Mudahnya Buka Aib Orang

Posted: Saturday, December 29, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

KADANG KALA KEMUDAHAN yang dinikmati hari ini merupakan satu ancaman besar kepada kita.

Ancaman apa?

Dosa.

Saya tidak nafikan segala kemudahan itu akan memberikan banyak ganjaran pahala apabila digunakan dengan cara yang betul.

Dalam masa satu hingga dua saat sahaja, rakan kita di seluruh dunia dapat mengetahui setiap apa yang kita lakukan pada masa itu. Ia bukan lagi sesuatu yang pelik. Kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun pun sudah mengerti apa itu kemudahan internet terutama facebook dan twitter.

Saya ingin berkongsi satu hadis Rasulullah SAW iaitu, Daripada Ibnu Umar R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya dihari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat”.

Hadis ini cukup jelas meminta kita yang mengaku beriman dengan Allah SWT agar tidak menzalimi orang lain terutama orang-orang yang dekat dengan kita. Andainya masih juga mahu melakukan juga, tanya diri sama ada aku ini benar-benar menuruti sunnah Rasulullah SAW atau sekadar tahu sahaja tentang hukum tetapi ingkar dalam melaksanakannya.

Misalnya dalam soal berkaitan rumahtangga atau keluarga, kadang kala saya tertanya-tanya untuk apa diuar-uarkan keburukan atau kejahilan orang lain berbanding diri kita. Adakah kita mahu pengiktirafan atau dikatakan berada di sebelah pihak yang benar? Tidak memadaikah terus berdepan dan menceritakan perkara sebenar dengan pasangan atau ahli keluarga terbabit? Berbincang dengan penuh hikmah. Kenapa perlu dihebahkan seantero dunia bahawa si anu bin si anu ini begitu, begini dan sebagainya. Kalau pun kita benar, orang yang berpendidikan agama akan melihat betapa rendahnya akhlak kita sebagai seorang muslim. Betapa hati kita sememangnya gelap dan ditokok tambah oleh ransangan daripada syaitan laknatullah untuk menyebut-nyebut kesalahan atau kekurangan orang lain.

Pada pandangan saya yang daif ini, kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata pepatah, "Kuman di seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan."

Pesan guru, "Lihatlah kekurangan diri sendiri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kelemahan diri kita."

Kalau benar kita mahu menguar-uarkan kita adalah seorang Islam sejati, maka biasakan diri melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia, apatah lagi hubungan suami isteri, adik-beradik dan sebagainya. Lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatlah kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah melakukan kebaikan. Hanya dengan cara ini kita mampu menyekat bisikan syaitan yang sentiasa mahu memerangkap kita untuk terjerumus sama ke dalam api neraka. Nauzubillah.

Semoga perkongsian daripada insan yang serba kekurangan ini mampu menyedarkan kita tentang segala kelemahan diri dan seterusnya kemaskini semula iman kita.

Wallahualam.

Al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.



JEMPUTAN BICARA BUKU

Posted: Friday, December 28, 2012 by WZWY in Labels: , ,
0

PETANG SEMALAM ( 27 Disember 2012 ) saya telah dijemput hadir ke Galeri Ilmu Sdn Bhd untuk berkongsi pengalaman kerja dan dunia penulisan saya dengan kakitangan syarikat ini. Dengan izin Allah SWT, buku seterusnya juga bakal diterbitkan oleh syarikat penerbitan ini. Maka saya diminta berkongsi cerita dan pengalaman menulis buku ini dan juga dunia perguruan.
"Cikgu, anak saya okey?" merupakan buah tangan saya keenam dengan syarikat ini. Insya-Allah bakal diterbitkan pada bulan Mac 2013 nanti. Doakan dipermudahkan penerbitannya. Insya-Allah. 
Pelbagai cerita yang sempat saya kongsikan bermula dengan siapa saya sebelum terjun ke dunia penulisan ini dan seterusnya mencipta nama sebagai penulis sehingga sekarang. Sejujurnya saya berterima kasih kepada seluruh warga kerja syarikat ini yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk saya terus menulis terutama mentor saya, Tuan Haji Zakaria Sungib.
Dunia perguruan adalah  dunia yang sudah sebati dengan diri saya.Subhanallah, saya sudah 15 tahun berkhidmat sebagai guru dan memasuki tahun kedua sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Maka apabila diminta oleh pengacara majlis berkongsi cerita tentang pengalaman ini, ia membuatkan saya begitu teruja dan banyak perkara yang sempat dikongsi bersama. Kisah suka duka kehidupan sebagai guru. Kisah pengalaman berdepan dengan karenah ibu bapa dan murid-murid juga sempat saya kongsikan.

Sesungguhnya kelahiran buku motivasi "Cikgu, anak saya okey?" itu nanti cukup besar ertinya bagi diri saya. Saya amat berharap buku ini dapat dimanfaatkan oleh para pembaca terutama di kalangan rakan-rakan guru, pentadbir sekolah, pegawai pendidikan dan ibu bapa.
Saya juga bercadang untuk berkongsi lagi dunia perguruan ini dengan para pembaca. Sebenarnya masih banyak pengalaman saya dan rakan-rakan yang boleh dikongsi dan diambil iktibar oleh semua. Moga-moga perkongsian ikhlas ini mampu memberi sesuatu yang bernilai buat para pembaca yang bukan di kalangan warga pendidik.

"Jika mahu melihat apa yang kita dapat, maka lihatlah apa yang kita beri." Ungkapan ini saya telah ulang beberapa kali kepada guru-guru di sekolah. Ini kerana jika seseorang guru itu memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap murid-murid, maka mereka akan kasih dan hormat kepada guru tersebut. Ini lebih baik berbanding bertindak secara kasar atau memalukan mereka.

Terima kasih sekali lagi buat seluruh warga Galeri Ilmu Sdn Bhd kerana sudi mengundang penulis kecil ini. Semoga perkongsian saya itu dapat memberikan sesuatu yang baik. Insya-Allah. Sebagai mana yang saya sebutkan semasa program tersebut, "Saya sudah menganggap diri saya sebahagian daripada warga kerja GISB yang selama ini banyak membantu dunia penulisan saya. Kira-kiranya saya ini staf bersekutu berada di luar pejabat."

Saya mendoakan agar GISB terus utuh dan kukuh dalam menerbitkan majalah, buku dan drama yang berkualiti. Walau apa pun cabaran, jika diharungi dengan bijaksana, ia akan memberikan pulangan dunia dan akhirat sebagaimana yang diharapkan. Insya-Allah.

Al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.


Saf Semakin Kurang?

Posted: Tuesday, December 25, 2012 by WZWY in Labels:
0

“Mahukah kalian aku tunjukkan atas sesuatu yang mana Allah akan menghapuskan dosa dengannya dan terangkat beberapa darjat? Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah”. 

Baginda bersabda:

“Sempurnakanlah wuduk pada saat cuaca sangat dingin, perbanyakkanlah melangkah menuju masjid, dan menunggu selepas solat.  Demikianlah itu bagi kalian pertalian.” (Hadis riwayat Muslim).

Apa lagi kelebihan solat berjemaah?

Orang yang keluar menuju masjid dalam keadaan berwuduk untuk mengerjakan solat berjemaah akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakan haji dan juga dianggap melakukan solat daripada permulaanc perjalanannya hingga dia kembali ke rumahnya.  Ini sebagaimana sabda Rasulullah daripada Abu Umamah yang bermaksud:

“Barang siapa keluar dari rumahnya dalam keadaan suci (berwuduk) menuju solat wajib (dengan berjemaah) maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan haji dengan memakai ihram.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud) 

( Terima kasih : http://mutiaraislam.wordpress.com ) 

 Senario hari ini.
  
Nampaknya ganjaran 27 kali ganda belum cukup untuk membuatkan sebahagian manusia untuk memijak tangga masjid atau surau. Kalau kita saksikan sendiri di kawasan sekitar atau di mana-mana sahaja, jumlah saf di masjid/surau itu tidak sepadan dengan jumlah penduduk di kawasan tersebut. Tuan-tuan setuju?

Itulah hakikatnya apa yang berlaku di dalam masyarakat kita yang dilimpahi nikmat oleh-Nya. 

