Aku Perlu Bersyukur.

Posted: Wednesday, March 14, 2012 by WZWY in Labels:
0

"BERSYUKUR...ALHAMDULILLAH" kerana aku dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang menjadi agama sebagai tunjang dan disulami kasih sayang kedua ibu bapa yang penyayang.

Bulan Mac ini meninggalkan memori pahit apabila ayah kesayangan menghembuskan nafasnya yang terakhir di katil Hospital Universiti Kubang Kerian. Lapan tahun yang lalu. Lebih kurang tiga bulan selepas aku 'posting' ke Petaling Jaya dari Lahad Datu, Sabah.

Terkilan kerana diwaktu itu aku dalam perjalanan dari Shah Alam ke Setiu, Terengganu. Lebih kurang pukul 1.00 pagi, setiba aku di Kuantan. Adik memaklumkan bahawa ayahanda tercinta Wan Yusoff Wan Berahim telah kembali ke rahmatullah. Kebetulan pada masa itu isteri dan anak-anak sudah terlena dalam perjalanan yang panjang. Aku hanya mampu menangis sendiri. Ku biarkan air mata mengalir deras. Pengorbanannya cukup banyak terhadap aku. Dan aku sedar, aku bukan anak yang baik. 

Masih ingat kalau waktu kecil dahulu. Apabila aku demam atau jatuh sakit. Ayah akan lekas-lekas membawa aku ke klinik swasta di Bandar Jerteh. Ibu sudah siap dengan besen berisikan air limau nipis untuk menjirus kepalaku. Agar demam aku lekas kebah. Aku akan bersemangat apabila tiba di klinik, kerana..... aku berpeluang membeli senaskhah komik. di kedai buku bersebelahan Klinik Dr. Awang Hitam. Aku memang suka membaca komik sejak kecil lagi. Itulah sahaja permintaan aku dan waktu itu ayah tidak pernah menolak. Mungkin satu dua benda dia akan menolak kerana  ketidakmampuannya untuk membeli. Pendapatan sebagai pemandu teksi masa itu bukan lah besar. Tapi waktu itu aku hanya mahu apa aku inginkan....

Hinggalah kini ku sedar erti sebuah pengorbanan seorang ayah...apabila aku tak dapat tunaikan apa yang anak-anak inginkan. Betapa sukar untuk mendidik anak-anak agar menjadi insan yang diredai-Nya. Sedar tentang kelemahan diri. Buang jauh-jauh kesilapan lalu. Mulakan langkah baru dalam kehidupan kini. Moga ada sinarnya. Jika takdir lain yang datang....hadapi dengan tenang. Aku tak berkuasa mengubahnya.

Kesilapan lalu membuatkan aku sering menung sendiri. Kadang kala air mata ini tidak dapat ditahan lagi. Memikirkan pelbagai permasalahan menimpa. Ku lihat  dengan kaca mata positif, untuk menyedarkan aku erti tanggungjawab. Allah sentiasa menduga kita untuk tingkatkan darjat kita sebagai hamba-Nya.

Aku mungkin bisa menitip setiap huruf di atas kertas putih. Namun ku sedar, aku bukan insan terbaik untuk berbicara tentang kehidupan. Lidah menjadi kelu...otak menjadi beku...Tapi percayalah...aku sedang melawan egoku...aku sedang bermujahadah untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Banyak dugaan dalam proses kehidupan kali ini. Kesempitan adalah nikmat dan tarbiah daripada-Nya. Ia menjadikan aku lebih kuat.

Pernah aku menyesali apabila kelemahan aku ditayangkan di segenap pelusuk. Namun nasihat guru, biarkanlah ia....anggap setiap apa berlaku itu tarbiah daripada Allah untuk kita. Hakikatnya setiap daripada kita akan diuji oleh-Nya. Sesungguh Dialah yang Maha Mengetahui.

Semoga aku dan teman-teman semua beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ya Allah! Ampuni dosa-dosaku yang banyak ini.

Al-Fatihah buat Allahyarham ayahanda Wan Yusoff Wan Berahim dan ayanda mertuaku Wan Abdullah Wan Ishak.

0 Komentar: