Jangan Bunuh Dirimu Dengan Kesedihan

Posted: Saturday, February 23, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

Mu'afi Bin Sulaiman pernah berjalan dengan para sahabatnya. Sahabtnya menoleh kepadanya dengan wajah yang masam. Dia berkata, "Hari ini sangat sejuk."

Mu'afi berkata, "Apakah sekarang kamu merasa hangat?"

"Belum."

Mua'fi menyambung, "Apa yang kamu dapat dengan mengatakan sejuk? Jika engkau membaca tasbih, tentu ia lebih baik bagimu."

Apa kaitan kisah di atas dengan entri kali ini?

Sebentar.

Kita lanjut kisah kedua ya.

Saya memetik sebuah kisah di dalam buku hasil tulisan Dr. Muhammad Bin Abdurrahman al-Arifi. Dia menceritakan kisah pelajar beliau iaitu Sa'ad. Selama seminggu Sa'ad tidak menghadiri kuliah. Lalu Dr. Muhammad berjumpa dengan Sa'ad.

"Kenapa wahai Sa'ad?"

Sa'ad menoleh, "Tiada apa-apa. Aku hanya sibuk sedikit akhir-akhir ini."

Dr. Muhammad melihat wajah suram Sa'ad, "Apa khabar kamu?"

"Sebenarnya anak aku sakit. Ulu hatinya sudah rosak. Beberapa hari lalu, darahnya terkena racun dan tiba-tiba kelmarin racunnya sudah sampai ke otak."

Dr. Muhammad terus berkata, "Laa haula walaa quawwata illa billah. Bersabarlah. Semoga Allah menyembuh penyakit anakmu. Jika nanti ada sesuatu, berdoalah agar orang tuamu memberikan syafaat kepadamu pada hari kiamat."

"Apa, memberi syafaat?" Sa'ad bertanya kehairanan.

Kemudian Sa'ad menyambung, "Anak aku bukan kecil lagi, umurnya sudah 17 tahun."

"AKu berdoa agar semoga Allah menyembuhkan penyakit anakmu dan memberkati saudara-saudaranya."

Sa'ad menundukkan kepala. "Wahai sheikh, dia tiada punyai saudara. Dia satu-satunya anak aku dan sedang sakit sekarang."

Jiwa Sa'ad pada waktu ini lemah sekali.

"Sa'ad, beginilah, janganlah kamu membunuh dirimu dengan kesedihan. Tidak akan menimpa kita kecuali apa yang telah dituliskan Allah kepada kita."

Kemudian Dr. Muhammad berlalu meninggalakan Sa'ad yang masih membantu di situ. Bermuhasabah diri.

Jadi, apa yang ingin saya nasihatkan diri sendiri dan tuan-tuan ialah kita pastinya sudah, sedang atau akan menerima apa-apa jua ujian daripada-Nya. Apa bentuk dan cara, wallahu alam. Di luar batasan kemampuan akal kita.

Apa yang pasti ialah saya dan tuan-tuan jangan sesekali 'membunuh diri' kita dengan kesedihan kerana ia tidak sekali meringankan musibah yang menimpa. Dan apa yang perlu kita buat ialah dikala menerima cubaan daripada-Nya ialah berusaha mendekatkan diri dengan-Nya Mungkin selama ini kita lalai dengan tanggungjawab sebenar kita. Kita alpa untuk menunaikan segala perintah-Nya dengan kaedah terbaik. Kita hanya laksanakan tanpa menyerahkan jiwa raga yang sepatutnya.

Kalau pun solat, kita sengala melewat-lewatkan.
Kala berbual, kita banyak menceritakan keburukan orang lain.
Kala diberi nikmat, kita lalai dan tidak bersyukur.
Kala ditimpa musibah, kita hanya tahu mengeluh dan merungut.

Tidakkah kita melihat seseorang yang lebih sukar hidupnya berbanding diri kita, tetapi mampu tersenyum dan hidup bahagia di samping keluarga. Maka lihatlah di sekeliling kita. Apa yang kita saksikan dengan anugerah penglihatan anugerah-Nya ini?

Maka, kita teruskan nikmat hidup ini dengan menjadi hamba-Nya yang diredai. Andai terasa lemah dan gagal kuasai diri. 

'Pause' sebentar dan ingatkan Dia.

Moga Allah reda.


Al-Faqir Wan Zayuhisham

#Janganlah mengeluh kerana tanpa sedar kita telah perbaharui kesedihan.

Sukarnya...berterima kasih.

Posted: Tuesday, February 12, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

Kata-kata hukama, "Sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa."

Maka, saya semakin mengerti bahawa apa jua yang kita laksanakan itu jangan bergantung harap ia akan diberi penghargaan sebagaimana yang kita mahukan.

Lakukan sahaja tanggungjawab kita dengan sebaik-baiknya. Selebihnya terpulanglah kepada pengadilan Allah SWT semata-mata.

Mungkin kita merasakan bahawa kita telah laksanakan tugasan kita dengan cemerlang. Kita juga mampu tersenyum apabila menerima pelbagai pujian rakan sekerja di atas usaha-usaha kita selama ini. Kita juga mengharapkan sedikit penghargaan daripada pihak atasan. Namun begitu, selepas usaha-usaha kita itu tidak dihargai, malah dianggap ia sesuatu yang biasa-biasa sahaja oleh pihak atasan. Maka apa reaksi kita?

Pastinya kecewa. 

Segala harapan selama ini musnah begitu sahaja.

Kita akan bertukar menjadi pekerja biasa-biasa sahaja.

Kenapa?

Kita terlalu mengharapkan penghargaan manusia. 

Namun begitu, itulah lumrah kita sebagai manusia. Jangan khuatir. Lama-kelamaan kita akan mampu menerima hakikat dan belajar menjadi manusia yang lebih cekal.

Walaupun ia bukan sesuatu yang mudah, saya dan tuan-tuan harus terima setiap penilaian orang lain terhadap kita dengan dada yang terbuka. Biar pun berapa peratus markah penilaian kerja kita diberikan, kita masih tersenyum kerana kita sudah lakukan yang termampu kita laksanakan. Dan yang paling penting ialah penilaian dari Maha Kuasa itu yang kita harap-harapkan.

Cara terbaik ialah apabila kecewa dengan penilaian manusia, kita bermuhasabah diri. Kenali diri sendiri dengan sebaik-baiknya. Lihat dengan kaca mata positif. Insya-Allah, kita akan merasa lebih tenang berbanding sebelumnya.

Maka, marilah kita sama-sama bersandar kepada Allah semata-mata. Dengan cara ini kita akan memiliki jiwa yang kental dan tidak mudah berputus asa. Percayalah, ini adalah keputusan terbaik yang kita perlu lakukan. 

Percayalah diriku....Allah itu Maha Adil.