Lampu Isyarat dan Kita

Posted: Wednesday, July 8, 2009 by WZWY in Labels:
0

Setiap hari kita akan berdepan dengan lampu isyarat. Pelbagai ragam manusia yang kita dapat lihat. Biasanya diwaktu pagi polis trafik akan mengambil alih tugas lampu isyarat. Kelihatan masing-masing dengan sopan memandu kenderaan. Itulah cerita orang kita.

Ketika saya berhenti di lampu isyarat di sebatang jalan yang sentiasa sibuk di Kelana Jaya Business Centre terdetik dalam diri. Alangkah bagusnya jika manusia hidup berperaturan sebagai mana berdepan dengan lampu isyarat. Jika merah, berhenti. Jika hijau, jalan dan jika kuning, berjaga-jaga.

Oleh itu, bila Allah SWT melarang kita melakukan sesuatu perbuatan keji, maka kita sedang berdepan lampu merah. Oleh itu, berhenti dan jangan lakukan perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh-Nya. Begitu juga apabila lampu hijau, kita jalan. Bermakna segala perintah Allah SWT kita lakukan dengan ikhlas dan istiqamah. Maka pahala berganda-ganda menanti kita. Hidup aman di dunia dan akhirat. Bila lampu kuning, kita berjaga-jaga untuk berhenti, bukannya memecut. Itulah yang sering berlaku. Dilampu kuning, kita berjaga-jaga dengan segala perbuatan yang menghampiri dengan perbuatan yang bertentangan syarak.

Kalau kita pecut juga dilampu kuning, bermakna kita berpeluang cerah untuk melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk.

Patutlah, jika sesiapa melanggar lampu merah akan berdepan risiko kemalangan. Begitulah yang berlaku kepada saya semasa menghantar anak ke wad kecemasan PPUM Petaling Jaya lima tahun lepas. Apabila sebuah kereta melanggar kereta saya kerana melanggar lampu merahnya. Ia bukan hanya memberi impak kepada diri pelaku tetapi orang di sekitar menerima padah juga.Nasib baik saya, isteri dan anak-anak selamat.Alhamdulillah!

Jika kita tetap berdegil melanggar perintah Allah SWT, itulah yang berlaku. Seseorang itu akan berada dalam kesesatan dan hidup tanpa panduan.

Alangkah bagusnya, semua pemandu kita mengambil iktibar daripada kewujudan lampu isyarat yang kita tempuh setiap hari. Pasti negara kita akan aman damai. Lebih-lebih lagi menjelang bulan ramadhan nanti. Jangan sesiapa melanggar lampu merah, nanti tertangkap dengan penguatkuasa...hahahaa!

Wassalam...Selamat Renung-Renungkan Lampu Isyarat Di Depan Anda Nanti.

0 Komentar: