Hujung Minggu di Hutan Lipur

Posted: Saturday, July 25, 2009 by WZWY in
0

Hari ini satu pengalaman baru akan diitempuhi oleh anak-anak apabila mereka bakal berada di Hutan Lipur Sg. Congkak dalam tempoh yang lebih lama berbanding sebelumnya.

Kali ini mereka akan bermalam bersama peserta Perkhemahan Unit Beruniform sekolah. Tidak pasti lagi sama ada Ziyad (9 tahun), Zikry(8 tahun), Zali(6 tahun) dan Hijazi(4 tahun) boleh sesuaikan diri berada di sana hingga petang esok.

Apabila diberitahu tentang aktiviti hujung minggu ini ialah menyertai perkhemahan dan mandi-manda di Hutan Lipur Sg. Congkak, nampaknya semua teruja dan tidak sabar-sabar lagi terutama Hijazi yang sejak awal minggu asyik bertanya tentang 'mandi sungai'.

Ini adalah sebagai salah satu usaha mendidik mereka dengan aktiviti-aktiviti lasak atau 'outdoor'. Selain itu akan membiasakan mereka untuk berada dalam satu kumpulan atau kelompok ramai. Rasanya semua ibu bapa ingin membina diri anak-anak supaya menjadi insan yang lebih hebat, lebih kental dan lebih beriman. Paling penting kita berusaha melakukan sesuatu yang menjurus ke arah matlamat tersebut.

Saya percaya bagi yang berkeluarga sudah merancang apa dan di mana aktiviti bakal dilakukan. Tidaklah kita hanya menumpukan aktiviti sendiri sahaja. Penglibatan seluruh ahli keluarga akan lebih mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.Insya-Allah!

Usia Bertambah Lagi

Posted: Friday, July 24, 2009 by WZWY in Labels:
0

Usia semakin bertambah hari ini. Ku cuba muhasabah diri apakah yang sudah dilakukan selama ini cukup atau masih jauh berkurang untuk beramal kepada Maha Esa.

Firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka karena keimanannya[670], di bawah mereka mengalir sungai- sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan."
(Surah Yunus :9)



SELAMAT HARI LAHIR BUAT SEMUA PENGUNJUNG ATAU RAKAN YANG DILAHIRKAN KE MUKA BUMI INI PADA TANGGAL 24 JULAI.

Semoga kita semua di bawah payung kerahmatan Ilahi.

Marilah sama-sama kita melakukan senarai semak, apakah yang bakal kita lakukan. Adakah ia memberi manafaat atau sebaliknya. Masa tidak berundur walau sesaat apabila sampai waktunya. Kita yang wajib mengurus dan menggunakannya. Baik atau buruk terpulang kepada diri masing-masing.

Firman Allah s.w.t:

" dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat."



BERSELOROH?????

Posted: by WZWY in Labels:
0

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, berseloroh bermaksud bergurau senda, berkelakar dan berolok-olok.

Bagi saya, setiap hari yang dilalui terutama di tempat kerja, kita perlu satu suasana ceria dan seronok untuk bekerja. Sudahlah kita dibebani dengan tugasan harian yang tidak pernah ada penghujungnya.

Banyak contoh perkataan atau isu-isu dijadikan modal untuk berseloroh atau bergurau sesama rakan. Ada yang kasar, lembut dan sebagainya. Ini berdasarkan cara masing-masing dan kebiasaan yang dilalui sesuatu kelompok tersebut. Dalam ramai-ramai rakan sekerja, tidak semua mempunyai personaliti sama dan boleh diajak berseloroh. Kita perlu bijak menanggani situasi-situasi yang sepatut dan tidak perlu dilakukan. Dan tidak mustahil apabila gaya berseloroh atau bergurau kita itu tidak disenangi seseorang atau pun mereka memang mengambil serius setiap perkataan diucapkan. Kita menganggap ia satu gurauan, tetapi bagi dia, ia satu pernyataan dan kita akan dicop sebagai individu tidak bertanggungjawab dan sebagainya berdasarkan kata-kata kita tadi.

Jika difikirkan, takkan sampai macam itu. Tetapi itulah hakikat yang harus ditelan apabila berada dalam satu organisasi atau kelompok yang berlatar belakang pelbagai ragam individu.

Firman Allah s.w.t bermaksud:

" Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." ( Surah Al-Israa:53)

Oleh itu, sentiasalah kita menjaga lidah kita daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguriskan perasaan rakan-rakan. Jika bersama rakan yang sudah lali atau biasa dengan gurauan-gurauan sedemikian, ia tidaklah menjadi satu isu besar. Tetapi, sebaik-baiknya latih diri kita untuk mengelakkannya.

