PBAKL 2013.

Posted: Monday, April 29, 2013 by WZWY in
0

ALHAMDULILLAH dengan izin-Nya saya masih diberi ruang dan peluang berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 buat kesekian kalinya sebagai pembaca dan penulis. PBAKL ini boleh diibaratkan sebagai program kemuncak para penerbit dan penulis memasarkan produk masing-masing.

Pada tahun ini doa saya dimakbulkan Tuhan apabila buku motivasi kedua saya 'Cikgu, Anak Saya Okey?' sempat diterbitkan sebelum PBAKL ini berlangsung. Saya juga memperoleh bonus apabila pihak Galeri Ilmu Media Group (GIMG) bersetuju menerbitkan siri komik Geng 5A yang sebelum ini disiarkan di dalam majalah ASUH sejak Januari 2012.

PBAKL kali ini juga begitu meriah sekali apabila ramai penulis datang dan mempromosikan hasil karya masing-masing. Syukur kerana masih diberi nikmat ilham untuk terus berkarya.

Seperti biasa rakan penulis akrab saya di GIMG seperti Tuan WebSutera dan Tuan Syed Alwi akan hadir ke PBAKL ini bagi memeriahkan lagi gerai GIMG yang tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang pencinta buku. Memang tidak dinafikan aura Prof. Kamil, Puan Roza, Tuan Syed Alwi, Ustaz Pahrol, Ustaz Hasrizal serta penulis muda Tuan Hilal Asyraf begitu kuat sekali seiring nama besar GIMG dalam dunia penerbitan buku dewasa ini. Buku-buku hasil karya mereka sering menjadi 'buruan' pencinta buku. Doakan saya juga sebagai 'penulis kecil' ini mampu berada searas dengan nama-nama besar ini suatu hari nanti.

Walaupun kita dalam 'mood' PRU 13, namun ia bukan suatu alasan bagi penggiat dan pencinta buku untuk terus memeriahkan lagi suasana PBAKL kali ini. Semua penerbit dan pengedar buku telah memasang strategi masing-masing terutama menurunkan harga buku sehingga 30%.

Jom! PBAKL masih lagi berlangsung sehingga 5 Mei 2013.

Selamat membeli belah di sana.

Wassalam.


Promo Buku Cikgu, Anak Saya Okey? & Suami Yang Teruji

Posted: Tuesday, April 9, 2013 by WZWY in
0


Syukur, Tahniah dan Terima Kasih

Posted: Thursday, April 4, 2013 by WZWY in
0

ALHAMDULILLAH dan SYUKUR di atas segala nikmat-Nya. Sesungguhnya penerbitan buku CIKGU, ANAK SAYA OKEY? ini amat bermakna bagi saya. Proses penulisannya juga agak lancar dan tidak perlukan tempoh masa lama berbanding buku sebelumnya, SUAMI YANG TERUJI.

Kenapa?

Buku ini adalah berkaitan bidang yang saya harungi sejak akhir tahun 1994 hingga sekarang.

Syukur kerana diberi ilham dan sokongan daripada pelbagai pihak dalam menyiapkan manuskrip dan seterusnya berjaya diterbitkan dengan rupa sebegini.

Sebagai penulis saya menjalankan amanah menyiapkan manuskrip dengan sebaik mungkin dan ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi itulah tugas seorang penulis. Dan satu pihak lagi yang kurang disedari oleh ramai orang ialah barisan tim yang menjadikan sesebuah buku itu menarik, sedap dibaca, terpesona dan seumpamanya.

Sesungguhnya saya amat bersyukur ke hadarat Ilahi kerana dipertemukan dengan tim yang hebat dalam merealisasikan impian saya sebagai seorang penulis sejak novel pertama saya yang diterbitkan pada tahun 2010. Bermula Impian Juara, Impian Juara 2, Ops Menjejak Pencuri dan Ops Conteng.

Bagi buku CIKGU, ANAK SAYA OKEY?, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat Pengarah Urusan GISB, Cikgu Abu Hassan Morad, Tuan Haji Azmin, mentor saya Tuan Haji Zakaria Sungib dan seterusnya kepada tim hebat ini :

1) Editor Perolehan : Cikpuan Suraiya Pauzi
2) Editor : Cikpuan Zuraidah Shueef
3) Penyunting :  Cikpuan Norhayati Ab. Samad
4) Pruf : Cikpuan Norzilah Mat Saad@Ibrahim
5) Konsep Reka Bentuk : Tuan Haji Badrul Hisham Shari (Pakcik Bad)
6) Reka Bentuk Kulit : Tuan Mislan Samsuri
7) Reka Letak : Cikpuan Siti Hajar Yusof.

Seterusnya ucapan terima kasih buat semua tim promosi dan semua warga GISB. Semoga Allah SWT merahmati tuan-tuan. Insya-Allah.

Akhir sekali buat ahli keluarga, rakan-rakan dan tuan-tuan yang menjadikan buku-buku hasil tulisan saya sebagai salah satu bahan bacaan tuan-tuan. Ampun maaf sekiranya ada kelemahan dalam penulisan saya. Memang saya yakin, saya masih lagi dalam proses belajar dan terus belajar. Oleh itu, saya tidak dapat elak apa-apa kekurangan dalam penghasilan buku-buku saya itu.

Terima kasih buat semua. Semoga Allah SWT merahmati tuan-tuan dan cikpuan-cipuan semua. Amin.

Yang Faqir
Wan Zayuhisham
Shah Alam.