Jaga 'Air Muka' Orang

Posted: Wednesday, July 11, 2012 by WZWY in Labels:
0

Saya tersenyum sendirian apabila mengenangkan beberapa kisah di zaman sekolah menengah dahulu. Walaupun sudah lebih dua puluh tahun berlalu, ia masih segar dalam ingatan.

Seorang teman di asrama mengajak 'bertumbuk' apabila dikatakan saya menjatuhkan 'air muka'nya. Mungkin ada gurauan atau kata-kata yang tidak disengajakan telah membuatkan dirinya rasa malu. Dan satu perkara lagi, dia pantang kalau seseorang menyentuh kepalanya. Mungkin itu penyebab utama. Maklumlah pada masa itu, masing-masing dengan cara tersendiri. Nasib baik tidak berlaku pergaduhan selepas saya memohon maaf jika tersilap cakap atau terkasar bahasa. Kalau berlaku pergaduhan pun, pasti saya kalah..hehehe

Ada satu hadis sahih yang menyatakan, "Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri."

Ini bukan suatu perkara yang boleh diambil mudah. Kalaulah ada benci di dalam hati terhadap seseorang, maka iman kita belum lagi sempurna. Apatah lagi, ia melibatkan ahli keluarga sendiri.

Semak diri. Adakah kita tergolong dalam kelompok tersebut.

Jika Ya. Maka kita terpaksa uruskan sesuatu agar perhubungan itu dapat dijernihkan semula. Kemudian itu kita berserahlah kepada Allah, sekiranya usaha ikhlas itu masih belum menemui titik penyelesaiannya. Bersangka baik dengan Allah SWT.

Jaga 'Air Muka'

Bab menjaga 'air muka' ini adalah sesuatu perkara yang cukup sensitif dan perlu diambil serius. Kadang kala kita tidak tersedar bahawa apa yang kita ucapkan atau perlakuan kita menyebabkan seseorang 'terasa hati' atau berasa malu. Ia mungkin berlaku dengan pantas tanpa kita sedari.

Tidak kiralah seseorang itu seorang majikan atau ketua, soal jaga 'air muka' ini perlu diberi perhatian. Seorang ketua tidak boleh sama sekali memarahi kakitangan mereka di depan khalayak ramai. Ini boleh menimbulkan rasa malu pada diri kakitangan tersebut. Ia akan memberi impak yang besar dan memungkinkan seseorang itu tertekan dan prestasi kerja yang semakin merudum. Apa salahnya, satu perbincangan dibuat dan pertemukan titik penyelesaian. Insya-Allah, ia akan memberikan kesan baik kepada organisasi.

Begitu juga semasa menegur ahli keluarga dan anak-anak. Tidak boleh dibuat secara terbuka dan menimbulkan rasa malu orang lain. Kalau kita menegur kesalahan seseorang secara hikmah, maka ia lebih baik lagi.

Betulkan?

Apa yang saya pelajari, jika kita sendiri benci atau tidak suka orang lain perlakukan kita begitu, maka kita juga jangan sesekali melakukannya terhadap orang lain. Kalau semua berpegang dengan prinsip yang sama, maka akan wujudlah suatu perhubungan yang mesra. Semoga entri ini memberi manfaat buat saya dan tuan-tuan. Insya-Allah.

***SELESAI***

0 Komentar: