Meneroka Dunia Buku Cerita Bergambar

Posted: Sunday, December 8, 2013 by WZWY in Labels: , ,
1

ALHAMDULILLAH dengan izin-Nya saya diberi ruang dan peluang untuk meneroka satu lagi cabang dunia penulisan iaitu buku cerita bergambar. Terima kasih kepada Ustaz Ruzain Syukur yang telah memilih saya berserta dua puluh tujuh peserta lagi untuk menyertai Bengkel Penulisan Buku Cerita Bergambar Berunsur Islam yang diadakan sebanyak tiga siri. Bengkel ini dibiayai dan dianjurkan oleh Perbadanan Kota Buku. Siri pertama telah diadakan di Hotel Quality, Shah Alam.

Sifu Yusof Gajah merupakan salah seorang juri pertandingan
Buku Cerita Bergambar peringkat antarabangsa

Pada awalnya ketika didedahkan tentang dunia penulisan buku bergambar ini, saya mula rasa serba salah kerana kami perlu melukis sendiri selain daripada memikirkan jalan cerita, watak dan tajuk cerita yang menarik.

Jenuh juga saya berfikir. Dan rupa-rupanya saya tidak bersendirian kerana lima hingga enam orang rakan peserta yang hadapi perkara sama.

Rupa-rupanya penulisan buku cerita bergambar ini bukan suatu yang mudah. Nampak sahaja setiap helaian ada gambar dan sebaris teks, tetapi ia benar-benar mencabar kreativiti kita sebagai penulis dan juga ilustrator. Saya terpaksa mengalah dan menyerahkan tugas ilustrator kepada orang lain. Mujurlah rakan penulis saya di dalam komik Geng 5A, Hani Raimi sanggup menjadi ilustrator saya dan kami bersetuju untuk bersama-sama realisasikan projek buku ini.

Kemudian saya melakarkan sebuah cerita tentang salam. Tajuk yang saya pilih ialah Assalamualaikum. Saya menulis jalan cerita dan membuat 'dummy' cerita ini. Apabila selesai bengkel pertama ini dan pulang ke rumah, saya merasakan cerita ini agak biasa dan tidak ada kekuatan tersendiri. Dengan izin Allah, saya diberi ilham untuk menulis sebuah cerita baharu yang ada ciri-ciri tradisi tempatan sebagaimana yang diminta oleh Pak Yusof Gajah. 

"Kalau boleh selitkan ciri-ciri tradisi kita dalam buku bergambar. Itu yang orang luar nak tahu."


Maka wujudlah jalan cerita dan watak baharu iaitu kisah persahabatan manusia dan binatang iaitu Kudin dan Cik Mon. 



Kudin dan Cik Mon lakaran idea Hani
Saya benar-benar bersyukur kerana Allah mengirimkan seorang ilustrator muda yang berbakat besar. Maka terciptalah watak Kudin dan Cik Mon yang comel ini.

Ketika siri kedua di Hotel Armada, Petaling Jaya, jalan cerita Kudin dan Cik Mon sudah siap dan diluluskan oleh jurulatih penulisan kami iaitu Puan Naemah. Cikgu Zulkifli yang ditugaskan membantu Puan Naemah juga memberi pendapat yang sama.

Memang bukan mudah apabila kita menulis dan orang lain pula akan melakarkan idea tersebut di atas kertas. Kadang-kadang pemikiran penulis dan ilustrator berbeza. Dalam kes saya, syukur kerana idea Hani nampaknya bertepatan dengan apa yang saya gambarkan. Mungkin ini disebabkan kami telah bekerjasama menulis siri komik Geng 5A di dalam majalah Asuh sejak awal tahun 2012 lagi.


Sesi pembentangan di siri ke-3 di Hotel Summit
berdepan dengan Sifu Yusof Gajah
Sebelum siri ketiga diadakan pada 2-3 Disember 2013, kami berdepan dengan tempoh masa yang singkat untuk menghantar lukisan lengkap sebanyak 16 muka surat. Ilustrator Hani mula cuak kerana saya mencadangkan dia melukis menggunakan pensil warna dan bukan secara digital.

Setelah saya menjelaskan bahawa idea ini lahir daripada Pak Yusof sendiri kerana apabila buku ini dibawa ke luar negara, ia lebih mendapat tempat dan berpeluang menyertai pertandingan di sana. Oleh itu, saya merasakan ini peluang terbaik Hani mempamerkan bakat hebat beliau di peringkat yang lebih tinggi. Saya hanya pencetus dan penulis jalan cerita sahaja. Mana tahu, dia berpeluang berkarya di peringkat antarabangsa pula. Insya-Allah. 

Akhirnya, Hani bersetuju. Waalupun ketika itu beliau berdepan dengan minggu peperiksaan di UPM. Nak ke tak nak, kami bersepakat dan beliau berjaya menyiapkan enam muka surat sebelum tiba tarikh siri ketiga. Alhamdulillah kerana ia cukup kuota sekurang-kurangnya empat muka surat.

Set lengkap manuskrip perlu dihantar ke pejabat Kota Buku pada atau sebelum 15 Disember 2013. Sekali lagi tugas sukar Hani untuk menyiapkan 12 lagi muka surat berbaki serta ubah suai semula beberapa gambar sebelum ini. Dan kini Hani sedang berjuang menyiapkan lukisan berkenaan. Saya benar-benar terhutang budi kepada Hani yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan projek kali ini. Dan sebab itu, saya akan mencadangkan hasil perkongsian penulisan kami ini dibahagi 40-60. Ini kerana tugas ilustrasi bukan sesuatu yang mudah dan terpaksa mengerah keringat juga dalam menterjemahkan idea ke dalam bentuk ilustrasi.

Doa saya agar buku cerita bergambar Kudin dan Cik Mon ini mampu mendapat sambutan baik di Malaysia melalui jualan ebook oleh Kota Buku dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Ini adalah hasil kerja keras pihak Kota Buku yang saban tahun menyertai pesta buku di luar negara. Dan yang paling penting ialah nilai dakwah dalam buku ini sampai dan dapat diterima serta diamalkan oleh khalayak pembaca. Insya-Allah.

Di antara gambar kenangan siri bengkel yang diadakan di tiga lokasi iaitu di Hotel Quality, Hotel Armada dan Hotel Summit. Terima kasih pihak Perbadanan Kota Buku dan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia.
Puan Norhayati merupakan penggerak utama siri bengkel ini.
Pegawai Kota Buku
Dr Samsu Hezam sedang menyiapkan cerita ikan Buntal
Sesi pembentangan dengan Pak Yusof Gajah.
Banyak yang kami belajar daripada sesi ini
En Haziq, penyelia program yang kuat semangat layang
karenah para peserta.
Salah seorang petugas Kota Buku
Cik Ma memang rajin bantu kawan-kawan
Ustaz Azman lebih kurang saya, hanya tahu tulis cerita sahaja
Ustaz Khairul hebat. Tulis dan lukis sendiri
Ustazah Mimi wakil peserta berucap pada hari penutup
Bukan perasmi ya.
Proses pameran hasil kerja

Pak Yusof Gajah serta hasil karya beliau
Ustaz Ruzain Syukur, orang kuat BPI dalam merealisasikan
siri bengkel ini

Sukarnya Kalau Bergantung Harap Kepada Manusia

Posted: Friday, December 6, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

MEMANG BENAR, pesan guru saya agar kita hidup di muka bumi ini janganlah terlalu bergantung harap kepada manusia. Jangan diletakkan satu harapan yang paling tinggi dalam apa juga usaha dilakukan kepada seseorang yang lain. Kelak nanti kamu akan kecewa.

Tak kala di saat ini saya merasakan sukarnya apabila kita bergantung harap kepada orang lain semata-mata. Biarlah hasilnya 'kurang elok' tetapi kita bebas dalam melakarkan apa juga yang kita mahukan dalam kehidupan kita. Dan kita punyai waktu sendiri tanpa perlu terikat dengan jadual kehidupan orang lain.

Tetapi, tidak semua kita mampu lakukan sendiri.

Ya, benar. Dalam sesuatu keadaan dan masa tertentu kita juga perlukan sokongan atau bantuan orang lain. Dan mustahil untuk kita lakukan semuanya sendiri. Oleh sebab itu, kita dianjurkan hidup saling bantu-membantu sesama kita.

Saya masih ingat ketika membaca sebuah buku berkaitan kebebasan dalam sesebuah perniagaan. Dikatakan seseorang peniaga itu tidak bebas lagi kalau hanya bergantung kepada peniaga yang lain. Contohnya, apabila kita menjadi pembekal sesuatu produk dan mengharapkan pekedai yang membayar balik harga barang yang dibekalkan kepada mereka. Andai mereka lewat atau tidak bayar langsung, maka kita akan alami kerugian. Jadi, pembekal tadi dinasihatkan agar terus jual kepada pembeli tanpa bantuan 'orang tengah'. Selepas dilaksanakan, hasilnya lumayan dan dia telah berjaya memperoleh keuntungan berlipat ganda tanpa pergantungan kepada pekedai tadi. Ini hanyalah satu contoh yang mampu dilaksanakan oleh pembekal tadi. Masih ada barang yang perlu kepada pekedai atau peruncit yang menjual kepada pembeli.

Selepas merenung semula, saya akui bahawa setiap perkara itu semuanya datang daripada Allah. Dia berkuasa di atas segala-galanya. Maka pergantungan kita hendaklah kepada-Nya dengan sepenuh hati.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rum, ayat 40 bermaksud:

"Allah jualah yang mencipta kamu kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu sesudah itu Ia mematikan kamu kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya)."


Sesungguhnya Allah itu dekat. Pohon pada-Nya pada setiap masa. Jangan lelah dalam berdoa dan bergantung harap kepada-Nya. Insya-Allah kita diberi kekuatan untuk usaha-usaha seterusnya.

Cita-cita masih sama. Cipta kejayaan walau terpaksa harungi 1001 ranjau keperitan perjuangan. Masih banyak cara yang mampu dilaksanakan. 

Berdoa pada-Nya.