KITA DIBERI PILIHAN

Posted: Sunday, January 8, 2012 by WZWY in Labels:
0

APABILA MANUSIA MENERIMA CATATAN AMAL IAITU SUATU CATATAN LENGKAP KEHIDUPAN KITA SEBAGAI MANUSIA, KITA AKAN KE PERHENTIAN TERAKHIR. PERHENTIAN ABADI DAN TIADA LAGI PENGEMBARAAN KEHIDUPAN SELEPAS ITU. KITA AKAN TIBA DI ALAM TERAKHIR IAITU ALAM SYURGA ATAU NERAKA.

Nasihat Syeikh Abdul Qadir Jailani agar kita menjadikan akhirat itu sebagai MODAL UTAMA harta kita dan dunia itu pula sebagai KEUNTUNGANNYA. Jadi, gunakanlah waktu utama mencari akhirat. Dan pada waktu lebihan itu digunakan pula untuk mencari dunia dan penghidupan kita. Namun begitu, kebanyakan manusia menjadikan dunia itu sebagai MODAL UTAMA berbanding akhirat.

Contoh mudah, bila kita bersolat. Kita bersolat bukan hanya kerana kita tahu sudah masuk waktu dan bersolat tanpa memerhatikan rukuk, sujud, tamakninah dan sebagainya. Kerjakan solat itu bersungguh-sungguh sebagai mana kita tekun berusaha mencari rezeki di dunia ini. Kita harus sedar ibadah solat itu kayu ukur hala tuju kita di destinasi akhir hidup kita sebagai hamba Allah. Berat atau ringan timbangan amalan bergantung kepada cara hidup kita di dunia ini.

Sesuatu yang manusia lupa ialah apabila seseorang itu menempuh jalan akhirat dan menjadikan akhirat itu modal utama kehidupan, maka sudah pasti mereka akan meraih keuntungan dunia dan akhirat bersama-sama. Contoh kita bekerja dengan penuh tekun, hindari segala perlakuan dosa seperti curi tulang, rasuah, riba dan sebagainya kerana takutkan peringatan Allah. Maka kita akan mendapat dua keuntungan iaitu dunia dan akhirat.

Kita diberikan AKAL untuk berfikir. Maka fikir-fikirkanlah ke mana hala kehidupan kita di alam akhirat nanti. Mati adalah sesuatu yang pasti. Balasan syurga dan neraka juga sesuatu yang pasti. Pilihlah cara hidup yang membawa kita ke arah mana yang kita mahu. Jangan hati kata mahu ke syurga tetapi perlakuan kita pula dipenuhi noda dan dosa. Allahu akbar. Moga saya dan tuan-tun dilindungi daripada hasutan syaitan dan api neraka.Insya-Allah.

Perhati dan renungkanlah firman Allah bermaksud ,"Di antara kamu ada orang yang mengkehendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang mengkehendaki akhirat." (Ali-Imran:152).

Bersabarlah kita dalam mengerjakan kebaikan. Semoga saya dan tuan-tuan sentiasa dirahmati oleh-Nya.
( Catatan ini respon daripada kuliah maghrib di Surau Al-Mukhlisin bertajuk : PERSEDIAAN MATI oleh Al-Fadhil Ustaz Amir dari Cahaya SPK Shah Alam ).

0 Komentar: