Cikgu, Anak Saya OK?

Posted: Friday, October 19, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

Saya siarkan sebahagian satu bab di dalam manuskrip "Cikgu, Anak Saya OK?" Ia bukan kisah cerita rekaan. Ini adalah realiti sebuah kehidupan sebahagian manusia yang tabah menghadapi kesukaran hidup.

Jujur saya katakan, saya bertuah dianugerahkan ibu bapa yang penyayang dan sentiasa mendoakan kejayaan saya. Walaupun ayah sudah lama meninggalkan alam ini, kenangan terindah bersamanya terus 'bersama' saya hingga akhir hayat.

BAB MENGHARAPKAN KASIH AYAH

Ketika saya sedang menyiapkan beberapa tugasan di bilik, saya dikunjungi seorang ibu murid. Wajahnya memang saya kenali kerana kami pernah berjumpa dua tiga kali sebelum ini. Anak-anak beliau adalah di antara murid-murid yang diberi kemudahan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Saya cukup simpati apa yang berlaku ke atas anak-anak beliau. Anak sulung perempuan beliau yang belajar di Tahun Lima telah menerima tekanan hebat sehingga terpaksa dibawa berjumpa pakar psikiatri. 

            “Keadaan anak saya semakin buruk.”

            “Kenapa?” Tanya saya.

            “Dia sudah bosan belajar dan tidak mahu datang ke sekolah,” bicara ibu itu tenang.

            “Kenapa begitu?”

            “Apa yang saya tahu baru-baru ini dia dimarahi oleh ayahnya melalui telefon dan dikatakan anak sial.”

            “Masya-Allah. Sampai begitu sekali.”

            “Ayah dia marah kerana dia meminta baju baru untuk menyambut hari raya.”

            “Bukankah itu kewajipan ayah dia?”

            “Saya pun tidak tahu nak cakap apa. Bekas suami saya itu tidak pernah berubah. Sejak kami berpisah setahun lepas, dia tidak pernah ambil tahu fasal kami. Anak sulung saya sangat rindukan kasih sayang ayah.”

            “Saya cukup simpati dengan anak puan. Memang sebulan lepas seorang guru telah merampas kertas soalan peperiksaan beliau. Apa yang mengejutkan kami ialah dia menulis tentang kesukaran hidup keluarga. Dia cukup benci dengan ayahnya. Dia juga sanggup…sanggup bunuh ayah dia kerana abaikan keluarga.”

            “Itulah cikgu. Saya sudah tegur dia agar tidak lakukan perkara itu lagi. Malah dia minta maaf kerana perasaannya tertekan. Jiwa dia meronta-ronta marahkan ayahnya. Dan dia tahu bahawa tindakannya itu adalah salah.”

            “Dia seorang murid yang pandai.”

            “Prestasi dia semakin merosot. Dia juga perlukan rawatan mata dan buah pinggang di hospital. Saya tahu perkara-perkara ini menyebabkan jiwanya tertekan. Saya pernah tangguhkan rawatan kerana tidak cukup duit.”

            Saya hanya mampu diam. Sesungguhnya di depan saya adalah seorang ibu yang cukup tabah dengan kesukaran hidupnya. 

            Satu kisah yang boleh saya kongsi tentang anak perempuan ibu murid ini ialah ketika berada di minggu terakhir sekolah sebelum menyambut hari raya Aidil Fitri. Seorang guru meminta bantuan saya menghulurkan duit raya kepada mana-mana murid yang perlukan bantuan. Dengan izin Allah, saya teringatkan murid perempuan ini. Sebelum pulang saya memanggil murid ini dan menyerahkan sampul duit.

            “Duit raya ini adalah pemberian seorang guru. Balik nanti tolong beri pada ibu.”

            “Baik cikgu. Terima kasih.”

            Apa yang membuatkan saya cukup terharu ialah apabila dimaklumkan oleh ibu beliau.

