0
SELAMAT TAHUN BARU 2012 buat semua pengunjung yang masih sudi menatap setiap entri di blog yang tidak seberapa ini. Segala entri adalah cebisan luahan, pengalaman dan perkongsian ilmu semata-mata.
CERITA FASAL AZAM?
Ini sudah jadi lumrah kita. Masuk tahun baru, sibuk bercerita azam tahun baru. Ada juga yang bertanyakan tentang azam tahun lepas. Sudah tertunai atau tertangguh lagi.
Tidak kisahlah tentang apa azam tuan-tuan atau sesiapa pun. Paling penting tanya diri sendiri, apa azam di tahun baru ini. Apakah wawasan yang mahu dicapai? Apa projek terbaru? Ini berdasarkan kemampuan masing-masing. Untuk mencapai apa-apa kejayaan pastinya perlukan perancangan. Maka rancanglah kejayaan hari mendatang pada hari ini sekarang. Itu sahaja formula mudah orang yang cipta kejayaan.
Tahun lepas, banyak pengalaman pahit manis berlaku di sepanjang tahun hinggalah ke hari terakhir 2011.Suka duka adalah teman kehidupan kita pastinya. Janganlah kita membenci kerana perasaan itu memungkinkan jiwa kita sakit. Memaafkan adalah lebih mulia dan diredhai-Nya.
Awal Januari 2011 dimulakan dengan bertukar lokasi kerja dari SK Taman Medan ke SK PPR Lembah Subang kerana kenaikan pangkat. Tanggungjawab baru sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mula dipikul di sekolah baru. Suasana baru, rakan kerja baru, lokasi baru, cara kerja baru, tugasan baru dan pastinya semangat pun mahu baru. Alhamdulillah dengan bantuan rakan-rakan, dapat melaksanakan tugas dengan sedaya mungkin.
Bidang penulisan.
Bidang penulisan diteruskan lagi dengan kelahiran Novel Impian Juara 2 dan Ops Conteng. Memang sejak mula-mula bergiat pada tahun 2010, saya hanya mampu hasilkan DUA buah novel setahun sahaja. Pada tahun baru dengan azam baru, saya selesai menulis manuskrip buku Tarbiyah Rohani. Dan pada bulan Januari ini, saya merancang mahu menulis sebuah novel awal remaja seterusnya.
Tahun 2012 diharapkan juga diberikan ketenangan dan kebahagiaan hidup. Semoga Allah SWT restui dan perkenankan. Mujahadah menjadi hamba-Nya yang diredhai. Berusaha menjadi seorang ayah dan suami yang diredhai. Segala pengalaman lepas dijadikan teladan. Walaupun sukar, ia perlu diharungi juga. Berat atau ringan hasil daripada kesilapan lampau akan cuba ditebus satu persatu. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Usia makin meningkat. Ia sepatutnya mematangkan kita. Sedaya upaya mendekatkan diri pada-Nya. Jadilah hamba-Nya yang sentiasa ingat tentang tanggungjawab. Melatih diri agar memiliki RASA KEHAMBAAN DAN RASA BERTUHAN.
Moga Allah redha dan mengampunkan segala dosa-dosa lalu. Setiap hamba yang berdosa akan sentiasa diberi ruang untuk bertaubat. Apa lagi kita sekadar hamba-Nya. Hebatkah kita untuk menandingi kekuasaan-Nya.
Wallahualam.