BERSELOROH?????

Posted: Friday, July 24, 2009 by WZWY in Labels:
0

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, berseloroh bermaksud bergurau senda, berkelakar dan berolok-olok.

Bagi saya, setiap hari yang dilalui terutama di tempat kerja, kita perlu satu suasana ceria dan seronok untuk bekerja. Sudahlah kita dibebani dengan tugasan harian yang tidak pernah ada penghujungnya.

Banyak contoh perkataan atau isu-isu dijadikan modal untuk berseloroh atau bergurau sesama rakan. Ada yang kasar, lembut dan sebagainya. Ini berdasarkan cara masing-masing dan kebiasaan yang dilalui sesuatu kelompok tersebut. Dalam ramai-ramai rakan sekerja, tidak semua mempunyai personaliti sama dan boleh diajak berseloroh. Kita perlu bijak menanggani situasi-situasi yang sepatut dan tidak perlu dilakukan. Dan tidak mustahil apabila gaya berseloroh atau bergurau kita itu tidak disenangi seseorang atau pun mereka memang mengambil serius setiap perkataan diucapkan. Kita menganggap ia satu gurauan, tetapi bagi dia, ia satu pernyataan dan kita akan dicop sebagai individu tidak bertanggungjawab dan sebagainya berdasarkan kata-kata kita tadi.

Jika difikirkan, takkan sampai macam itu. Tetapi itulah hakikat yang harus ditelan apabila berada dalam satu organisasi atau kelompok yang berlatar belakang pelbagai ragam individu.

Firman Allah s.w.t bermaksud:

" Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." ( Surah Al-Israa:53)

Oleh itu, sentiasalah kita menjaga lidah kita daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguriskan perasaan rakan-rakan. Jika bersama rakan yang sudah lali atau biasa dengan gurauan-gurauan sedemikian, ia tidaklah menjadi satu isu besar. Tetapi, sebaik-baiknya latih diri kita untuk mengelakkannya.

Ada satu cerita semasa saya belajar di tingkatan empat. Pelajar A ini memang suka berseloroh dengan rakan-rakan sekelas atau di asrama. Pada satu malam, ketika masing-masing sibuk mengulangkaji, dia bergurau dengan pelajar B. Pelajar B terasa hati dan tidak dapat menerima cara tersebut, lalu mengajak pelajar A ini untuk bertumbuk. Pelajar A hanya mampu mengelak sahaja setiap pukulan pelajar B. Dia tahu bahawa diri dia bersalah. Bagi pelajar A , ia satu pekara biasa tetapi sebaliknya bagi Pelajar B.

Oleh itu, sebelum kita memulakan apa-apa perbualan, selidiki terlebih dahulu dengan siapa kita bebual dan boleh atau tidak untuk diajak bergurau senda. Jika tidak, kita berbual perkara-perkara yang perlu sahaja atau lebih baik DIAM.



0 Komentar: