Selagi Hayat Masih Ada

Posted: Friday, November 15, 2013 by WZWY in Labels: , ,
0

"Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita. Tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka." Lelaki ini terduduk seketika memikirkan setiap patah ungkapan seorang pendakwah di corong radio di awal-awal pagi begini. 

Entah mengapa, hari-hari yang dilalui kini cukup memeritkan emosi dan sanubarinya. Sungguh ia sukar mengerti dengan apa yang berlaku. Segalanya sudah dilakukan dengan kadar kemampuannya. Mungkin benar, dia bukanlah seorang lelaki sempurna. Lelaki yang bergelar seorang suami dan ketua keluarga bukanlah mudah. Banyak yang ditanggung. Bukan hanya sekadar urusan duniawi semata-mata.

Sesungguhnya dia sedar, dia sedang diuji oleh Maha Esa. Diuji erti cinta dan erti sabar. Dan dia sentiasa pahatkan dalam diri bahawa hidup ini sangat singkat untuk membenci. Biar pun dalam jiwa raganya terselit rasa kecewa. Dia redha dengan kehendak-Nya. Mungkin ini balasan di atas segala kesilapannya yang lalu.

Sungguh dia mahu mendengar juga kata-kata manis daripada si dia di sisi. Namun tampak sukar dan mustahil buat ketika ini. Bila dia menoleh ke seberang, melihat pasangan bahagia bercerita. Dia mula tunduk sendiri. Semuanya sudah berlalu jauh. Jauh dan semakin menjauh meninggalkan dirinya yang sentiasa diulit rasa rindu sebuah kebahagiaan.

"Allah sedang menguji cintamu." Demikianlah nasihat seorang teman. Dan dia kembali melemah. Sesungguhnya dia masih bertahan dan bertahan. Dan entah bila kan berakhir. Dia menggeleng.

Sudah lama dia biarkan rasa cinta itu bersendiri. Tiada siapa yang mengerti apa yang dia rasa. Biarlah dia sendiri depani segala kemungkinannya. Dia mahu berubah yang lebih nyata. Mahu menjadi seorang yang terbaik. Harapan menggunung pastinya belum cukup untuk yakinkan si dia. Dan lelaki ini terus diberi layanan yang bukan sewajarnya. 

Akur.

Sesungguhnya satu perkara dipelajari bahawa rasa amarah itu adalah api dalam hati kita. Mahu dikawal dan dibendung dengan iman dan takwa. Kalau tidak, kelak bencana menimpa. Maka dilontar jauh-jauh walau sedikit rasa benci. Walaupun dia tahu, bahawa rasa dicintai itu hanya mimpi. Namun dia tidak lelah untuk terus berdoa dan berdoa pada Yang Esa.

Segalanya mungkin.

Selagi hayat masih ada. Dia akan berusaha. Walau kadang kala datang rasa hampa yang teramat. 

"Oh Tuhan! Kau sedang mengujiku erti cinta dan erti sabar. Aku redha segalanya. Aku akan lalui ranjau hidup ini selagi aku berdaya."

Berilah kemaafan.
Itulah yang terbaik.