorbanan isteri dihargai.

Saya juga menulis di dalam buku SUAMI YANG TERUJI tentang perkara berkaitan di bab lima. Di antara tips suami idaman wanita ialah Bantu isteri dalam urusan rumahtangga.

Di antara perkara yang perlu diambil kisah oleh para suami ialah memahami tugasan isteri di rumah seperti soal di dapur, pengurusan anak-anak, kebersihan rumah dan seumpamanya. Jangan lambakkan semua tugas kepada isteri semata-mata. Apatah lagi kalau isteri yang berkerjaya.

Saya juga menulis di antara solusi yang boleh dilakukan oleh para suami ialah :

1) Menyediakan pembantu rumah (jika berkemampuan).

2) Menggunakan khidmat pembantu di hujung minggu (jika berkemampuan).

3) Membeli peralatan moden di rumah seperti periuk nasi elektrik, mesin basuh, dan sebagainya yang memudahkan tugas isteri.

4) Suami isteri berganding bahu menguruskan rumah tangga. Inilah solusi yang terbaik kerana ia akan mengeratkan lagi perhubungan suami isteri.

Moga Allah reda.

PELANCARAN BUKU SUAMI YANG TERUJI

Posted: Wednesday, May 2, 2012 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH saya sempat berada di majlis pelancaran buku-buku terbaharu di Pentas Utama PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Majlis telah disempurnakan oleh Dr. Awang Sariyan, Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Buku SUAMI YANG TERUJI telah dilancarkan bersama-sama 47 buah buku baharu terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Pada tahun ini kelihatan buku-buku terbitan Galei Ilmu mantap dari segi pemilihan reka bentuk kulit. Tahniah buat Saudara Mislan Samsuri. Kebetulan sempat bertemu beliau semalam (01 Mei ) berhampiran pentas utama. Dia juga sangat berpuas hati dengan reka bentuk kulit yang berjaya dihasilkan. Sekali lagi tahniah buat beliua dan seluruh tim GISB yang sentiasa mahukan yang terbaik.

 Saya juga berkesempatan menandatangani dan bertegur sapa dengan para pembeli buku ini. Saya akui masih terlalu hijau dalam dunia penulisan terutama penulisan buku-buku tarbiah dan motivasi. Insya-Allah dengan keizinan-Nya dan doa daripada saudara-saudara, saya dapat menulis dengan lebih mantap lagi. Kebetulan sekarang saya sedang menyiapkan satu manuskrip yang hampir sama konsepnya dengan buku SUAMI YANG TERUJI. Cuma kali ini fokus agak lebih luas dan bukan tertumpu pada golongan suami isteri sahaja.

Stok Pen Eksklusif

Alhamdulillah, stok pen SUAMI YANG TERUJI masih lagi ada. Insya-Allah, saya akan bawa ke gerai Galeri Ilmu pada hari Sabtu ( 5hb Mei ) nanti. Moga-moga saya dapat bersua muka dengan lebih ramai pembaca buku-buku terbitan Galeri Ilmu. Pada tahun ini pihak syarikat banyak menerbitkan buku-buku motivasi yang mantap. Ditambah perisa dengan kehadiran ramai tokoh ilmuwan tanah air.

Manafaat SUAMI YANG TERUJI

Saya amat mengharapkan para pembeli buku SUAMI YANG TERUJI dapat mengambil sebanyak mungkin manfaat daripada buku ini. Saya juga dalam proses memperbaiki diri sebagaimana insan-insan lain. Moga usaha kita akan dipermudahkan dan diberkati-Nya. Buku ini bukan sekadar bahan bacaan semata-mata. Saya amat berharap ia dapat memandu kita ke jalan yang diredai-Nya. Insya-Allah.

Terima kasih buat semua para pembaca SUAMI YANG TERUJI.

* Jika diizinkan-Nya, Insya-Allah saya sedang merancang mengadakan satu peraduan khusus untuk para pembaca buku SUAMI YANG TERUJI. Doakan.