Marah

Posted: Sunday, July 28, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

"Bukan mudah."

"Memang diakui ia bukan sesuatu yang mudah," tambah seorang sahabat bersetuju.

Sifat marah ini bukan perkara yang boleh diambil enteng oleh sesiapa sahaja. Tidak kira dia seorang lelaki atau wanita. Dewasa atau kanak-kanak.

Saya juga akui, saya hamba-Nya yang cukup lemah dan sering kali 'tergelincir' dalam menguasai amarah dalam diri. Moga Allah SWT tetapkan hati saya agar menjadi seorang yang diredai-Nya. Sungguh!

Tidak perlu salahkan orang lain. Lihatlah diri kita sendiri. Apa yang silap? Apa yang tidak kena lagi? Diri kita sendiri yang dapat rungkaikan andainya kita masih belum mampu menguasai sifat marah yang keterlaluan. Marah memang sifat manusia. Namun ia harus dikawal dengan sebaik-baiknya.

"Marah adalah salah satu anak panah syaitan. Oleh itu hindarilah marah, kerana ia mendatangkan rahmat dan dicintai Allah." Wasiat Imam Bukhari.

Abu Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan, "Ada seorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah SAW duduk di sebelahnya. Nabi diam sahaja, begitu juga Saidina Abu Bakar."

Tidak lama kemudian lelaki itu terus memaki Abu Bakar. Dan tiba pula giliran Saidina Abu Bakar membalas makian tersebut. Rasulullah SAW terus bangun dan berlalu pergi. Abu Bakar berasa hairan dan terus mengekori Rasulullah SAW.

"Ya Rasulullah, pada kali pertama dia memaki saya, kamu diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba kamu bangun lalu pergi," kata Saidina Abu Bakar minta kepastian.

Rasulullah SAW menjawab, "Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam. Tetapi engkau membalas makian itu, malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan."

Rasulullah SAW menambah lagi, "Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah."

Kadang-kadang sifat marah ini membuatkan seseorang bertindak di luar batasan tanpa memikirkan risiko mendatang. Kalau tidak dikawal, maka ia akan memberi kesan yang buruk kepada diri sendiri dan orang lain.

Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa saya dan juga tuan-tuan apabila gagal menguasai rasa amarah ini. Walaupun itu sifat kelemahan kita, jangan biarkan ia terus menguasai diri. Kelak kita juga yang merana sesal.

Allahu Akbar!

Sesal sungguh apabila keadaan reda. Orang yang kita marah pula terluka. Adakah dengan kemarahan melampau itu membuatkan setiap permasalahan itu selesai?

Tidak.

Masalah baru pula muncul.

Rasulullah SAW bersabda, "Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk. Dan jika dia duduk hendaklah dia berbaring."

Inilah antara nasihat yang diutarakan oleh Rasulullah SAW. Selain itu berwuduklah kerana ia akan membuatkan kita lebih tenang. Insya-Allah.

Ya Allah!
Ampunilah dosa-dosaku.
Peliharalah aku dari sifat marah ini.
Jangan biarkan hatiku menurut bisikan syaitan laknatullah.

Amin!


Pembunuh Bakat?

Posted: Saturday, July 27, 2013 by WZWY in
0

video

Hadirmu Bererti Walau Seketika....Al-Fatihah.

Posted: Thursday, July 4, 2013 by WZWY in Labels: , ,
0

Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un....hati saya tersentak seketika apabila dengan izin-Nya saya membuka status FB Galeri Ilmu di telefon bimbit.

Jujurnya saya tidak mampu untuk meletakkan gambar di saat-saat akhir 'perpisahan' sifu@mentor penulisan saya Tn Hj Zakaria dengan jenazah anakanda kesayangan beliau, Nadia.

Kali terakhir saya bersua dengan arwah kira-kira dua minggu lepas apabila saya berkunjung ke pejabat GIMG dan mengajak Tn Hj Zakaria dan Ustaz Shahrul makan malam di sekitar Kota Damansara. Dia menolak dan lebih selesa bersendirian di dalam kereta. Begitulah sikap arwah sebelum ini, kurang bercakap dan lebih banyak menelaah buku di tangan.

Semalam rakan penulis saya, Tuan Web Sutera bertanyakan adakah kami setabah Tn Hj Zakaria apabila melihat ketenangan beliau dari awal beliau tiba di lokasi kemalangan hingga ke tanah perkuburan.

Memang sukar....

Apabila saya tiba di kamar jenazah di Hospital Sg Buloh pada hari kejadian, Tn Haji Zakaria tetap tenang. Apabila melihat isteri beliau dan anak-anak lain berendam air mata kedukaan, hati saya tersentuh. Dan itulah yang saya rasa pada 31 Mac 2003 yang lalu apabila ayahanda tercinta kembali ke rahmatullah.

Tenang di luar....tetapi di dalam....hanya Tuhan yang tahu. Bila bersendirian, ketika itulah memanjatkan doa kepada Ilahi dan diiringi deraian air mata.

Kesedihan....
Redha....
Pasrah....

Saya dan keluarga sentiasa mendoakan keluarga Sifu Tn Hj Zakaria terus tenang dan tabah. Sama-sama kita mendoakan arwah tenang di alam sana dan mendapat kerahmatan Allah SWT.

Kita pula bagaimana?

Takziah Tuan Sifu.

Kita teruskan agenda kita selanjutnya. 
Perjuangan masih panjang.


Allahu Akbar!


Shah Alam
04 Julai 2013


Buku Seorang Guru

Posted: Monday, July 1, 2013 by WZWY in Labels: , ,
0

ALHAMDULILLAH dengan segala limpah kurnia-Nya. Saya masih diberi kekuatan untuk berada dalam dunia yang tidak pernah saya impikan sebelum ini.

Empat tahun lepas saya hanya impikan menulis sebuah e-book. Tapi hingga sekarang, hasrat penulisan ebook itu masih menjadi impian yang belum tertunai.

"Tulislah sesuatu yang dekat dengan anda."

Itulah nasihat yang masih terngiang-ngiang di cuping telinga ketika menyertai kursus penulisan sulung saya di bilik mesyuarat Galeri Ilmu Media Group (GIMG).

Bermula dengan IMPIAN JUARA, ia adalah hasil pengalaman saya berada di SK Taman Medan dan ketika itu saya membawa cabaran pasukan ping pong sekolah di peringkat daerah.

Kedua-dua buah buku motivasi diri saya juga berputar di sekeliling kehidupan saya sebagai seorang pendidik. SUAMI YANG TERUJI adalah hasil pengalaman bertemu bual dengan para ibu bapa. Kemudian yang terbaharu CIKGU, ANAK SAYA OKEY? juga hasil pengalaman saya sebagai guru dan pentadbir di sekolah.

Pengerusi Redaksi Majalah Al-Maarif

Saya pasti ia bukan suatu kebetulan kerana sesuatu yang berlaku itu dalam penguasaan-Nya. Sekitar tahun 1990-1991 saya telah dilantik oleh Ustaz Mat Zin dan Cikgu Nik Ahmad Affendy sebagai penolong pengerusi dan seterusnya dilantik sebagai pengerusi Unit Redaksi Majalah Al-Maarif, Sekolah Menengah Agama Maarif, Kampung Raja, Besut Terengganu. Saya masih ingat pada masa itu saya bersama-sama sahabat karib Mat Rahimi Yusof yang sekarang bertugas di SMK Penarek, Setiu, Terengganu selama dua tahun terlibat dalam pembikinan majalah sekolah. Ia suatu pengalaman baru pada masa itu.

Apabila dikenang-kenang, rupa-rupanya Allah telah memberi ruang awal kepada saya terlibat dalam dunia penulisan ini. Cuma apabila saya mula memasuki maktab perguruan dan meneruskan khidmat bakti di seberang Laut Cina Selatan,dunia penulisan seolah-olah semakin menjauh dan jauh sayup-sayup sehingga tidak kelihatan lagi.

"Saya tak pernah baca novel."

Inilah ayat yang saya katakan kepada mentor atau guru penulisan saya, Tuan Haji Zakaria pada satu pertemuan pertama kami.

Mana mungkin saya mahu diajak menulis novel sedangkan saya sendiri tidak pernah dan tidak minat membaca novel. Sungguh, saya tidak pernah membeli novel kecuali ketika berada di aliran sastera di sekolah menengah dahulu.Itu pun kerana saya perlu duduki peperiksaan mata pelajaran tersebut.

Mahu atau tidak, saya mesti beli dan baca novel. Andainya masih bercita-cita menulis sebuah novel, saya mesti baca sekurang-kurangnya sepuluh buah novel.

"Arghhh! Sukarnya."

Dalam kepayahan saya sudah membaca lebih sepuluh buah novel dewasa dan remaja. Saya perlu tahu apa itu novel dan gaya penulisan sesebuah novel. Dan lama kelamaan ia semakin mudah. Saya pun mula mendaftarkan diri dalam pelbagai kursus atau bengkel penulisan di sekitar Lembah Klang.

Alhamdulillah, atas semangat 'burning desire' dan keizinan Allah SWT, novel pertama saya mula dipasarkan di sekitar awal tahun 2010.

Wah! Bangganya saya apabila melihat sebuah novel hasil tulisan sendiri sudah berada di atas rak buku kedai-kedai ternama. Sukar untuk saya ungkapkan di sini.

Sampai bila?

Hingga ke penghujung nyawa akan terus berjuang dalam dunia yang semakin sebati dengan jiwa saya ini. Insya-Allah. Itulah doa dan harapan besar saya. Moga ia diberi keizinan-Nya.

Kata saya pada Tuan Haji Zakaria suatu ketika dulu, "Saya mahu melakukan sesuatu yang boleh beri saham akhirat walaupun saya ditakdirkan sudah tiada di alam buana ini."

Akhir kata

Selamat berjuang kepada semua rakan penulis di seluruh negara. Bukan semua mampu berada di lapangan perjuangan ini. Andai ditakdirkan sudah ada jalan dan ruang di pintu dunia penulisan ini, teruskan...teruskan tanpa jemu.

Terima kasih buat semua pembeli dan pembaca buku-buku tulisan saya yang masih bertatih dalam dunia ini. Sokongan dan dokongan tuan-tuan mampu memberi kekuatan untuk saya terus berkarya. Insya-Allah.
'

Moga jumpa lagi.

Amin.