Ada satu cerita semasa saya belajar di tingkatan empat. Pelajar A ini memang suka berseloroh dengan rakan-rakan sekelas atau di asrama. Pada satu malam, ketika masing-masing sibuk mengulangkaji, dia bergurau dengan pelajar B. Pelajar B terasa hati dan tidak dapat menerima cara tersebut, lalu mengajak pelajar A ini untuk bertumbuk. Pelajar A hanya mampu mengelak sahaja setiap pukulan pelajar B. Dia tahu bahawa diri dia bersalah. Bagi pelajar A , ia satu pekara biasa tetapi sebaliknya bagi Pelajar B.

Oleh itu, sebelum kita memulakan apa-apa perbualan, selidiki terlebih dahulu dengan siapa kita bebual dan boleh atau tidak untuk diajak bergurau senda. Jika tidak, kita berbual perkara-perkara yang perlu sahaja atau lebih baik DIAM.



SIFAR SAMPAH

Posted: Tuesday, July 21, 2009 by WZWY in Labels:
0

Firman Allah s.w.t :

"Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguh- nya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih."
(Surah At-Taubah, ayat:108)


"Sifar sampah!Kamu tahu apa maksudnya," tanya Guru Besar lantang kepada semua murid semasa perhimpuan pagi isnin semalam. Ini adalah arahan pihak sekolah sejak daripada awal tahun, melarang kelas mempunyai tong sampah dengan tujuan mendidik murid-murid agar tidak mengotorkan kelas dengan cebisan-cebisan kertas dan sebagainya.

Tapi, itulah hakikatnya, masyarakat kita perlu dididik sejak bangku sekolah lagi tentang kebersihan. Berdasarkan ayat di atas, ia sudah jelas menggambarkan kepada kita bahawa Allah s.w.t meminta kita sentiasa menjaga kebersihan. Tapi hakikatnya, cuba kita perhatikan di sekeliling sama ada di rumah, di tempat kerja, di masjid, di dewan, di perhentian bas, di restoran dan di mana-mana sahaja. Apa yang kita boleh buat kesimpulan?

Begitu juga yang berlaku kepada murid-murid di sekolah saya bertugas, terdapat dikalangan mereka yang masih tidak ambil peduli tentang arahan yang diberikan. Ia mungkin sesuatu yang normal bagi seorang kanak-kanak. Tapi ia memberi kesan kepada pihak sekolah jika gagal mendisiplinkan mereka.

Paling ketara apabila segelintir ibu bapa yang tidak segan silu mengarahkan anak-anak mereka membuang sampah melalui tingkap kereta. Kesian, anak-anak sudah dididik dengan cara yang salah.

Begitu juga berlaku di kawasan masjid terutama di dalam tandas. Apa yang anda alami sebelum ini? Pengalaman saya, ada sesetengah tandas tanpa ada penyelenggaraan kebersihan. Ini menyebabkan persepsi kurang enak apabila berada di kawasan Rumah Allah. Tapi sepanjang saya berada di Selangor ini, kebanyakan masjid dan surau mempunyai tandas yang bersih dan dijaga rapi.Alhamdulillah!

Semoga kita sama-sama menjaga alam sekitar dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan berdisiplin. Ada kelapangan nanti,kita berbicara soal kebersihan HATI.






Belajar Berenang Dengan Buku?

Posted: Friday, July 17, 2009 by WZWY in Labels:
1


Bolehkah kita pandai berenang hanya dengan membaca?

"Ermmm...mana boleh? Kita kena ke kolam renang dan berenang," kata anak sulung saya. Hampir setiap hujung minggu dia dan adik-adiknya akan ke kolam renang atau pun ke pusat rekreasi untuk berenang dan 'main air'.

Anda pernah mendengar ungkapan " Buku dapat mengajar seseorang tentang hikmah dan kebijaksanaan, tetapi tidak dapat menjelmakan orang yang bijak."

Begitu juga tentang berenang, walaupun sudah khatam buku belajar renang yang menunjukkan pelbagai teori tentang teknik-teknik berenang tetapi tidak boleh menyelamatkan orang yang tidak pandai berenang. Mahu atau tidak kita perlu terjun ke kolam renang dan berenang.Baru kita tahu apa itu berenang. Walaupun saya masih tidak tahu berenang..heheheh..setakat berenang katak bolehlah.

Samalah juga jika ingin menjadi penulis, ia bukan sekadar membaca buku-buku yang berkaitan tentang teknik menulis. Saya perlu menulis dan terus menulis. Membaca adalah satu agenda wajib, begitu juga menyertai bengkel atau seminar, ia sebagai satu proses menimba ilmu dan mempersiapkan diri untuk terjun ke bidang penulisan.

Malah apa jua bidang sekalipun kita tidak boleh sekadar bermain dengan teori semata-mata. Ia perlu dibuktikan dengan tindakan dan kita mengalami sendiri pengalaman tersebut. Barulah tahu sejauh mana kemampuan kita sebenarnya.

"Setiap manusia memiliki potensi diri yang berbagai-bagai dan beraneka ragam. Oleh itu, orang yang pintar akan mendalami bidang yang dirasakan paling menyerlahkan potensi dirinya."

Saya masih belajar berenang dalam arus deras 'sungai penulisan'.....

AKU MAHU MENULIS...

Posted: Saturday, July 11, 2009 by WZWY in Labels:
0

"Macam mana dia orang boleh tulis tebal-tebal novel itu" soal aku kehairanan.

"Dalam sejarah hidup aku tidak pernah menulis walaupun sebuah cerpen,"

"Baca novel? Isk, masa zaman sekolah dulu ada juga baca,"

"Inikan pula mahu menulis sebuah novel setebal 150 hingga 200 muka surat atau lebih," aku yang masih tidak yakin.

Itulah persoalan yang bermain di benak kepala apabila berjumpa Pak Ya (Editor Kanan GISB) sekitar bulan April lalu.

Tawaran Pak Ya untuk menyertai Kursus Penerapan Nilai Islam Dalam Novel yang bertempat di Astana Karya, Kota Damansara pada penghujung bulan Mei merupakan titik mula mengorak langkah menjadi seorang penulis novel. Sejak itu, bermulalah kisah seorang 'trader' membeli dan membaca novel-novel. Walaupun nampak sukar, Alhamdulillah proses tersebut berjalan lancar. Bulan Jun boleh dijadikan Hari Ini Dalam Sejarah apabila membeli dan membaca lebih daripada 10 novel dan buku berkaitan.

Itulah jika mahu atau ingin sesuatu. Kesungguhan akan datang dan berusaha untuk menggapainya.

"Tumpuan hanya akan terhasil apabila seseorang hanya mempunyai SATU matlamat".

Oleh kerana saya suka dan minat maka itulah yang saya lakukan.

"Perkara-perkara yang anda ingin miliki haruslah sesuatu yang anda suka"

Tapi ia bukanlah sesuatu pekerjaan yang mudah. Banyak perkara yang perlu saya belajar dan lakukan. Kalau difikirkan, buat apa susah-susah. Pergi kerja, balik kerja sajalah. Tapi impian ingin menulis begitu kuat.

Sekarang pun masih terus belajar dan belajar. Selepas menyertai Kursus Penulisan Novel bersama Kusyi Hirdan. Insya Allah pada awal bulan depan sudah mendaftarkan diri untuk menyertai Kursus Penulisan Karya Kreatif oleh Puan Zaharah Nawawi di DBP.

Belajar Sambil Berkarya......

Alhamdulillah, pada 9 Julai 2009 yang lalu, sebuah manuskrip novel awal remaja sulung saya sudah diserahkan kepada pihak GISB. Saya tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa, tetapi itu adalah 'pemecah tembok' minda saya untuk bergelar penulis. Insya Allah jika semuanya berjalan lancar dan itulah doa seharian. Novel 'SERVIS' (tajuk awal) akan berada dipasaran nanti.

*Terima kasih Pak Ya & Puan Kusyi dan pencetus idea untuk saya menulis 'sukriazhari'.

Kisah Aku dan Marlboro

Posted: Thursday, July 9, 2009 by WZWY in Labels:
0

"Abang janji, lepas kahwin nanti baru berhenti," janji seorang teruna yang bakal memasuki gerbang perkahwinan.

"Betulkah atau janji palsu?" soal dara minta kepastian.

"Sum....kalau sumpah abang tidak berani tapi kalau sayang suruh abang telan apa saja nanti, abang ikut," kata teruna.

*******

"Abang, rasanya kita sudah lima tahun kahwin,"

"Anak pun sudah tiga," sambung Si Isteri lembut.

Si Suami tanpa memberi reaksi terus membaca akhbar semalam.

"Mana janji abang sebelum ini?" soal Si isteri menuntut janji.

"Bukan abang tidak mahu berhenti. Sekarang masih dalam proses berhenti," jawab Si Suami tenang.

*************
"Zali masih dalam ICU," beritahu Si Isteri dengan perasaan hiba. Sejak semalam Zali masih lagi ditahan di wad ICU kerana kompikasi paru-paru.

Si Suami turun ke warung sebelah hospital. Jiwanya tidak tenang sejak semalam. Rokok Marlboro tidak pernah berpisah dari mulutnya.

************

Zali semakin sihat. Si Suami dan Si Isteri bersyukur ke hadarat Ilahi. Tapi ia tidak lama. Selepas itu Zali terpaksa dikejarkan ke hospital semula kerana penyakit asma yang agak teruk. Dia ditahan diwad Pusat Perubatan Universiti Malaya. Sebelum ini telah dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Terengganu dan Hospital Besar Kota Bharu kerana kes yang sama.

Si Isteri terus berada di sisi anaknya. Si Suami terpaksa berulang alik dari rumah dan hospital kerana menjaga dua lagi anak mereka yang masih belum bersekolah.

Dalam perjalanan di lebuh raya.

"Kenapa aku masih lagi belum berhenti..," bisik hati Si Suami.

"Dada aku pun kadang kala terasa senak," bisik Si Suami sendirian sambil menghembus asap berkepul-kepul.

"Mungkin kerana tabiat aku ini menyebabkan anak-anak aku mengidap asma juga," fikir Si Suami lagi.

Ketiga-tiga anak lelakinya memang disahkan mengidap asma. Cuma Zali yang agak teruk. Zikry juga pernah dimasukkan ke hospital sebelum ini. Kata doktor, ia mungkin disebabkan keturunan sebelah dirinya.

"Aku tidak kira. Demi kesihatan anak-anak. Aku mesti berhenti juga," ujar Si Suami penuh yakin.

"Selamat tinggal, wahai sang rokok durjana. kau telah banyak menyusahkan aku," kata Si Suami dan membuang sekotak rokok yang baru dibelinya tadi.

*************

Kini sudah hampir lima tahun Si Suami berhenti merokok. Pada masa itu bukan kerana fatwa atau harga naik tetapi kerana kesedaran dalam dirinya tentang bahaya rokok. Dia bersyukur Allah membuka pintu hatinya untuk berhenti. Akhirnya dia sedar, dia berhenti kerana Allah SWT.

Alhamdulillah, kini suasana di rumah sudah tiada lagi kepulan asap walaupun dulu dia menghisap rokok di beranda. Sekurang-kurangnya dia menjadi contoh teladan buat anak-anak lelakinya. Kesihatan semakin baik. Zali pun sudah sihat sepenuhnya. Hanya Zikry yang masih memerlukan bantuan 'inhaler' pada masa-masa tertentu.

Tentu Si Isteri menarik nafas lega semasa dia membuat keputusan untuk berhenti merokok dulu. Mungkin berkat doa Si Isteri yang tidak putus-putus mendoakannya.Terima kasih teristimewa buat isteri tercinta.Kehadiranmu suatu anugerah tidak ternilai buatku.

Itulah secebis kisah benar Zayu Hisham dan Rokok Marlboro.

* Keputusan fatwa Warta Kerajaan yang keluarkan oleh Jabatan Mufti Selangor pada tahun 1995 yang mengatakan bahawa rokok itu HARAM.

Lampu Isyarat dan Kita

Posted: Wednesday, July 8, 2009 by WZWY in Labels:
1

Setiap hari kita akan berdepan dengan lampu isyarat. Pelbagai ragam manusia yang kita dapat lihat. Biasanya diwaktu pagi polis trafik akan mengambil alih tugas lampu isyarat. Kelihatan masing-masing dengan sopan memandu kenderaan. Itulah cerita orang kita.

Ketika saya berhenti di lampu isyarat di sebatang jalan yang sentiasa sibuk di Kelana Jaya Business Centre terdetik dalam diri. Alangkah bagusnya jika manusia hidup berperaturan sebagai mana berdepan dengan lampu isyarat. Jika merah, berhenti. Jika hijau, jalan dan jika kuning, berjaga-jaga.

Oleh itu, bila Allah SWT melarang kita melakukan sesuatu perbuatan keji, maka kita sedang berdepan lampu merah. Oleh itu, berhenti dan jangan lakukan perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh-Nya. Begitu juga apabila lampu hijau, kita jalan. Bermakna segala perintah Allah SWT kita lakukan dengan ikhlas dan istiqamah. Maka pahala berganda-ganda menanti kita. Hidup aman di dunia dan akhirat. Bila lampu kuning, kita berjaga-jaga untuk berhenti, bukannya memecut. Itulah yang sering berlaku. Dilampu kuning, kita berjaga-jaga dengan segala perbuatan yang menghampiri dengan perbuatan yang bertentangan syarak.

Kalau kita pecut juga dilampu kuning, bermakna kita berpeluang cerah untuk melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk.

Patutlah, jika sesiapa melanggar lampu merah akan berdepan risiko kemalangan. Begitulah yang berlaku kepada saya semasa menghantar anak ke wad kecemasan PPUM Petaling Jaya lima tahun lepas. Apabila sebuah kereta melanggar kereta saya kerana melanggar lampu merahnya. Ia bukan hanya memberi impak kepada diri pelaku tetapi orang di sekitar menerima padah juga.Nasib baik saya, isteri dan anak-anak selamat.Alhamdulillah!

Jika kita tetap berdegil melanggar perintah Allah SWT, itulah yang berlaku. Seseorang itu akan berada dalam kesesatan dan hidup tanpa panduan.

Alangkah bagusnya, semua pemandu kita mengambil iktibar daripada kewujudan lampu isyarat yang kita tempuh setiap hari. Pasti negara kita akan aman damai. Lebih-lebih lagi menjelang bulan ramadhan nanti. Jangan sesiapa melanggar lampu merah, nanti tertangkap dengan penguatkuasa...hahahaa!

Wassalam...Selamat Renung-Renungkan Lampu Isyarat Di Depan Anda Nanti.

RELAX DULU!

Posted: Monday, July 6, 2009 by WZWY in Labels:
3

Hampir dua minggu memerah otak, akhirnya draf pertama manuskrip novel awal remaja dapat disiapkan.

Walaupun tajuk novel ini belum lagi diputuskan, beberapa nama tajuk sesuai sedang difikirkan. Tapi ia terpulang kepada pihak editor.

Ini adalah hasil karya pertama,oleh itu saya tidak menjangkakan sesuatu luar biasa. Ia dikira pencetus atau pemecah tembok yang sentiasa membelenggu saya sebelum ini yang tidak yakin untuk menghasilkan sebuah cerpen sekalipun.

Tindakan selanjutnya ialah proses menyemak dan mengedit secara makro. Insya Allah sekiranya berjalan lancar diteruskan langkah menggilap, mengedit secara mikro dan berkongsi dengan teman-teman untuk maklum balas sebelum dihantar kepada pihak editor.(Tarikh akhir hantar:31 Julai 2009). Tapi saya akan pastikan ia dapat dihantar pertengahan bulan ini.Insya Allah!

Pengalaman menulis agak berbeza dengan apa yang saya lakukan sebelum ini. Ia juga memerlukan komitmen sebagaimana tugasan yang lain tapi dalam skop yang berbeza.

Saya yakin masih ramai penulis-penulis baru seperti saya masih mencari arah dan rentak dalam dunia penulisan ini. Saya pernah ditanya, sejak bila pula minat menulis?

Saya hanya jawab, menulis sudah lama cuma fokus untuk menulis baru sahaja bermula. Oleh kerana saya menetapkan ingin menghasilkan karya-karya kreatif, maka sebanyak mana ilmu wajib saya kutip bagi memantapkan lagi hasil penulisan pada masa akan datang.

LANGKAH SETERUSNYA......

Posted: Thursday, July 2, 2009 by WZWY in Labels:
1

Alhamdulillah, bayaran telah dibuat pada hari ini untuk menyertai Bengkel Penulisan Karya Kreatif yang dianjurkan oleh Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) dan bakal diadakan di Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur.

Semasa berbual menerusi telefon dengan Puan Zaharah tempoh hari, pelbagai nasihat telah diberikan sebagai panduan.

Kursus dua hari yang bakal berlangsung pada awal bulan Ogos nanti sememangnya ditunggu-tunggu oleh saya yang baru mengorak langkah dalam dunia penulisan karya kreatif.

Projek pertama bagi menghasilkan novel awal remaja masih berbaki tiga bab yang belum disiapkan. Banyak lagi perkara yang perlu dipelajari. Alhamdulillah dengan sokongan dan panduan yang diberikan oleh En Zakaria (Editor Kanan Galeri Ilmu) banyak membantu dalam menghasilkan karya kreatif ini. Begitu juga ilmu yang saya perolehi semasa mengikuti Kursus Penulisan Novel oleh Kusyi Hirdan tempoh hari. Beliau yang berpengalaman luas dapat memberi tunjuk ajar dengan jelas kepada saya untuk menghasilkan sebuah novel.

Selagi diberi peluang oleh Allah SWT, saya akan terus berusaha untuk mengutip sebanyak mana mungkin ilmu dalam dunia penulisan ini.

KALAU NAK BUAT, BUAT BIAR BETUL-BETUL
KALAU SEKADAR MAHU SINGGAH
BAIK BUAT KERJA LAIN YANG KITA MINAT BETUL-BETUL