Sukarnya...berterima kasih.
Posted: Tuesday, February 12, 2013 by WZWY in Labels: Motivasi Diri, Tarbiah
0
Kata-kata hukama, "Sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa."
Maka, saya semakin mengerti bahawa apa jua yang kita laksanakan itu jangan bergantung harap ia akan diberi penghargaan sebagaimana yang kita mahukan.
Lakukan sahaja tanggungjawab kita dengan sebaik-baiknya. Selebihnya terpulanglah kepada pengadilan Allah SWT semata-mata.
Mungkin kita merasakan bahawa kita telah laksanakan tugasan kita dengan cemerlang. Kita juga mampu tersenyum apabila menerima pelbagai pujian rakan sekerja di atas usaha-usaha kita selama ini. Kita juga mengharapkan sedikit penghargaan daripada pihak atasan. Namun begitu, selepas usaha-usaha kita itu tidak dihargai, malah dianggap ia sesuatu yang biasa-biasa sahaja oleh pihak atasan. Maka apa reaksi kita?
Pastinya kecewa.
Segala harapan selama ini musnah begitu sahaja.
Kita akan bertukar menjadi pekerja biasa-biasa sahaja.
Kenapa?
Kita terlalu mengharapkan penghargaan manusia.
Namun begitu, itulah lumrah kita sebagai manusia. Jangan khuatir. Lama-kelamaan kita akan mampu menerima hakikat dan belajar menjadi manusia yang lebih cekal.
Walaupun ia bukan sesuatu yang mudah, saya dan tuan-tuan harus terima setiap penilaian orang lain terhadap kita dengan dada yang terbuka. Biar pun berapa peratus markah penilaian kerja kita diberikan, kita masih tersenyum kerana kita sudah lakukan yang termampu kita laksanakan. Dan yang paling penting ialah penilaian dari Maha Kuasa itu yang kita harap-harapkan.
Cara terbaik ialah apabila kecewa dengan penilaian manusia, kita bermuhasabah diri. Kenali diri sendiri dengan sebaik-baiknya. Lihat dengan kaca mata positif. Insya-Allah, kita akan merasa lebih tenang berbanding sebelumnya.
Maka, marilah kita sama-sama bersandar kepada Allah semata-mata. Dengan cara ini kita akan memiliki jiwa yang kental dan tidak mudah berputus asa. Percayalah, ini adalah keputusan terbaik yang kita perlu lakukan.
Percayalah diriku....Allah itu Maha Adil.