Kenapa Masih Lupa?

Posted: Sunday, March 11, 2012 by WZWY in Labels:
0

INI HANYALAH SEBAGAI PERINGATAN BUAT SAYA SENDIRI DAN RAKAN-RAKAN PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN.

Walaupun sudah banyak blog memaparkan perkara atau isu yang sama berkaitan laman sosial terunggul masa kini iaitu Facebook, saya rasa terpanggil juga untuk meletakkan peringatan tersebut di sini.

Semakin hari cabaran umat Islam semakin mencabar. Bukan sahaja melibatkan golongan remaja tetapi keseluruhannya terpalit sama dengan pelbagai perkara yang tidak dijangkakan. Begitu juga dengan penggunaan Facebook yang semakin popular.

Mahu salahkan laman sosial ini sepenuhnya pun tidka adil kerana masih ramai menggunakan laman sosial ini untuk perkara-perkara kebaikan. Contohnya, status yang memberi peringatan supaya mendekati Allah SWT, Rasulullah SAW dan seumpamanya. Namun begitu, perkara-perkara mungkar semakin banyak berleluasa juga di dalam laman sosial ini. Ia dijadikan 'medan dosa' oleh kebanyakan individu secara tidak sedar dan sedar.

Pertama, semakin rancak umat Islam yang sudah tidak segan silu untuk bercerita tentang keaiban orang lain atau secara mudahnya budaya mengumpat. Walaupun ada sesetengahnya sentiasa kemas kini status mereka dengan kata nasihat atau dakwah, di samping itu juga status atau perbualan mereka 'tergelincir' juga untuk sama-sama berkongsi budaya ini setiap kali login ke laman sosial ini.

Kedua, sebagai mana yang dinasihatkan oleh Ustaz Zaharudin di dalam blognya, masih ramai para suami atau isteri meluahkan keaiban pasangan masing-masing di dalam status mereka. Ada juga yang tanpa segan menceritakan keaiban pasangan kepada rakan 'chatting' yang bukan mahram mereka. Berkongsi masalah tidak semestinya membuka keaiban pasangan dan seterusnya terjebak dalam dosa yang dilaknat Allah SWT. Ini bukan sahaja melibatkan golongan yang tiada pengetahuan agama tetapi golongan yang dikatakan ahli agama juga terlibat. Jadi, perkara ini adalah sesuatu yang serius dan tidak wajar diulangi.

Ketiga, sudah banyak kali rasanya peringatan diberikan kepada golongan muslimah agar tidak mendedahkan aurat mereka di laman sosial ini. Tidak perlulah untuk mempamirkan kecantikan masing-masing di sini kerana ia bakal mengundang dosa dan juga gambar seseorang itu boleh dimanipulasikan oleh orang tidak bertanggungjawab.

Saya hanya berminat menyentuh tiga perkara di atas sahaja sebagai peringatan buat saya sendiri dan juga rakan-rakan pembaca. Semoga usaha kecil ini dapat dimanfaatkan oleh semua. Soal masa yang diperuntukan terlalu di depan laman sosial ini juga harus diberi perhatian kerana masih banyak lagi perkara penting yang mampu dilakukan oleh kita. Wallahualam.


0 Komentar: