TULIS APA YANG DEKAT DENGAN KITA

Posted: Saturday, November 24, 2012 by WZWY in Labels: , ,
2

Salah satu kata-kata yang disebut oleh John C. Maxwell mengesankan hati saya iaitu, " Hidup ini bukan bagaimana kita memulakannya, tetapi bagaimana kita mengakhirinya."

Apa kaitan kata-kata itu dengan saya?

Tugas seorang penulis bukan sekadar menitipkan idea dan kertas cadangan semata-mata, tetapi perlu menyiapkan sesebuah manuskrip itu sebelum atau pada tarikh akhir yang ditetapkan. Oleh itu, setiap kali kepercayaan diberikan oleh syarikat penerbitan, saya tidak boleh anggap ia sebagai tugas sampingan saya. Ini merupakan janji atau tanggungjawab yang perlu saya lunaskan. Mungkin ia tidak sebagaimana tugasan rasmi saya yang akan dipantau oleh pihak atasan. Namun begitu, saya perlu akhiri tugasan penulisan itu sehingga menjadi sebuah manuskrip. Ia bagaikan seorang pelari marathon 40km, bermula dengan penuh semangat dan kemudian berusaha keras untuk tiba di garisan penamat walaupun keadaan fizikal dan mental yang tidak berdaya.

Bagaimana ia dilakukan?

"Menulis apa yang dekat dengan kita."

Inilah kata-kata nasihat diberikan oleh mentor penulisan saya. Dan sehingga kini, sudah lima buah buku berjaya ditulis hasil nasihat tersebut. Insya-Allah, sebuah lagi manuskrip saya telah dihantar ke meja editor hasil daripada kata-kata itu juga. Saya menulis apa yang ada di sekeliling kehidupan seharian saya. Mungkin genre yang berlainan, tetapi sumbernya adalah sama. Dunia persekitaran saya sahaja. Oleh itu, tiada alasan untuk kita merasakan, "Saya tiada idea." Selebihnya kita bermohonlah pada Allah SWT agar dipermudahkan idea itu mengalir deras dalam minda kita.

Apa-apa pun perlukan ILMU.

Semua akan percaya apabila saya katakan, jika kita mahu membina sebuah rumah, pastinya kita akan mencari tukang buat rumah yang terbaik. Kenapa? Kita yakin dia pandai dan berpengalaman membina rumah berdasarkan saranan rakan-rakan atau orang sekeliling terhadap hasil kerjanya. Betulkan?

Apa bezanya dia dengan kita?

ILMU. Dia ada ilmu bertukang. 

Maka begitulah dengan dunia penulisan bukan setakat IDEA semata-mata, tetapi ILMU PENULISAN itu perlu dipelajari. Sesukar mana pun jika ada KEMAHUAN pasti ada JALAN untuk kita menulis walau sebaris ayat.

Saya pernah ditanya bagaimana mahu menulis sebuah novel setebal 500-600 muka surat? Apa yang boleh saya bantu ialah belajar ilmu penulisan novel. Kenali apa itu novel. Dan paling penting BACA novel. Berapa banyak perlu banyak? Sebanyak mana yang mungkin. Dan satu perkara bukan setakat baca, tetapi kita perlu menghadam novel itu dengan sebaik mungkin. Pelajari teknik penulisan, susunan plot, perwatakan dan sebagainya.

Saya hanyalah penulis yang baharu belajar tentang dunia penulisan. Masih memperbaiki diri menjadi penulis yang berkaliber. Doakan.

Nantikan kemunculan "Cikgu, Anak saya OK?"

Al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.

2 Komentar: