CERITA PESTA BUKU

Posted: Monday, May 2, 2011 by WZWY in Labels:
0

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2011 telah melabuhkan tirainya pada 01 Mei 2011. Kami sampai di ruang parkir The Mall pada pukul 9.45 pagi. Kira-kira masih awal kerana masih banyak ruang parkir yeng belum diisi. 

Perancangan awal mahu ke PWTC dengan menaiki komuter. Pengalaman menaiki komuter di Stesen Sg Buloh ketika dua kali saya ke sana pada 23hb dan 2hb April lepas menyebabkan saya tukar fikiran. Masalah jadual komuter yang selalu 'delay' dan kepadatan penumpang luar biasa antara faktor kami ke sana dengan menaiki kereta sendiri sahaja.
Sepanjang tiga hari di PBAKL kali ini, ia kelihatan tiada beza dengan tahun-tahun lepas. Jumlah pengunjungnya juga ramai terutama di gerai-gerai yang menjadi tarikan pengunjung. Kebanyakan syarikat menggunakan kreativiti masing-masing untuk menghias gerai dan pelbagai cara dilakukan untuk menarik minat pengunjung.

KOMIK MENJADI PILIHAN
Bagi anak-anak saya pula, mereka lebih teruja untuk membeli sejumlah komik. Dan rak buku di bilik mereka juga dipenuhi buku-buku komik. Nampaknya saya juga perlu meneroka dunia penulisan komik selepas ini. Anak yang sulung juga asyik bertanyakan, "Bila abah nak buat komik pula?" Saya hanya menjawab, " Insya-Allah. Nanti Novel Impian Juara akan dijadikan komik pula."

Apabila saya menemani anak-anak ke gerai-gerai yang menjual buku-buku komik, ia memang mendapat sambutan luar biasa. Dari umur lima tahun hingga dewasa, tekun menelaah bahan bacaan masing-masing.

DESTINASI WAJIB SETIAP TAHUN
Ada juga dikalangan rakan-rakan saya yang masih tidak mengetahui satu acara besar berlangsung di PWTC pada 22 April hingga 01 Mei. Pada saya, ia agak pelik dengan kemudahan teknologi maklumat masa kini. Tetapi itulah hakikatnya. Jika dunia buku bukanlah menjadi agenda penting, maka segala peristiwa berkaitan buku juga tidak perlu diambil tahu. Bagi saya, ia satu kerugian untuk anak-anak mereka terutamanya. Pada masa inilah kita seharusnya mengambil peluang untuk memilih dan membeli bahan-bahan bacaan menarik dan berkualiti dengan harga runtuh. Walaupun begitu masih ada syarikat penerbitan yang  agak 'kedekut' untuk menawarkan diskaun yang lebih baik. Walau bagaimanapun itu adalah hak masing-masing. Janji mereka menawarkan produk berkualiti, gerai mereka tetap dikunjungi ramai.

TAG NAMA 

Pada tahun ini saya mengambil langkah berjaga-jaga. Tidak mahu pisang berbuah dua tiga kali. Wan Ahmad Hijazi merupakan anak bongsu yang berumur 5 tahun. Pada tahun lepas kelibat dia 'ghaib' lebih setengah jam di PBAKL 2010. Ia agak mencemaskan saya dan isteri. Maklumlah dengan jumlah pengunjung yang ramai, mana mungkin saya dapat mencarinya dengan mudah. Sehinggalah pengumuman dibuat. Ia melegakan hati kami. Oleh itu, pada tahun ini saya siapkan awal tag nama dan digantung di leher Wan Ahmad Hijazi. Memang ia agak merimaskannya. ALhamdulillah, dengan kawalan ketat terhadapnya, maka tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku. Syukur.

TAHNIAH GALERI ILMU SDN BHD
Dikesempatan ini juga saya mengucapkan jutaan TAHNIAH buat semua warga kerja GISB yang bertungkus lumus sejak dua bulan lepas lagi. Mereka nampaknya tidak mahu 'kalah' dengan gerai-gerai bersebelahan dengan mengadakan pelbagai promosi dan diskaun menarik. Saya juga bertugas di gerai a-14 pada 23hb April untuk mempromosikan novel terbaru saya iaitu IMPIAN JUARA 2. Alhamdulilah, novel IMPIAN JUARA yang diterbitkan pada awal tahun 2010 sudah memasuki pusat-pusat sumber sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada tahun ini GISB amat giat menerbitkan buku-buku motivasi dan novel-novel Islami. Saya juga mengharapkan tim pemasaran GISB dapat mempertingkatkan lagi usaha untuk menarik minat pembaca di seluruh negara. Hasil yang berkualiti dan baik tidak semestinya mendapat tempat jika strategi pemasaran yang tidak mampu menyaingi syarikat-syarikat lain. Bukan bermaksud untuk mengalahkan sesiapa, tetapi memastikan hasil penerbitan kita juga mahu dimiliki oleh lebih ramai pembaca.

PROJEK AKAN DATANG

Sejujurnya saya masih menyimpan separuh manuskrip Penyiasat Cilik : Adib Adibah untuk disiapkan. Cuma masih belum yakin dengan penulisan terdahulu, saya mahu ia dirombak semula dengan nafas baru. Walaupun ia sudah dilulurkan oleh pihak editor, saya mahu ubah keseluruhan manuskrip tersebut semula. Dalam kepala ada beberapa projek yang mahu dilaksanakan. Permintaan pihak editor sejak dua minggu lepas, saya tidak boleh kata tidak. Saya perlu sahut dan lakukan seberapa segera. Insya-Allah, saya sedang berusaha menulis novel baru dengan watak baru. Siri Adib Adibah akan tetap diteruskan mengikut perancangan awal.

TAHU, MAHU DAN MAMPU

Bukan mudah untuk menulis dan menyiapkan sesebuah manuskrip. Apatah lagi ia berkisar tentang perkara yang kita kurang mahir. Ia perlukan penyelidikan dan pembacaan bagi memastikan hasil tulisan kita berkualiti.

AKAL saya mestilah memproses agar TAHU apa yang perlu saya lakukan pada masa ini. Saya mestikan siapkan manuskrip terbaru. HATI saya pula perlu diproses agar MAHU melaksanakan apa yang saya TAHU itu. Kekuatan pada 'kemahuan' lebih kuat pengaruhnya. Dan paling sukar ialah memastikan NAFSU saya dilatih untuk MAMPU menyiapkan tugasan yang ditetapkan. Dan kesemua ini perlukan perancangan tindakan dan penetapan masa tertentu. Jika tidak, ia hanya tinggal sebagai angan-angan semata-mata.

Semoga tuan/puan/saudara/saudari/abang/adik semua dapat manafaat ketika mengunjungi PBAKL pada tahun ini. Sudah tentu ada ilmu baru yang bakal diperolehi nanti. Hasil pembacaan buku-buku atau novel yang dibeli. Diharapkan juga rakan-rakan penulis dapat hasilkan sesuatu yang lebih baik selepas ini. Buat semua pembeli novel-novel tulisan saya juga diucapkan selamat membaca dan mendapat manafaat hasil pembacaan tuan/puan/adik/abang/kakak.

Wallahualam.


0 Komentar: