Pengalaman di konti IKIM.FM

Posted: Friday, December 11, 2009 by WZWY in Labels:
0


Alhamdulillah, masuk bulan Disember 2009 ini buah tangan sulung sudah siap dicetak dan bersedia untuk masuk pasaran. Impian Juara bukan hanya sesuai untuk kumpulan sasaran saya yang berumur 10-13 tahun tetapi pengisiannya juga sesuai dibaca dan diambil panduan oleh semua peringkat. 

Lebih kurang jam 12.30 tengahari saya, Cikgu Zurinah dan suami, Encik Zakaria ( Editor Kanan GISB) dan Encik Nasri ( Editor GISB) bergerak ke IKIM Jalan Duta untuk rakaman siaran Mesra Bersama Anis. Rakaman ini dijangka akan bersiaran pada 7 Januari depan ( 5.15 petang ).Kira-kiranya inilah pengalaman pertama dan ditemubual di radio oleh DJ Fairuz. Mungkin ada rakan-rakan yang belum pernah mendengar siaran IKIM.fm yang boleh dicapai di frekuensi 91.50Mhz di kawasan Lembah Klang.

 Terima kasih kepada pihak GISB dan Radio IKIM.fm.


* sedang berusaha menulis novel kedua pula.

Copyright?

Posted: Wednesday, November 18, 2009 by WZWY in Labels:
0


Selepas membeli keperluan anak di sebuah pasaraya, seperti biasa tidak lengkap sebelum pulang singgah sekejap terlebih dahulu di kedai buku MPH yang berada dalam pasaraya tersebut.


Buku Karya Kita Hak Kita hasil tulisan novelis tersohor Puan Nisah Haron menarik perhatian saya dan membelinya. Insya-Allah pada 2 Jan 2010 saya akan mengikuti bengkel penulisan beliau dan telah mendaftarkan diri. Walaupun ia diterbitkan pada tahun lepas, saya tidak perasan ia sudah agak lama berada di pasaran. Mungkin saya ketinggalan komuter, tetapi bersyukur kerana menemui dan membelinya.


Memang diakui banyak perkara berkaitan hak cipta yang saya tidak ketahui dan rasanya ia juga dialami oleh kebanyakan penulis (pada pandangan peribadi). Antara perkara yang didedahkan dalam buku beliau ialah hak cipta, kualiti karya dan logo, membuktikan hak cipta sendiri, kontrak penulisan dan royalti, kes-kes pelanggaran hak cipta, karya diciplak, hak cipta karya di internet, karya terbitan bertindan dan banyak lagi yang sudah pasti perlu dimiliki dan diketahui oleh sesiapa yang berminat menceburkan diri dalam dunia penulisan.

Contoh ujian pengetahuan tentang hak cipta :


Berapa lamakah tempoh Hak Cipta seseorang penulis?


Jawapan : Menurut Seksyen 17(1) akta ini, hak cipta karya sastera, muzik atau seni (selain daripada fotograf) wujud semasa hayat pencipta dan lima puluh tahun selepas kematiannya.


Bolehkah karya yang diterbitkan di majalah atau akhbar disiarkan semula di internet?


Jawapan : Penulis yang menghantar karyanya untuk diterbitkan di majalah atau akhbar, harus menunggu sekurang-kurangnya sebulan sebelum menerbitkan karyanya diweblog atau pun mana-mana laman web.


Apakah perbezaan pembayaran royalti dan honorarium?


Jawapan : Royalti dibayar berkali-kali bergantung jumlah jualan dan honorarium pula ialah bayaran dilakukan sekali sahaja iaitu ketika karya tersiar.


" Dunia adalah sebuah buku, orang yang tidak pernah
melakukan perjalanan, hanya
membaca satu halaman."
St.Augustine


Sila dapatkan Buku Karya Kita Hak Kita di pasaran.






 

Episod Hampa Di Kedai Makan Melayu

Posted: Friday, November 13, 2009 by WZWY in Labels:
3


"Kalau tak datang ambil order tiga minit lagi aku keluar."

"Mana orang ambil order ni?"

"Dah setengah jam tunggu masih tiada orang ambil pesanan?"

"Ni nak berniaga ke tak nak."

Itulah yang sering dialami oleh pelanggan apabila berada di kedai makan bumiputra/melayu (berdasar pengalaman saya, mungkin anda berbeza pandangan atau sama sahaja). Itulah yang saya alami di kedai yang sama (Restoran S.E Kg Melayu Subang) sebanyak dua kali. Tapi kali kedua ini membuatkan saya hilang sabar apabila saya dan anak-anak berada di meja agak lama menunggu. Apatah lagi dengan kerenah budak-budak yang tidak pandai duduk diam. Padahal saya antara pelanggan tetap dan selalu makan di sini bersama keluarga.

Setelah lama menunggu tiada sesiapa datang mengambil pesanan, hati makin panas apabila sebaik sahaja orang lain duduk di meja sebelah terus mendapat layanan mereka. Walaupun saya 'pelanggan tetap' dan setiap minggu datang makan di sini. Ia tidak boleh dipandang ringan dan menganggap seperti tidak penting.

Saya mungkin agak beremosi ketika keluar kedai kerana baru sahaja sampai daripada perjalanan jauh daripada kampung. Tapi ia cukup menghampakan apabila hasrat untuk makan malam tidak kesampaian dan terpaksa tukar kedai makan.


Rasanya sudah serik hendak makan ke sana lagi tapi kedai makan itulah menjadi pilihan keluarga kerana agak selesa dan masakannya boleh dikategorikan baik dan harga berpatutan tetapi mutu perkhidmatan agak mendukacitakan.


Saya berhasrat akan ke sana lagi nanti dan berjumpa sendiri dengan pemilik kedai makan tersebut supaya memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.Jika kita diam sahaja, mereka tidak sedar dan lumrah manusia mempunyai kelemahan dan kesilapan. Mereka perlu baca buku Rahsia Bisnes Mamak keluaran PTS.


Nota : Kena belajar cara layanan di kedai mamak..huhuhu

Tengok Magik Orang Kita

Posted: Thursday, November 12, 2009 by WZWY in Labels:
0

Impian Juara :Pemecah Tembok

Posted: Sunday, November 1, 2009 by WZWY in Labels:
1


Tajuknya bukanlah Impian Juara :Pemecah Tembok. Lain macam saja bunyinya kan. Novel Awal Remaja ini sebagai pemecah tembok yang menjadi penghalang untuk saya memasuki Zon Penulisan. Ia masih belum berada di pasaran namun bakal menyusul nanti.

Projek kedua masih lagi tertunggak dan Insya-Allah selepas menguruskan majlis "Jom Makan-Makan KKGK 2009" SK Taman Medan pada 08 November 2009 nanti, dua bab contoh novel kedua akan ditulis dan dihantar ke meja Editor GISB, Pak Ya. Harapan saya agar ia dapat disiapkan sebelum atau pada 25 Disember 2009 nanti.


*Terima kasih kepada tim GISB yang mereka bentuk cover novel ini dan memberi ruang untuk saya belajar dan berkarya.

Mufti Russia Komen Ayat Al Quran Pada Tubuh Bayi

Posted: Thursday, October 22, 2009 by WZWY in
0


MOSCOW - Majlis Mufti Rusia kelmarin sebulat suara menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di wilayah Dagestan, selatan Rusia merupakan amaran tuhan kepada semua penduduk Islam di Rusia dan Dagestan.

Menurut kenyataan majlis itu, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan menyebabkan penduduk Islam di negara tersebut akan mendapat keampunan Allah.

Menurut beberapa laporan, ibu bapa Ali yang tinggal di bandar Kizlyar di wilayah Dagestan dan kalangan imam tempatan mendakwa ayat suci al-Quran itu muncul pada hari Isnin dan Jumaat sebelum hilang dan digantikan dengan ayat baru.

Salah satu ayat itu bermaksud: "Allah ialah Pencipta segala yang ada.".

________________________________________________

Ini adalah sebahagian berita yang saya petik daripada akhbar Kosmo. Walau apa pun tanggapan masyarakat Islam seluruhnya. Ia merupakan suatu peringatan yang luar biasa dan perlu diambil iktibar oleh kita. Walaupun ia berlaku di Russia, tetapi kita perlu atau wajar muhasabah diri dan melihat secara jujur apakah situasi semasa masyarakat Islam di Malaysia. Adakah kita sedang menjadi hamba-Nya yang sebenar-benarnya dan mematuhi segala perintah-Nya.


Kembali Sepi Dan Sunyi?

Posted: Wednesday, September 30, 2009 by WZWY in
0


Kembali sepi? Betul ke kembali sunyi?  Betul ke hanya sebaris saf sahaja? Jangan buat perbandingan dengan bulan Ramadhan. Itu lain sebab ada solat Terawih.

Memang kembali sepi (setakat pengalaman penulis sahaja). Tiada lagi berduyun-duyun apabila suasana tenang sahutan azan berkumandang.

Kenapa tidak boleh buat perbandingan? Adakah surau atau masjid hanya untuk dikunjungi dibulan Ramadhan sahaja? Adakah Rumah Allah itu hanya layak pada satu-satu masa sahaja?

Entahlah, mungkin budaya masyarakat sesetengah tempat. Apa pun secara realitinya semakin hari semakin jauh masyarakat dengan pintu surau atau masjid. Kalau ada, berapa ramai golongan remaja solat berjemaah? Di manakah mereka? Tapi agak menyedihkan juga apabila suasana 'meriah' di bulan Ramadhan sudah hilang sebaik sahaja takbir raya dilaungkan. Adakah itu petanda berakhirnya menjejaki tangga surau atau masjid untuk tahun ini. Nauzubillah!

Apabila penceramah melontarkan ilmu-ilmu Allah, hanya muka-muka itu juga tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berulang kali. Sesetengah hamba-Nya lebih selesa berada di depan kaca televisyen menyaksikan rancangan kegemaran berbanding korbankan masa walau seketika di majlis-majlis ilmu. Doa seharian ingin kebaikan, kekayaan, kesihatan dan seumpamanya tetapi tanggungjawab kepada Maha Pencipta diabaikan.


Itulah...kembali sepi dan menunggu semula di bulan Ramadhan akan datang..pastikah?

Apa Nak Jadi Pemegang Stereng?

Posted: Sunday, September 27, 2009 by WZWY in Labels:
0


Salam Aidilfitri. Maaf Zahir Batin. Ketika ini isu atau cerita semasa di musim perayaan ialah Ops Sikap. Bila fikir-fikir...kenapa pihak berkuasa melaksanakan Ops Sikap? Apa kurangnya kemudahan pengangkutan atau jalan raya di Malaysia ini?

Jalan raya atau kenderaan di negara kita tiada masalah sebesar masalah SIKAP segelintir atau sebahagian atau hampir 100% atau mengikut penilaian masing-masing tentang pemandu-pemandu di negara ini. Maka wujudlah Ops Sikap saban tahun menjanjikan kadar penurunan kes kemalangan atau kehilangan nyawa di jalan raya. Tapi mengikut statistik semasa, kadar kemalangan dan kematian meningkat pada tahun ini.

Apa yang dilalui oleh saya semasa balik kampung dengan aliran trafik yang sememangnya biasa pada musim perayaan ialah cukup mengejutkan. Entah apa dikejar atau dikejar sesiapa pun entahlah apabila kenderaan dipecut laju tanpa mengira amaran had laju atau pun di jalan selekoh atau pun dengan deretan kenderaan di depan.

Kenapa nak laju? Apa matlamat memandu laju? Adakah takut sampai lewat ke kampung? Sedar atau tidak bila seseorang pemandu memandu laju dan sibuk untuk memotong saja, emosi dan pemikirannya akan sentiasa dalam keadaan 'stress'. Pantang kenderaannya dipintas oleh pemandu lain. Maka dia sibuk untuk mengejar dan memintas balik. Adakah ia ingin dijadikan bahan cerita di kampung bahawa kereta dia laju atau semua kereta berjenama mahal habis dipotongnya dan tinggal bau asap sahaja.

Hairan bin Ajaib apabila pemandu tanpa mengira usia apabila memegang stereng sahaja, maka berubah tingkah laku dan perangai. Hilang rasa sabar dan tolak ansur. Lesen D yang dipakai sejak bertahun-tahun bagaikan sudah memegang lesen memandu jentera F1. Tunjuk hebat dan gagah tapi silap percaturan maka berakhir dengan sitausi memilukan. Semoga kita semua dilindungi Allah daripada segala sikap negatif di jalan raya dan selamat sejahtera semasa pemanduan.

Wassalam...

God is our "CEO"

Posted: Friday, September 11, 2009 by WZWY in Labels:
0

God is our "CEO",saya meminjam petikan Ustaz Pahrol dalam tulisan beliau dalam majalah SOLUSI keluaran terbaru. Tulisan beliau amat menyentuh kalbu dan sewajarnya rakan-rakan membacanya tentang antara tujuan dan keperluan hidup, mana satu lebih penting?


Kita sebagai hamba Allah perlu ada tujuan hidup.Mengapa? Beliau menulis bahawa sebenarnya hubungan antara tujuan hidup dengan keperluan hidup umpama galah dengan buah. Galah penting kerana dengan galah kita mengait buah. Tetapi tentulah buah lebih penting kerana yang hendak kita makan ialah buah bukan galah.


Oleh itu, setiap masa semasa kita hirup udara segar di muka bumi ini dipenuhi dengan ibadah. "Tidak Kami kujadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku." (Surah al-Dhariyat 51:56). Tujuan kita hidup tidak boleh lari daripada beribadah kepada Allah. Dalam apa jua kita lakukan, kita sentiasa mengingati Allah.


Sering kali kita mendengar pandangan salah bahawa ibadah hanya melibatkan perkara berkaitan ibadah solat, puasa, haji dan sebagainya sahaja tanpa menyedari dalam Islam mengikut para ulama, ibadah pada dasarnya dibahagi kepada tiga bahagian iaitu ibadah asas (Fardhu Ain), ibadah sunat dan ibadah umum.


Secara ringkasnya ibadah asas ialah kita mempelajari,memahami,meyakini dan mengamalkan rukun islam dan rukun iman. Ia membentuk hubungan langsung antara seorang hamba dengan Tuhannya-hablunminallah. Ibadah sunat pula mengerjakan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, puasa sunat,berzikir dan sebagainya. Walaupun ia sunat tapi amat membantu kita menampung sebarang kekurangan dalam ibadah asas. Dan akhir sekali ibadah umum iaitu seluruh perlakuan, tindakan dan aktiviti selain daripada ibadah asas dan sunat. Ia merangkumi pekerjaan kita sehari-hari,tugas kita sebagai ayah, anak, ibu atau ahli masyarakat.


Sebenarnya banyak perkara lagi boleh disentuh dalam perkara ini. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah seluruh kehidupan kita adalah ibadah. Jika semua menitik beratkan perkara ini, saya percaya saudara-saudara juga bersetuju di negara kita tidak akan ada lagi kegiatan-kegiatan jenayah atau pun penyalahgunaan kuasa dan sewaktu dengannya. Masalah utama apabila Islam hanya dilihat dari skop kecil sahaja tanpa menghiraukan apa yang diarah dan dilarang oleh Allah s.w.t secara keseluruhannya.
Wallahualam!

Buat Apa Baca? Bukan Nak Periksa pun.

Posted: Friday, September 4, 2009 by WZWY in Labels:
0

Memang agak malang bagi seseorang individu menghabiskan masa yang diperuntukkan oleh Allah 24 jam sehari semalam tanpa membaca Al Quran atau pun sebarang buku berkaitan agama, motivasi pembangunan diri, ilmiah dan sebagainya seperti karya kreatif.

"Baca buku, buat apa?AKu bukan budak sekolah lagi nak periksa," Si A mengerut dahi menjawab pertanyaan Si B.

"Sejak bila fatwa katakan mesti nak ambil periksa baru baca buku?" Si A memandang Si B terkebil-kebil. Sejak bila pula kawannya begitu serius bercakap tentang isu ini. Biasanya bila keluar minum selepas solat Terawih, perbualan mereka hanya berkisar tentang isu semasa atau paling hebat pun mengenai Liga Perdana Inggeris.

"Kau tahu tak, bagaimana seorang penulis boleh bercerita tentang saham, tugas seorang doktor, peguam, ahli korporat atau pun ahli sukan? Padahal mereka hanya penulis sahaja dan tidak pernah pun bekerja atau belajar tentang apa yang aku sebut tadi," soal Si B.

"Dia orang lain sebab penulis, mesti tahu semua," Si A membela diri.

"Kau tahu tak ada penulis tahu tentang benda-benda tu dengan hanya masuk perpustakaan sahaja," Si A memandang tepat Si A.

"Ya, kenapa, tak percaya ka?" soal Si B lagi.

"Macam mana?" Si A mula berminat.

"Berapa kali kau masuk perpustakaan?" soal Si B.

"Mana aku tahu perpustakaan di sini dekat mana," Si A tersenyum malu.

"Itulah kau, kalau tiada modal hendak beli buku di kedai buku, kita masih ada alternatif ke perpustakaan. Macam kita di sini boleh ke Shah Alam sebelah muzium atau pun ke perpustakaan di Petaling Jaya bersebelahan dengan stadium hoki," jawab Si B.

"Aku bukan setakat perpustakaan, kedai buku pun masuk beli surat khabar sahaja," 

"Itulah kita kena ubah, setiap bulan sekurang-kurangnya sebuah atau dua buah buku kita beli dan baca," 

"Untuk apa?"

"Pengetahuan diri, sekurang-kurangnya kita lebih bersifat terbuka dan menjadi panduan hidup kita," Si B menyambung penjelasannya.

"Nampaknya aku kena tukarlah, duit aku pun setiap bulan habis beli benda ini boleh pula," Si A menunjukkan rokok dunhill kegemarannya dan menghembus asap bagai corong kilang sawit.

Si B mengangguk dan senyum sendirian dengan gelagat kawannya.

Itulah senario yang berlaku. Ia bukan suatu cerita kosong, tetapi orang kita suka bercakap kosong dan berborak lama-lama di kedai makan. Paling menyedihkan apabila ibu bapa hanya tahu membeli mainan untuk anak-anak tanpa dipimpin tangan mereka ke kedai-kedai buku.

Wallahualam.....

Dah Dia Berani!

Posted: Tuesday, September 1, 2009 by WZWY in Labels:
0

Robert Alain seorang warganegara Peranchis atau lebih dikenali "Spiderman' bukan manusia biasa kerana sifat degil dan keazaman tinggi membuatkan dia dikenali oleh seluruh penduduk bumi ini.
Keberanian dan kecekalan memanjat bangunan-bangunan tinggi bukan sesuatu yang mudah. Robert Alain berjaya menggunakan bakat dan kemahirannya untuk menakluk bangunan tinggi di serata dunia. Dan terkini dia dilaporkan berjaya menakluk bangunan setinggi 88 tingkat iaitu Menara Petronas. Setelah gagal dalam dua percubaan pada tahun 1997 dan 2007, maka pada tahun 2009 akhirnya impian terlaksana. Sebenarnya, apakah yang dicari oleh 'spiderman' ini? Adakah dia melakukan kerana nama, wang atau pun kepuasan diri.Walaupun apa yang dilakukan itu menyalahi undang-undang di dalam sesebuah negara, apakah nilai-nilai positif kita boleh ambil daripada manusia 'pelik' ini.

Saya teringat petikan dalam sebuah buku motivasi hasil tulisan Dr Asrul Zamani iaitu "Sebagai manusia, kita telah dijadikan supaya sentiasa berkeinginan dan untuk terus ingin lebih berjaya dari semasa ke semasa."

Pada hemah saya, begitulah yang berlaku ke atas Robert Alain. Dia tidak pernah puas dengan rekod peribadi dan akan terus berusaha mencipta dan terus mencipta rekod sebagai mana pelari terpantas dunia masa kini Usain Bolt yang baru saja memecah rekod peribadi 100M 9.69 kepada 9.58 saat. Sebelum ini tiada siapa menyangka bahawa ada pelari mampu melakukannya sehinggalah Usain Bolt membuktikannya. Dan tidak mustahil selepas ini rekod ini akan dipadamkan olehnya atau pun pelari lain pula. Begitulah fitrah manusia. Jika ke arah kebaikan dicari maka kita akan menemui kejayaan sejati dan begitulah sebaliknya.

Antara langkah-langkah Keazaman Membara yang boleh dikongsikan di sini ialah Percaya Bahawa Matlamat Anda Pasti Tercapai. Oleh itu, matlamat yang ditetapkan haruslah sesuatu yang boleh dicapai. Minda kita akan tahu sama ada sesuatu itu realistik atau pun tidak.Kepercayaan yang kukuh amat penting disemai dalam diri kita. Jika tidak, anggaplah cita-cita kita itu hanyalah khayalan semata-mata.

Semoga apa yang dibacakan di sini dapat memberi suntikan semangat untuk terus berjuang dan berusaha dalam apa jua lapangan yang kita usahakan. Insya-Allah, dengan iringan doa kita mampu mencipta kejutan untuk diri kita sendiri.

Tinggalkan Income RM7000

Posted: Thursday, August 27, 2009 by WZWY in Labels:
3

Salah seorang kenalan memaklumkan bahawa dia telah meletak jawatan sebagai seorang agen kaji selidik salah sebuah syarikat.

"Macam mana sekarang?" tanya saya.

"Alhamdulillah, tapi dekat-dekat raya ni aku telah berhenti kerja," kawan.

"Kenapa?Bukankah dulu kau bekerja di salah sebuah syarikat yang melakukan kaji selidik," soal saya lagi.

"Ya, betul,"

"Apa sebab berhenti? Pendapatan tidak lumayan ke?" soal saya lagi ingin tahu.

"Bukan macam tu, income aku dua minggu dalam tiga ribu ringgit," kawan menunjukkan 3 batang jari.

"Wow, hebat. Habis tu kenapa berhenti?" soal saya lagi.

"Masalah hukum," jelas kawan.

"Hukum?"

"Ya, sebab aku risau tentang pendapatan daripada gaji aku,"

"Maksudnya?" tanya saya ingin lebih tahu.

"Syarikat ada membuat kaji selidik tentang syarikat arak dan sudah tentu incomenya juga datang daripada syarikat arak. Jadi aku sanggup berhenti dan tidak ingin bersubahat," terang kawan lagi penuh yakin.

"Subhanallah!" terpacul daripada mulut saya secara tiba-tiba.

"Pengurus tempat aku bekerja pun sanggup meninggalkan jawatannya, kalau dibandingkan gajinya lebih besar daripada aku," sambung kawan lagi.

"Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang benar dan mencari kebenaran,"

"Jadi apa projek sekarang," soal saya.

"Teruskan kerja lama yang satu lagi, walaupun income tidaklah sekencang agen kaji selidik," balas kawan dan melihat air tenang di Tasik Shah Alam.

Begitulah sedikit sedutan kisah benar seorang kawan yang sanggup melupakan pendapatan mencecah RM7000 sebulan demi mencari rezeki halal dan diredhai Allah. Semoga dia dirahmati dan diberi kekuatan oleh Allah.

Solat Dhuha: Magnet Rezeki

Posted: Monday, August 24, 2009 by WZWY in Labels:
3

Cuaca agak panas pada petang ini. Sukri merenung jauh seperti memikirkan sesuatu. Mungkin ia agak rumit atau sukar untuk digalas olehnya.Di tepi tasik inilah biasanya dia akan menenangkan fikiran.
"Apa yang dikenang tu, jauh nampak!" bicara Fuad dan menepuk bahu sahabat baiknya.
"Eh, kau rupanya, buat terperanjat aku saja," Sukri mengurut dada terkejut dengan kehadiran rakannya secara tiba-tiba.
"Apa lagi yang boleh aku buat sekarang?" 
"Kenapa?" Fuad menyoal semula minta kepastian dan duduk bersebelahan Sukri.
"Entahlah, sejak perniagaan Forex ini menjadi isu halal dan haram," Sukri meluahkan apa terbuku sejak seminggu lepas.
"Oh! Ingatkan fikir nak tambah cawangan," kata Fuad dan tersenyum.
"Ceh! Ke situ pulak kau berfikir," balas Sukri pantas.
"Jadi, apa masalahnya, buatlah bisnes lain. MLM ka Insurans ka, atau pun jual apa-apa yang patut," nasihat Fuad.
"Kau cakap senang, kau kan tahu sudah hampir 2 tahun aku belajar dan buat benda ni. Aku rasa inilah saja jalan untuk aku mencari nafkah tambahan," jelas Sukri semoga sahabatnya faham.
" Allah berfirman dan maksudnya, Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba dan dia pula yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala sesuatu. Petikan ayat 62, surah al-Ankabut," Fuad memandang sahabatnya yang dalam kerisauan.
"InsyaAllah, kita akan dikurniakan rezeki lain, yang pasti kita berusaha," tambah Fuad lagi.
"Aku tahu rezeki Allah melimpah ruah atas muka bumi ini, tapi aku buntu dan tidak tahu apa harus aku buat sekarang," Sukri menggaru-garukan kepala.
"Kau dah solat?" tanya Fuad.
"Solat apa? Dah pukul 6 petang ni," Sukri kehairanan.
"Maksud aku, solat dhuha. Solat antara pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari," 
"Hmmmm.." 
"Maknanya kau tak buatlah tu," Fuad sudah maklum dengan sahabatnya.
"Rasulullah menganjurkan solat dhuha supaya umatnya melaksanakan dengan istiqamah hingga kita terlepas daripada jerat kemiskinan dan mendapat kemudahan rezeki," sambung Fuad lagi.
Sukri mengangguk dan mendengar penuh khusyuk.
"Sesiapa mengerjakan solat dhuha 2 rakaat, maka Allah menghadiahkan kepadanya sebuah istana daripada emas dalam syurga, ini adalah hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi," terang Fuad lagi bagi menenangkan perasaan sahabatnya dalam keadaan gundah.
"InsyaAllah, esok pagi aku akan mula solat dhuha," wajah Sukri menampakkan keceriaan bagai terlepas beban dipikul.
"Alhamdulillah,solat dhuha bukan sahaja memudahkan rezeki tetapi ia akan mendekatkan kita dengan Allah," sambung Fuad lagi.
"Terima kasih kerana menyedarkan aku," Sukri memegang tangan sahabatnya.
"Sama-sama, lagi pun kita sesama manusia harus ada ingat mengingati," jelas Fuad tersenyum puas apabila sahabatnya mula memahami rezeki Allah itu maha luas.
Kedua-dua sahabat bangun dari kerusi dan menuju ke kereta setelah jam menunjukkan sudah hampir waktu berbuka puasa.