Kenapa ia boleh berlaku?

Ini berkait rapat dengan IMAN dan TAKWA seseorang. Semakin nipis keimanan kepada Allah, semakin jauh mereka dengan rumah Allah. Mereka akan hadir tatkala diwaktu hidup dalam keadaan sukar. Sedar atau tidak NIKMAT itu adalah UJIAN daripada-Nya.

Peringatan ini saya tuju khas buat diri sendiri. Agar jangan leka dengan kenikmatan yang dikecapi selama ini, lantas membuatkan kita lupa jalan ke rumah-Nya.

Sungguh sombong kita. Sungguh dhaif kita. Sungguh malu kita. Bermohon sentiasa diberikan NIKMAT hidup, tetapi LUPA untuk menghadiri SOLAT BERJEMAAH sebagaimana dituntut oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Mungkin perkataan LUPA itu lebih sesuai dengan MALAS.

Apakah hukum solat berjemaah?

Mengenai hukum mengerjakan solat fardu secara berjemaah ini, antara pendapat yang termasyhur ialah daripada Imam Nawawi. Menurut beliau, solat berjemaah pada lima waktu yang fardu (selain solat Jumaat) hukumnya adalah fardu kifayah, yang mana diwajibkan bagi individu lelaki yang berakal, telah baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak uzur syarii. Hukum fardu kifayah ini bermaksud apabila ada sekumpulan orang di sesebuah mukim atau kampung mendirikan solat berjemaah di masjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang di situ yang tidak menunaikan solat berjemaah. Namun jika tidak ada seorang pun di dalam mukim atau kampung tersebut yang menunaikan solat berjemaah, maka semua penduduk di situ mendapat dosa.

Mulai saat tuan-tuan membaca entri ini, marilah kita saling berpesan-pesan agar tuntutan ini dipatuhi tanpa mengira saat kita hidup senang atau sukar. Hidupkan syiar Islam di negara bertuah ini. Moga kita semua dilimpahi rahmat dan nikmat.

Mohon maaf andai ingatan ini membuatkan tuan-tuan tidak senang dengan penulisan saya kali ini. Peringatan ini buat diri saya sendiri. Jangan leka dan hanyut. Hari-hari kita mendengar teman-teman atau sesiapa sahaja dijemput pulang menemui-Nya.

Jadi...apa persediaan kita?

Wallahualam.

Al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.

 

KISAH PELAMPUNG AIR TANGKI

Posted: Monday, December 17, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

Kali ini entri agak berbeza sedikit kerana pagi tadi masalah air tangki melimpah di bilik air selesai. Apa kaitan masalah air tangki melimpah dengan entri kali ini?

Ini hanya sebagai perkongsian sahaja. Tiada niat lain. Masalah air tangki melimpah sudah masuk hari kedua kerana tukang yang dijadualkan tiba pada sebelah petang tidak timbul-timbul. 

Niat saya mahu membaiki dengan tulang empat kerat ini sahaja. Bila diukur dengan tangga yang saya ada dengan ketinggian siling, saya kena batalkan niat kerana mungkin bawa mudarat nanti. Mana tahu, beringat sebelum kena. Bukan apa, saya sudah dapat agak punca kerosakan pelampung air yang menyebabkan air tangki melimpah tanpa kawalan. Lagi pun harga pelampung ini sekitar RM20-RM30 sahaja. Itu pun kira yang berkualiti dan diakui tahan lama.

Lebih kurang pukul 11 pagi, tukang yang merupakan ahli kariah pun muncul. Alhamdulillah. Apabila selesai saya pun bertanyakan kos tukar pelampung baharu.

"Ini barang baik. RM90 sahaja."

Saya kebetulan memegang duit RM50 sahaja ketika berada di depan pintu pagar rumah. Saya pun panggil isteri supaya tambah lagi RM40. Secara jujur dalam hati saya, "Wah!Mahal juga. Ingatkan sekitar RM50 termasuk upah."

Dalam hati masa itu syaitan datang menggoda. Macam-macam saya fikirkan. "Ingatkan panggil ahli kariah, boleh dapat murah. Nampaknya sama sahaja atau lebih mahal."