            “Kalau cikgu nak tahu, apabila sampai di rumah dia lekas-lekas ajak saya ke kedai membeli baju raya. Seingat saya, saya tidak pernah menjanjikan baju baru pada tahun ini. Memang saya tiada duit untuk beli baju baharu. Dia maklumkan semasa di sekolah, cikgu serahkan duit raya tersebut. Muka dia berseri-seri.”

            “Alhamdulillah.”

            “ Apa yang menyebabkan saya sedih juga apabila dia beritahu bahawa walaupun ayah tidak pernah belikan baju raya, tetapi ada orang lain yang sanggup berikan duit.”

            Sesungguhnya pilihan saya tepat pada waktu itu. Pemberian duit raya itu memang kena dengan penerimanya. Walaupun jumlahnya tidaklah besar tetapi mampu untuk mereka tiga beradik memakai baju baharu. Semoga guru yang bersedekah itu dilimpahi rahmat Allah SWT. Saya hanya perantara sahaja. Ini semua perancangan Allah SWT. Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tidak semua orang yang bernasib baik sebagaimana keluarga murid ini. Itulah apabila mengenangkan saya dan isteri membawa anak-anak ke pasar raya untuk membeli pakaian baharu, betapa beruntungnya seorang anak yang masih memiliki kedua-dua ibu bapa yang menjaga semua keperluan mereka.

Nantikan kelahiran 'Cikgu, anak saya OK?'.
 

Saya Mahu Jadi Penulis

Posted: Saturday, October 13, 2012 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH dengan keizinan-Nya, dalam tempoh hampir tiga tahun saya menceburi bidang penulisan ini, saya berjaya menghasilkan empat buah novel kanak-kanak dan sebuah buku tarbiah rohani. Kesemuanya diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd. Dan sekarang hampir setahun saya terlibat pula dalam penulisan skrip komik bulanan GENG 5A yang disiarkan di dalam majalah kanak-kanak No. 1, ASUH.

Semua ini adalah NIKMAT kurniaan Ilahi. Tanpa saya sedar bahawa penglibatan saya dalam penulisan ini telah pun bermula semasa saya dilantik menjadi Pembantu Ketua Editor dan Ketua Editor majalah di salah sebuah sekolah menengah 21 tahun yang lalu. 

Selepas memasuki alam pekerjaan, saya tidak pernah terfikir untuk terlibat dalam dunia penulisan sehinggalah saya berkenalan dengan Tuan  Haji Zakaria Sungib. Itu pun perkenalan tanpa diancang apabila saya membantu beliau memperkenalkan satu produk kesihatan. Tidak lama kemudian, selepas majlis fatwa menetapkan segala jenis perniagaan FOREX ONLINE diharamkan, saya terus bertekad berhenti. Walaupun modal tidak besar mana, tetapi itu berkaitan hukum Islam. Saya wajib 'tutup buku' walaupun ketika itu saya dalam proses mengutip keuntungan selepas lebih dua tahun belajar dan terlibat dengan perniagaan tersebut.

Fikir punya fikir apakah pekerjaan yang boleh memberikan keuntungan dunia akhirat yang saya mampu lakukan.

Toinggg....idea datang untuk menjadi penulis buku kerana buku adalah teman setia saya sejak dahulu lagi tetapi bukan novel. Saya bukan peminat novel sebelum ini.

Akhirnya...SAYA MAHU JADI PENULIS.

Itu semua telah diatur kemas oleh Yang Maha Esa.

Maka begitulah dengan tuan-tuan, setiap yang berlaku dalam hidup ini tidak perlu ditangisi atau diratapi kerana semua itu dalam pengawasan-Nya. Ada hikmah yang kita sendiri tidak ketahui.

Pernah saya terfikir, kenapa tidak 10 tahun dahulu saya menulis. Mungkin sudah berapa banyak buah buku sudah dihasilkan. Kenapa saya tidak menulis ketika sebaya Hilal Asyraf? Itu semua kehendak-Nya. Kita ada sejarah hidup masing-masing. Tahap kemampuan kita juga berbeza.

Apa yang penting, setiap yang kita lakukan sekarang memberi kebaikan dunia akhirat atau sebaliknya. Tidak kira apa pekerjaan sekalipun. Insya-Allah dengan niat dan cara yang betul, kita akan dirahmati-Nya.

Amin.

* ilmu penulisan masih cetek. belajar dan terus belajar.

Pengalaman Membezakan Kita?

Posted: Wednesday, October 10, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

PENGALAMAN  yang berbeza membuatkan setiap daripada kita mempunyai pandangan berbeza. Tiada yang salah dalam menafsirkan pandangan masing-masing.

Lahirnya sifat SYUKUR itu juga berdasarkan pengalaman hidup.

Ya ka?

Contohnya, sejak dua tahun ini saya berjumpa dan berkenalan dengan ramai insan-insan yang menjalani kehidupan yang sukar. Pelbagai masalah menimpa. Bermula dengan masalah perniagaan, masalah kewangan, masalah keluarga, masalah kesihatan dan sebagainya. Wah! Saya merasakan bahawa apa yang saya hadapi sekarang ini masih lagi dikira baik berbanding mereka. Maka, setiap perkara yang menimpa diri, saya anggap itu sebahagian daripada ujian hidup yang perlu saya tempuh. Jika mereka di luar sana, mampu berdepan dengan masalah mereka, apa bezanya saya pula. Saya juga hamba-Nya. Tiada lagi tempat pergantungan saya kecuali Dia.

Berbeza Pandangan

Si A berdepan dengan masalah komunikasi dengan isterinya. Bagi Si A apa yang telah dilakukan terhadap keluarga sudah cukup baik. Bangun pagi kejutkan anak-anak, gosokkan baju mereka, menyediakan keperluan dapur dan sebagainya. Berbanding dengan apa yang dirintih oleh rakan setugas bahawa suaminya selalu pulang lewat malam. Kemudian pantang ditegur, maka maki hamun pula diterimanya. Solat pula selalu culas. Maka Si A yang kadang kala ke surau mengerjakan solat berjemaah merasakan apa yang dilakukannya itu lebih baik dan bersyukur dengan kehidupannya.

Isteri Si A pula merasakan suaminya itu dikategorikan sebagai suami yang gagal kerana jika dibandingkan dengan suami rakan-rakan sepejabat yang mempunyai pendapatan yang mantap dan memiliki aset yang besar di luar sana. Mereka mampu miliki rumah besar dan selesa. Isteri Si A juga merasakan suaminya itu bukan pilihan terbaik kerana selalu menghadapi masalah kewangan pada setiap hujung bulan. Apatah lagi sebelum ini, dia tidak dilayan dengan baik oleh suaminya. Setiap langkah perubahan suami itu bagaikan tiada ertinya lagi. Semuanya sudah terlewat. Tiada lagi kata maaf.

Maka di manakah titik penyelesaian pasangan ini?

Jelas sekali, hala pandangan mereka jauh berbeza. Ibarat timur dan barat. Seorang berasa sudah cukup dan seorang lagi berasa serba kekurangan.

Bukan sekadar berdoa dan berdoa. Usaha juga perlu dilaksanakan agar ia tidak membuatkan konflik dalaman itu menjadi semakin rumit. Mungkin tanpa sedar, tetapi ia pasti dalam pengetahuan mereka. Berbincang dan melihat dalam semua aspek. Bukan hanya mengikut kemahuan hati semata-mata. Lihat dari segenap segi seperti kehidupan yang bakal dilalui oleh anak-anak mereka nanti. Bagaimana pula penerimaan keluarga yang lain dan seumpamanya. Bukan sekadar faktor diri masing-masing, tetapi orang-orang terdekat dengan mereka juga perlu diambil kira. Satu perkara yang jelas ialah setiap apa yang kita rasai dan lakukan itu di bawah pengawasan Ilahi. Hanya Dia yang mengizinkan atau tidak segala yang berlaku. Tugas kita pula sebagai hamba-Nya bertindak dengan waras dan bijaksana. Jangan bertindak dalam situasi amarah yang dikuasai oleh syaitan laknatullah. Sengaja mahu membecah belahkan ummah.

Yakinlah pada-Nya.
Lihat seseorang itu sekarang dan bukan pada masanya yang lampau.

Semoga kita semua dirahmati Allah SWT.
Amin.

Mendoakan Mereka

Posted: Monday, October 1, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

Hari ini saya dipanggil-panggil untuk menulis isu guru dan murid. Apatah lagi di status facebook ramai yang memarahi seorang guru bertindak 'kejam' terhadap seorang muridnya. Tidak perlu saya nyatakan apa dan bagaimana. Sekadar menunjukkan bukan mudah untuk berada di lapangan perguruan ini. Bukan sekadar melihat tangga gaji semata-mata. Itulah yang saya rasai setelah hampir 17 tahun berkhidmat di sekolah. Bermula di kawasan kampung nun jauh di sana hingga ke Lembah Klang ini.

"Guru tidak berhati perut."

"Guru zalim."

"Kenapa cikgu tarik telinga anak saya?"

"Cikgu tak patut buat begitu."

Bukan untuk membela. Bukan niat lari dari kenyataan. Hakikatnya kerjaya guru kini bukan sebagaimana saya atau rakan-rakan lain di alam persekolahan 20-30 tahun dahulu. Segala-galanya berubah mengikut peredaran zaman.

Mendoakan murid-murid.

Saya yakin jika seseorang guru itu berfikiran waras, dia tidak tergamak untuk melakukan sesuatu di luar daripada biasa. Mungkin setelah lama menahan sabar, akhirnya dia tewas dan membuat hukuman melampaui batas.

Akibatnya. Dia dipersalahkan. Mereka semua akan mengata. Itulah balasan diterima.

Khas untuk saya dan rakan-rakan guru. Pernah tak kita mendoakan kesejahteraan, kebaikan, kemudahan dan sebagainya untuk murid-murid kita.

Sekurang-kurangnya. "Ya Allah! Perelokkan akhlak anak-anak didikku di kelas 5 Mawar itu. Anugerahkan mereka otak yang cerdas dan hati yang tenang."

Menurut Imam al-Khattabi,

"Doa adalah permohonan daripada seorang hamba kepada Tuhannya. Perkara asas dalam berdoa adalah merasai pergantungan yang kuat kepada Tuhan."

Kita perlu berdoa bersungguh-sungguh dan yakin anak-anak didik kita mampu berubah dan menjadi seorang murid yang baik dan cemerlang. Hati kecil kita mesti ikhlas dan yakin.

Insya-Allah dengan keyakinan yang tinggi. Para guru juga akan dapat mengajar dengan tenang serta dielakkan berlaku sesuatu di luar batasan yang tidak sepatutnya.

Semua orang adalah masalah. Masalah tersendiri. Itu semua ujian untuk kita. Jangan kita biarkan anak-anak didik kita 'terjebak' sama dalam permasalahan kita. Begitu juga para ibu bapa, kenapa tidak boleh mendoakan khas untuk para guru di sekolah anak-anak mereka. Doakan kesihatan dan kesejahteraan para guru. Dengan cara itu, akan wujudlah ikatan mesra di antara para guru, murid dan ibu bapa.

Mulai hari ini. Doakan untuk anak-anak didik kita. Ibu bapa doakan para guru. Guru juga doakan kesejahteraan para ibu bapa. Semoga ia diperkenankan oleh-Nya.

Percayalah. Hati tenang. Jiwa akan merasa hebat. 

Tenang dan Syukur.