Puasa dan Ayam Golek

Posted: Sunday, August 23, 2009 by WZWY in Labels:
0

Ayam Golek oh Ayam Golek! Semalam selepas mengunjungi kedai buku MPH di Giant Seksyen 13 Shah Alam. Hidupkan enjin kereta menuju ke tapak Bazar Ramadhan yang berada bersebelahan. Oleh kerana agak terleka di kedai buku, sempatlah khatam membaca sebuah buku dan beli sebuah novel terjemahan Indonesia 'Mukjizat Cinta'. Bukan apa, apabila seorang rakan di tempat kerja menceritakan tentang kekagumannya terhadap novel-novel seberang. Oleh itu, saya juga ingin menikmati keindahan isi cerita novel tersebut. Secara jujur, saya masih belum kesempatan membaca novel-novel 'bestseller' seberang.
Sambung cerita ayam golek pula, apabila berasak-asak masuk 'parking' ke kawasan bazar ramadhan bersebelahan Stadium Malawati. Maka mata mencari arah mana gerai menjual ayam golek. Kelihatan ramai pengunjung dan saya terus menghala ke arah bau asap di satu penjuru bazar. Bukan main menusuk ke kalbu. Kurus puasa macam ni kalau dihirup lama-lama bau asap ayam golek  ini.

Masyallah!Apabila sampai saja ke gerai tersebut, sebaris panjang pengunjung yang awal-awal lagi beratur untuk membeli ayam golek. Macam nak beli tiket bas di Puduraya. Dua-dua gerai ayam golek sama saja. Oleh itu, terpaksa melupakan hasrat berbuka dengan ayam golek pada hari ini. Tengok-tengok apa pilihan yang ada, kepala pun dah pening dangan lautan manusia semakin ramai mengunjungi tapak gerai. Siapa kata kita dalam  kekegawatan ekonomi, malah kegerunan dengan penularan wabak H1N1 masih belum mampu menyekat orang ramai ke bazar ramadhan ini. Syukur pada permulaan bulan Ramadhan ini tiada kes kematian wabak ini. Semoga ia berterusan dan wabak ini lenyap di bumi Malaysia ini.

Akhirnya, tiada pilihan belilah sup daging dan dua jenis kuih untuk santapan berbuka nanti. Begitulah sedikit sebanyak rutin kehidupan di bulan puasa. Masing-masing sibuk untuk mencari juadah berbuka apatah lagi dekat-dekat waktu berbuka. Nampak gaya esok pula saya cari ayam golek. Begitulah hari pertama puasa dan ayam golek.

Bulan Penuh Berkat

Posted: Saturday, August 22, 2009 by WZWY in Labels:
0

Bulan Ramadhan datang lagi. Petang semalam pun saya sendiri terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan juga kesibukan ramai orang yang mengunjungi pusat membeli belah. Persiapan barang dapur menjadi agenda wajib tetapi dibulan puasa ini ia agak istimewa. Ia bukan hanya persiapan berbuka tetapi makanan untuk bersahur perlu disediakan.

Petang nanti, suasana cukup biasa bagi orang Malaysia ialah pelbagai juadah dan entah dari mana datang bermacam-macam makanan akan muncul di bazar Ramadhan. Semua kelihatan sibuk dengan pesiapan untuk berbuka. Jari sepuluh belum tentu cukup untuk membawa plastik dipenuhi makanan dan minuman.

Begitu juga di surau atau masjid, pada minggu pertama akan dipenuhi jemaah. Imam, bilal dan AJK masjid/suaru tersenyum lebar apabila rumah Allah menjadi tumpuan berbanding sebelum ini hanya sebaris atau tidak cukup pun sebaris datang berjemaah. Masuk minggu kedua ia akan menyusut dan sehinggalah hari-hari terakhir 10 Ramadhan, pusat-pusat membeli belah menjadi tumpuan. Surau dan masjid kembali sepi. Adakah ini perlu kita jadikan rutin masyarakat kita? Adakah senario ini perlu kita isi dalam bulan penuh keberkatan ini? Semoga tahun ini kita semua mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Apatah lagi dengan penularan penyakit-penyakit baru di dalam dunia. Sepatutnya ia menjadi petunjuk untuk mempertingkatkan keimanan dalam diri.

Salam Ramadhan!

Takutkan Siapa?

Posted: Sunday, August 16, 2009 by WZWY in Labels:
0

"Tolong ambil fail di atas meja sana," Lina tanpa membantah pantas ke arah meja di tepi pintu masuk.

"Saya mahu awak beritahu semua staf bahawa kita sekarang ada peraturan baru di pejabat ini," Lina mengangguk faham dan mengambil memo untuk dicetak dan diedarkan.

"Sila keluar sekarang!" perintah Dato' Abu sambil menghempas fail ke meja. Lina masih terpingga-pingga memikirkan apakah kesalahan telah dilakukannya terus keluar dengan wajah sugul.

Itulah sebahagian dialog atau peristiwa sering berlaku dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang pekerja. Kita bukan hamba kerana dibayar gaji tetapi kita akan akur setiap perintah ketua atau bos.

Kita juga akan tergopoh gapah pada saban pagi kerana bersiap-siap ke pejabat. Jika tidak, punch card merah menanti. Kita akan siapkan kerja mengikut jangka masa ditetapkan.

Begitu juga sebagai seorang pelajar,kita akan siapkan tugasan diberikan mengikut jadual dan memastikan hasil kerja kita adalah yang terbaik.Masing-masing berlumba-lumba untuk lulus cemerlang.

Walau bagaimanapun kehidupan kebanyakan manusia hari ini cukup berbeza dan lupa kepada tanggungjawab utama yang wajib ditunaikan. Saudara-saudara lihat di sekeliling, apakah realitinya yang berlaku. Adakah semuanya mengikut apa yang digariskan oleh Allah s.w.t?Adakah saya atau saudara-saudara seperti mereka?

Firman Allah s.w.t :
Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling dari pada-Nya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya). ( Surah al-Anfaal:20)

Manusia lebih takutkan perintah dan arahan ciptaan manusia berbanding perintah dan arahan Allah s.w.t.Kenapa perkara ini boleh berlaku? Siapa Bos atau Tuan kita sebenarnya? Milik siapakah kita ini?

Kita hanya manusia biasa yang tidak sunyi melakukan kesilapan atau kesalahan. Mungkin ia disengajakan atau sebaliknya. Jika tersedar, kita memohon keampunan-Nya. Semoga kita sentiasa berada di atas landasan kehidupan seorang muslim atau muslimah diredhai-Nya.

Fikir-fikirkan : Majikan/Bos/Ketua kita hanya mampu menyediakan gaji dan kemudahan di dunia semata-mata, tetapi Allah memberikan ganjaran tidak terhingga di dunia dan di akhirat. Oleh itu, sama-sama kita mengimbangi perintah atau arahan kedua-duanya. Semoga kita termasuk ke dalam golongan orang-orang beroleh kejayaan.

Wallahualam!

Al Fatihah Buat Ustaz Asri Rabbani

Posted: Thursday, August 13, 2009 by WZWY in Labels:
0

Al fatihah buat Allahyarham Ustaz Asri "Rabbani". Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Sedih apabila mula-mula baca SMS tentang berita tersebut pagi tadi. Masih teringat semasa arwah datang ke sekolah saya bertugas memberi ceramah Maulidur Rasul pada 25 April 2008.
_____________________________

Kemaskini : 14 Ogos 2009
Alhamdulilah, pagi tadi sempat menziarahi pusara Allahyarham. Didoakan semoga keluarga Allahyarham akan tabah dan sabar dalam menempuhi kehidupan seharian.

Tahniah! Sasterawan Negara ke 10

Posted: Wednesday, August 12, 2009 by WZWY in
0


KUALA LUMPUR - Tokoh sastera dan bahasa, Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan atau nama penanya Anwar Ridhwan menyifatkan pengumuman beliau sebagai penerima anugerah Sasterawan Negara ke-10 semalam umpama hadiah hari lahirnya ke-60 tahun pada 5 Ogos lalu.

Bukan itu sahaja, pengiktirafan tersebut juga dianugerahkan kepadanya selepas genap 40 tahun beliau berkecimpung dalam bidang penulisan.

"Saya bersyukur. Anugerah ini agak berat, bagi saya ia satu amanah bangsa, amanah sastera dan amanah seni yang harus saya pikul. Saya cuba untuk pikul sebaik mungkin dan saya akan terus berkarya tetapi kali ini lebih selektif,'' katanya ketika ditemui Kosmo! di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini semalam.

Menurut beliau, tengah hari semalam merupakan detik terindah buat dirinya apabila menerima satu khidmat pesanan ringkas daripada seorang rakannya yang memberitahu dirinya terpilih sebagai penerima anugerah tersebut ketika beliau sedang menghadiri satu seminar di Aswara.

Berita dipetik daripada akhbar Kosmo (12 Ogos 2009)

CCTV oh CCTV

Posted: Monday, August 10, 2009 by WZWY in Labels:
0

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan khas berjumlah RM75 juta untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko jenayah yang tinggi di negara ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini.

Beliau berkata buat permulaan, bantuan itu akan diberikan kepada 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berisiko jenayah tinggi berdasarkan statistik polis tetapi menghadapi masalah kewangan untuk memasang CCTV.

Selain itu, PBT di Johor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan antara kawasan yang akan mendapat bantuan pemasangan CCTV sebelum dilaksanakan di seluruh negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Hartanah Tahunan 2008 di sini.
________________________________________

Saya rasa semua sudah maklum apa, bagaimana, bila, di mana, kenapa dan pelbagai persoalan lagi tentang penggunaan CCTV. Secanggih mana CCTV itu, kegiatan jenayah masih lagi terus berleluasa. Kenapa berlaku demikian?

Jawapan = TAKWA kepada Allah s.w.t

Selagi manusia di atas muka bumi ini hidup tanpa bersandarkan kepada hukum Allah s.w.t, maka gejala sosial ini berterusan menjadi satu penyakit kepada kita semua.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu”.{Al Hujuraat 13}

Jika seseorang itu takutkan Allah, kehidupan seharian kita diibarat sedang berada di bawah sebuah CCTV Yang Maha Kuasa. Di mana sahaja kita berada, kita tidak dapat elak dan sembunyikan diri.

Kata seorang penceramah motivasi yang saya sempat tonton di kaca TV beberapa hari lepas, untuk mengukur seseorang itu bertakwa atau tidak mudah sahaja. Setiap perlakuannya itu berlandaskan hukum Allah sama ada secara terang atau bersembunyi. Contohnya: Jika seseorang itu ada kuasa atau pangkat, ditawarkan ganjaran atau rasuah, walaupun tiada sesiapa melihat, dia takut dan menolaknya kerana dia tahu bahawa Allah sedang memerhatikannya dan dia sedar dua malaikat sedang mengawal pada setiap langkahnya. Ini kerana malaikat pada setiap hari akan berjumpa Allah dan melaporkan setiap perlakuan hamba-hamba-Nya.

Oleh yang demikian, jika semua manusia bertakwa kepada Allah, kita tidak memerlukan lagi penciptaan dan penggunaan kamera CCTV ini kerana CCTV Allah s.w.t lagi hebat dan akan ditayangkan semula pada hari akhirat kelak.

Selagi manusia tidak mendekati Allah s.w.t, selagi itulah kehidupan masyarakat akan kucar kacir dan pastinya suatu hari nanti negara kita akan menghadapi situasi sukar.

Semoga kita semua berada dalam kerahmatan-Nya. Begitu banyak dugaan yang kita hadapi pada setiap hari.

Wallahualam.

Keajaiban Wuduk

Posted: Saturday, August 8, 2009 by WZWY in Labels:
0

Kebetulan pada hari ini akan ke sekolah bagi membantu guru-guru J-Qaf dalam Program Kem Bestari Solat(KBS), rasanya elok dikongsikan di sini tentang keajaiban wuduk. Apatah lagi wabak Selsema Babi H1N1 yang kian merebak di negara kita. Saya berpendapat amalan berwuduk ini ada kaitannya dalam proses pencegahannya.

Islam telah meletakkan syarat sah solat itu dengan tubuh dan pakaian yang suci daripada najis. Hadas besar pula perlu disucikan dengan cara mandi hadas, manakala hadas kecil pula disucikan dengan mengambil wuduk.

Diriwayatkan daripada Amru bin 'Abasah, beliau berkata, "Wahai Rasulullah s.a.w, ceritakanlah kepadaku mengenai wuduk."

Baginda s.a.w berkata,"Tidak ada seorang antara kalian yang berwuduk kemudian ia berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung, kemudian mengeluarkannya kecuali berguguran dosa-dosa dari wajah mulut dan hidungnya. Kemudian sekiranya dia membasuh wajahnya seperti yang diperintahkan Allah s.w.t, dosa-dosanya yang terdapat pada wajahnya berguguran bersama-sama air dari hujung janggutnya. Kemudian ketika dia membasuh kedua-dua tangannya hingga ke siku dengan air, dosa-dosa tangannya berguguran bersama-sama titisan air dari jari-jarinya. Kemudian ketika dia membasuh kedua-dua tapak kakinya sehingga ke hujung jari kakinya, dosa kedua-dua kakinya berguguran bersama-sama air dari jari-jarinya. Sekiranya dia berdiri solat dengan memuji dan mengagungkan Allah dengan pujian yang layak untuk-Nya dan dia khusyuk hatinya, maka dosa-dosanya hilang seakan-akan dia baru dilahirkan dari perut ibunya."
( Hadis Riwayat Muslim )

Wuduk adalah amalan terbaik bagi menghilangkan rasa letih dan ia menyegarkan badan. Kajian yang dilakukan oleh pakar perubatan moden menunjukkan wuduk boleh mengembalikan keseimbangan tenaga ke seluruh tubuh badan kita. Ia juga memulihkan tenaga yang hilang dari badan kita akibat aktiviti fizikal selain berperanan membersihkan diri seseorang itu daripada dosa. Segala caj negatif akibat daripada perbuatan yang mendatangkan dosa juga dapat dihilangkan dengan berwuduk.

Salah satu rahsia bagaimana umat Islam kekal cergas dan bertenaga adalah kerana wuduk yang sempurna. Wuduk mampu mengembalikan keseimbangan yang ideal kepada tubuh badan kita, di mana ia memperbaiki kerosakan yang berlaku pada aliran tenaga yang ada pada tubuh kita. Wuduk juga mampu mengilangkan kesan-kesan akses-akses negatif yang muncul akibat perkembangan teknologi seperti penggunaan telefon bimbit dan komputer.

Oleh itu perbuatan berkumur, membasuh hidung, membasuk muka dan kedua-dua tapak tangan serta membasuh kedua-dua tapak kaki memberi kesan kepada kesihatan kita. Contohnya perbuatan berkumur boleh melindungi mulut dan kerongkong daripada radang, membasuh hidung juga boleh mengelakkan hidung kita daripada debu, bakteria serta kuman pelbagai penyakit.

Dan dikesempatan dengan ruangan terhad ini juga, wuduk juga dapat menurunkan suhu badan. Suhu badan manusia normal adalah 37 darjah celcius. Apabila suhu badan meningkat selain mengelap tubuh dengan kain basah, ia juga dapat dikurangkan dengan berwuduk dan membiarkan air itu kering sendirinya.

Wallahulam.

Kursus Penulisan Cerpen KEPEZI

Posted: Wednesday, August 5, 2009 by WZWY in
1

Alhamdulillah, pada 1-2 Ogos 2009 lalu saya berkesempatan menghadiri Kursus Penulisan Cerpen di DBP anjuran Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI).

Banyak perkara atau ilmu pengetahuan berkaitan penulisan dapat saya timba di sepanjang kursus dua hari ini. Rasa bertuah dapat berguru dengan Bonda Zaharah Nawawi dan Dr Mawar. Format kursus dua hari ini juga menjadikan masa berlalu begitu pantas. Selama dua hari ini juga kami diberi tunjuk ajar dan kaedah bagi menghasilkan karya bermutu. Patutlah ada di kalangan peserta maish tidak puas walaupun melebihi 4-5 kali menyertai kursus ini.Semoga segala ajaran kedua-dua pembimbing hebat ini dapat diterjemahkan dengan sempurna oleh saya dan rakan-rakan.

Rasa bertuah juga dapat mengenali rakan-rakan kursus yang mempunyai latar belakang pendidikan dan penulisan yang hebat-hebat belaka.

Bismillah Lima

Posted: Monday, August 3, 2009 by WZWY in Labels:
0

Pagi tadi semasa perjalanan ke tempat kerja. Radio KLFM akan menjadi stesen pilihan pada pukul 6.45am sebaik sahaja rancangan tafsir al-Quran Ustaz Zahazan di IKIM selesai. Ustaz Fauzi bergilir-gilir dengan Ustaz Wan Sohor akan memberi tazkirah mereka di awal pagi. Mengikut Ustaz Fauzi tadi, penyakit H1N1 ini Insya Allah boleh kita elakkan dengan banyak membaca Ayat Bismillah Lima seperti di atas. Jadikan ia satu amalan pada setiap hari. Ini adalah dugaan Allah s.w.t dan ia tentu ada hikmah disebaliknya. Kita sebagai hamba-Nya sentiasa berdoa dan bermohon pada-Nya agar kita semua dilindungi daripada wabak tersebut. Insya Allah.

BERUBAH KE TAK?

Posted: Sunday, August 2, 2009 by WZWY in Labels:
0

BERUBAH!

"InsyaAllah, saya akan berubah."
"Saya akan cuba berubah."
"Belum masa saya berubah lagi."
"Lepas balik kursus, saya akan berubah."
"Saya hendak berubah tapi....."
"Buat apa saya nak berubah?"
"Patutkah saya berubah?"
"Apa saya dapat jika berubah?"
"Kalau kau berubah,aku pun hendak berubah."
"Susahlah hendak berubah."

Pelbagai alasan boleh diberikan jika mahu berubah atau tidak mahu berubah. Soalnya terpulang kepada diri sendiri. Sudah puas nasihat diberikan. Sudah puas membaca buku motivasi. Sudah puas dileteri,mungkin.Sudah puas terima kegagalan.

Kenapa masih tidak berubah?

Biar apa pun apa jua alasan, jika perlu berubah, kita mesti berubah. Mungkin kita merasakan kita sudah hebat atau kita di pihak yang betul. Jika seseorang merasakan kita perlu berubah. Paling baik apabila majoriti mengenali kita berpendapat kita perlu berubah. Apa perlu kita tunggu lagi?

Mungkin ia sesuatu keputusan yang sukar.
Mungkin ia sesuatu yang pahit untuk dilakukan.
Mungkin ia sesuatu mustahil.

Fikirkanlah dengan akal yang waras.

Berilah peluang kepada diri sendiri.
Sayangilah diri sendiri.

Untuk apa aku berubah?

Aku ingin berubah dari apa yang ku rasakan ia silap atau salah.
Aku ingin berubah dengan apa yang ditegur terhadapku.
Aku ingin menjadi sebagaimana diimpikan.
Aku ingin menjadi pemenang.
Aku ingin menjadi seperti mereka.

Mereka yang telah buktikan..cara inilah membuahkan KEJAYAAN.
Akanku buktikan sesuatu kepada kalian.
InsyaAllah!

..terima kasih isteri tercinta serta anak-anak
..mama zaharah
..teman-teman
..pak ya
..sifu kusyi
..ummu najah
..bonda zaharah nawawi
..dr mawar
..individu-individu membantu mengenali dan mendidik aku dalam dunia penulisan




Hujung Minggu di Hutan Lipur

Posted: Saturday, July 25, 2009 by WZWY in
0

Hari ini satu pengalaman baru akan diitempuhi oleh anak-anak apabila mereka bakal berada di Hutan Lipur Sg. Congkak dalam tempoh yang lebih lama berbanding sebelumnya.

Kali ini mereka akan bermalam bersama peserta Perkhemahan Unit Beruniform sekolah. Tidak pasti lagi sama ada Ziyad (9 tahun), Zikry(8 tahun), Zali(6 tahun) dan Hijazi(4 tahun) boleh sesuaikan diri berada di sana hingga petang esok.

Apabila diberitahu tentang aktiviti hujung minggu ini ialah menyertai perkhemahan dan mandi-manda di Hutan Lipur Sg. Congkak, nampaknya semua teruja dan tidak sabar-sabar lagi terutama Hijazi yang sejak awal minggu asyik bertanya tentang 'mandi sungai'.