Tidak lama kemudian. Hati mulai tenang. Beristighfar. Saya tidak boleh bersangka buruk. Mungkin itu upah yang sesuai dengan kepakaran yang dia ada. Kalau tidak, kenapa saya tidak tukarkan sendiri sahaja.

Semua ini juga ketentuan Ilahi. Rezeki hari ini memang sudah ditetapkan untuk dia. Dan ujian ini pula memang sudah diatur baik oleh-Nya. Maka tidak perlu merungut dan membanding-bandingkan harga lagi. Lagi pun saya membuat pembayaran bukan kerana tukar barang sahaja, tetapi kemahiran yang dia miliki. Maka, berapa banyak kos pun kita kena hulur kerana itulah bayaran kemahiran yang mereka miliki.

Setiap yang berlaku walaupun kehilangan wang sebanyak lima puluh sen pun, itu di bawah kekuasaan-Nya. Siapa kita untuk pertikaikannya. Maka, sebagai kesimpulannya, kita harus melihat dengan kaca mata positif dan baik sangka. Setiap ujian itu ada sebab musababnya. Selain berusaha gigih, kita jangan lupa Allah SWT itu Maha Pemberi Rezeki. Pohonlah pada-Nya.

___________________________
al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.



semakin MENJAUH?

Posted: Thursday, December 6, 2012 by WZWY in Labels:
1

ALHAMDULILLAH....syukur di atas segala nikmat limpahan-Nya. Moga kita akan menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur pada saban waktu. Selagi kita diberi keizinan untuk terus menghirup udara percuma ini.

Satu dua hari ini ALLAH berikan ilham untuk menitip kata-kata di ruang 'facebook'. Maka dengan sedikit ilmu yang ada, saya cuba hiasi kata-kata itu dengan seadanya. Moga ia memberikan manfaat buat saya dan rakan-rakan di luar sana.

Sesungguhnya sebagai manusia biasa, saya dan saudara tidak boleh 'lari' daripada ujian-ujian hidup. Bezanya apa ujian dan bagaimana kita menyelesaikannya. Namun hakikatnya, semua itu diselesaikan dengan izin dan kekuasaan-Nya. Sungguh berat setiap dugaan yang datang. Hanya pada-Nya tempat berserah. Kita hanya manusia serba dengan kelemahan. 

Pesan sahabat,

Berserah pada Allah walau sebesar mana ujian yang datang.

Bersangka baik pada-Nya di setiap ketika.

Jadikan membaca Al-Quran itu amalan hidup seharian.

Basahkan bibirmu dengan lafaz zikrullah dan selawat.

Jadikan solat sunat Dhuha itu amalan setiap pagi.

Mendoakan kejayaan dan kebahagiaan orang sekeliling.

Memaafkan sesiapa sahaja yang pernah atau sedang menyakiti hatimu.

Bersedekahlah pada setiap masa dengan penuh ikhlas.

Yakinlah.....Yakinlah....Yakinlah....Allah sentiasa bersamamu.

Jagalah Dia.

Saudaraku,

Sesungguhnya perjalanan hidup ini memenatkan. Apa tidaknya semakin ke hujung semakin penat sedangkan beban bertambah berat.

Ingat lagi pesan guru, "Hidup selagi hidup. Jangan mati sebelum mati."

Oleh itu, kalau pun ada masalah di pertengahan jalan kehidupanmu, teruskan perjalanan itu. Hidup ini memang begitu. Ujian demi ujian kita akan tempuhi. Jangan marah....Jangan merungut....Kamu sedang diuji dan diuji.

Sedarlah...

Sesetengah ilmu itu tidak boleh diajar, tetapi hanya dipelajari. Tiada guru di sampingmu, tetapi hakikatnya kamulah pelajar sepenuh waktu. Pengalaman yang kamu tempuhi dewasa ini adalah sebaik-baik bekalan hidup di hari kemudian.

Semoga kita semua dirahmati-Nya. Jangan lupa untuk bersyukur pada-Nya. Ingat...NIKMAT itu UJIAN.

al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.
 ___________________________________

Hanya pada-Mu aku berserah di atas segala ujian-Mu ini.
Aku tidak pernah menjauh....