Fokus Penyelesaian Bukan Permasalahan
Posted: Tuesday, April 26, 2011 by WZWY in Labels: Motivasi Diri
0
Setiap orang pasti menghadapi MASALAH atau UJIAN HIDUP yang tersendiri. Bezanya adalah sama ada masalah itu besar atau sederhana atau kecil sahaja. Paling BESAR mungkin melibatkan permasalahan mengenai HIDUP atau MATI.
Masih ingat lagi pada tahun 2003, saya diberi ujian oleh Allah SWT apabila dua anak saya terpaksa dimasukkan ke wad kerana penyakit asma. Dan salah seorang iaitu anak ketiga saya Wan Muhammad Al-Ghazali terpaksa dimasukkan ke wad ICU. Ayahanda tercinta Allahyarham Wan Yusoff kembali kerahmatullah pada tahun yang sama.
Inilah rentetan UJIAN HIDUP yang menjadi satu KEPASTIAN yang kita tidak boleh elakkan. Kita tidak boleh katakan ia tidak berlaku kepada diri kita. Semuanya dalam perancangan Allah SWT Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Kita sebagai hamba-Nya perlu redha dan hadapi dengan tenang dan penuh ketaqwaan. Walaupun ia nampak mudah, ia adalah sesuatu yang sukar untuk dihadapi. Namun kita harus terus tabah dan letakkan Allah SWT sentiasa ada bersama-sama kita. Pada-Nya kita mohon petunjuk. Pasti ada jalan penyelesaiannya.
Fokus Pada Penyelesaian Bukan Permasalahan
Apa yang saya hadapi kini juga dalam perancangan Allah SWT. Itulah kekuasaan Allah SWT. Tunjukkan sesuatu yang kita alpakan sebelum ini. Walaupun ia kelihatan berat atau sesukar mana pun, saya perlu hadapi dengan penuh hikmah. Buntu dan kecewa. Itu adalah sesuatu yang normal. Tapi kita harus kuat. Bukan mneyerah begitu sahaja. Tentu ada hikmah di sebaliknya.
Alhamdulillah dengan petunjuk-Nya. Didorong untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Berfikir dengan waras tanpa mengikut telunjuk hasutan syaitan. Bantuan sahabat-sahabat yang sentiasa tidak putus-putus berikan nasihat percuma. Itulah yang harus kita lakukan. Jika hadapi apa jua permasalahan, beri tumpuan pada penyelesaiannya. Bukan hanya merungut dan mengeluh. Masalah...masalah...masalah.
Berkongsi
Tidak salah untuk berkongsi apa permasalahan yang kita hadapi dengan orang yang kita percayai. Lihatlah di kalangan rakan-rakan kita. Mereka ada kelebihan dan kekurangan masing-masing sebagaimana kita. Jika sudah yakin, maka berceritalah, luahkanlah apa yang terbuku di hati. Puaskan diri. Menangislah sepuas-puasnya. Dan jangan lupa, kembali pada Yang Maha Esa. Dialah tempat yang menjadi penentu segala permasalahan kita. Dekatkan diri pada-Nya. Muhasabah diri. Dan ingat, jangan sesekali menjauhkan diri daripada Allah SWT. Perbanyakkanlah solat sunat, zikir, doa, sedekah dan amalan-amalan yang dituntut oleh agama Islam.
Berubahlah
Jika itu yang perlu dilakukan. Berubahlah. Jangan terlalu EGO dan mementingkan diri sendiri. Berubah itu lebih baik jika apa yang sedang dan sudah dilakukan sebelum ini menjadi puncanya. Kenapa perlu takut? Hadapi kenyataan bahawa aku yang bersalah. Aku perlu berubah sekarang. Tinggalkan apa yang tidak sepatutnya dilakukan. Mulakan sesuatu yang baru. Perkara yang lebih mendatangkan kebaikan untuk kita dan orang di sekeliling kita.
"Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), apabila mati baru mereka terjaga (tersedar)."
Ini adalah kata-kata Saidina Ali r.a. Wajar kita ambil perhatian dan fikirkan sedalam-dalamnya. Apabila seseorang itu mati, baru tersedar bahawa selama ini dia banyak mempersiakan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Ketika itulah baru si mati tersedar tentang hakikat hidup dengan nyata dan tepat.
Jadi, dikesempatan kita hidup dan tersedar segala kealpaan kita sebagai HAMBA ALLAH. Tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ISLAM dan KETUA KELUARGA atau pelbagai tanggungjawab lain lagi. Bangkitlah. Berubahlah. Bangun dan sedarkan diri. Aku tidak bermimpi lagi.
Bersyukurlah dengan nikmat HIDUP ini.