Ini adalah sebagai salah satu usaha mendidik mereka dengan aktiviti-aktiviti lasak atau 'outdoor'. Selain itu akan membiasakan mereka untuk berada dalam satu kumpulan atau kelompok ramai. Rasanya semua ibu bapa ingin membina diri anak-anak supaya menjadi insan yang lebih hebat, lebih kental dan lebih beriman. Paling penting kita berusaha melakukan sesuatu yang menjurus ke arah matlamat tersebut.

Saya percaya bagi yang berkeluarga sudah merancang apa dan di mana aktiviti bakal dilakukan. Tidaklah kita hanya menumpukan aktiviti sendiri sahaja. Penglibatan seluruh ahli keluarga akan lebih mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.Insya-Allah!

Usia Bertambah Lagi

Posted: Friday, July 24, 2009 by WZWY in Labels:
0

Usia semakin bertambah hari ini. Ku cuba muhasabah diri apakah yang sudah dilakukan selama ini cukup atau masih jauh berkurang untuk beramal kepada Maha Esa.

Firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka karena keimanannya[670], di bawah mereka mengalir sungai- sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan."
(Surah Yunus :9)



SELAMAT HARI LAHIR BUAT SEMUA PENGUNJUNG ATAU RAKAN YANG DILAHIRKAN KE MUKA BUMI INI PADA TANGGAL 24 JULAI.

Semoga kita semua di bawah payung kerahmatan Ilahi.

Marilah sama-sama kita melakukan senarai semak, apakah yang bakal kita lakukan. Adakah ia memberi manafaat atau sebaliknya. Masa tidak berundur walau sesaat apabila sampai waktunya. Kita yang wajib mengurus dan menggunakannya. Baik atau buruk terpulang kepada diri masing-masing.

Firman Allah s.w.t:

" dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat."



BERSELOROH?????

Posted: by WZWY in Labels:
0

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, berseloroh bermaksud bergurau senda, berkelakar dan berolok-olok.

Bagi saya, setiap hari yang dilalui terutama di tempat kerja, kita perlu satu suasana ceria dan seronok untuk bekerja. Sudahlah kita dibebani dengan tugasan harian yang tidak pernah ada penghujungnya.

Banyak contoh perkataan atau isu-isu dijadikan modal untuk berseloroh atau bergurau sesama rakan. Ada yang kasar, lembut dan sebagainya. Ini berdasarkan cara masing-masing dan kebiasaan yang dilalui sesuatu kelompok tersebut. Dalam ramai-ramai rakan sekerja, tidak semua mempunyai personaliti sama dan boleh diajak berseloroh. Kita perlu bijak menanggani situasi-situasi yang sepatut dan tidak perlu dilakukan. Dan tidak mustahil apabila gaya berseloroh atau bergurau kita itu tidak disenangi seseorang atau pun mereka memang mengambil serius setiap perkataan diucapkan. Kita menganggap ia satu gurauan, tetapi bagi dia, ia satu pernyataan dan kita akan dicop sebagai individu tidak bertanggungjawab dan sebagainya berdasarkan kata-kata kita tadi.

Jika difikirkan, takkan sampai macam itu. Tetapi itulah hakikat yang harus ditelan apabila berada dalam satu organisasi atau kelompok yang berlatar belakang pelbagai ragam individu.

Firman Allah s.w.t bermaksud:

" Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." ( Surah Al-Israa:53)

Oleh itu, sentiasalah kita menjaga lidah kita daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguriskan perasaan rakan-rakan. Jika bersama rakan yang sudah lali atau biasa dengan gurauan-gurauan sedemikian, ia tidaklah menjadi satu isu besar. Tetapi, sebaik-baiknya latih diri kita untuk mengelakkannya.

Ada satu cerita semasa saya belajar di tingkatan empat. Pelajar A ini memang suka berseloroh dengan rakan-rakan sekelas atau di asrama. Pada satu malam, ketika masing-masing sibuk mengulangkaji, dia bergurau dengan pelajar B. Pelajar B terasa hati dan tidak dapat menerima cara tersebut, lalu mengajak pelajar A ini untuk bertumbuk. Pelajar A hanya mampu mengelak sahaja setiap pukulan pelajar B. Dia tahu bahawa diri dia bersalah. Bagi pelajar A , ia satu pekara biasa tetapi sebaliknya bagi Pelajar B.

Oleh itu, sebelum kita memulakan apa-apa perbualan, selidiki terlebih dahulu dengan siapa kita bebual dan boleh atau tidak untuk diajak bergurau senda. Jika tidak, kita berbual perkara-perkara yang perlu sahaja atau lebih baik DIAM.



SIFAR SAMPAH

Posted: Tuesday, July 21, 2009 by WZWY in Labels:
0

Firman Allah s.w.t :

"Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguh- nya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih."
(Surah At-Taubah, ayat:108)


"Sifar sampah!Kamu tahu apa maksudnya," tanya Guru Besar lantang kepada semua murid semasa perhimpuan pagi isnin semalam. Ini adalah arahan pihak sekolah sejak daripada awal tahun, melarang kelas mempunyai tong sampah dengan tujuan mendidik murid-murid agar tidak mengotorkan kelas dengan cebisan-cebisan kertas dan sebagainya.

Tapi, itulah hakikatnya, masyarakat kita perlu dididik sejak bangku sekolah lagi tentang kebersihan. Berdasarkan ayat di atas, ia sudah jelas menggambarkan kepada kita bahawa Allah s.w.t meminta kita sentiasa menjaga kebersihan. Tapi hakikatnya, cuba kita perhatikan di sekeliling sama ada di rumah, di tempat kerja, di masjid, di dewan, di perhentian bas, di restoran dan di mana-mana sahaja. Apa yang kita boleh buat kesimpulan?

Begitu juga yang berlaku kepada murid-murid di sekolah saya bertugas, terdapat dikalangan mereka yang masih tidak ambil peduli tentang arahan yang diberikan. Ia mungkin sesuatu yang normal bagi seorang kanak-kanak. Tapi ia memberi kesan kepada pihak sekolah jika gagal mendisiplinkan mereka.

Paling ketara apabila segelintir ibu bapa yang tidak segan silu mengarahkan anak-anak mereka membuang sampah melalui tingkap kereta. Kesian, anak-anak sudah dididik dengan cara yang salah.

Begitu juga berlaku di kawasan masjid terutama di dalam tandas. Apa yang anda alami sebelum ini? Pengalaman saya, ada sesetengah tandas tanpa ada penyelenggaraan kebersihan. Ini menyebabkan persepsi kurang enak apabila berada di kawasan Rumah Allah. Tapi sepanjang saya berada di Selangor ini, kebanyakan masjid dan surau mempunyai tandas yang bersih dan dijaga rapi.Alhamdulillah!

Semoga kita sama-sama menjaga alam sekitar dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan berdisiplin. Ada kelapangan nanti,kita berbicara soal kebersihan HATI.