0
ALHAMDULILLAH, rasanya kebanyakan ibu bapa menarik nafas lega selepas menerima Bantuan Awal Persekolahan RM100. Saya dan warga guru SK PPR Lembah Subang juga agak sibuk pada minggu lepas. Pihak sekolah telah menetapkan 16-19 Januari 2013 ialah tempoh masa ibu bapa datang mengambil duit bantuan tersebut.
Saya dan Guru Besar pula tiga hari berturut-turut pada tarikh tersebut 'merasa' naik kereta peronda polis. Kami juga diiring oleh anggota polis hingga ke kaunter bank. Tugas ini nampak mudah, tetapi langkah persediaan keselamatan perlu dilakukan. Nampaknya semua sekolah sibuk dalam tempoh 1-2 minggu ini.
Apa yang diharapkan ialah duit bantuan itu digunakan sebaik mungkin untuk kebaikan anak-anak. Mungkin ada merasakan RM100 ini cukup kecil, tetapi kita jangan lupa RM100 itu sangat bernilai buat sebahagian keluarga. Saya sentiasa berdepan dengan para ibu bapa yang mengalami masalah begini. Anak-anak perlu diberikan keperluan secukupnya walaupun serba kekurangan. Itulah pengorbanan ibu bapa yang sanggup lakukan apa sahaja untuk anak-anak. Cuma dikesalkan apabila sebahagian ibu bapa yang berpisah tidak endahkan anak-anak.
"Mak cik pun bukannya mampu, tetapi oleh kerana mahu juga sekolahkan cucu saya, saya sanggup juga buat apa sahaja. Asalkan dia bersekolah."
Itulah luahan seorang nenek yang datang ke pejabat menguruskan pertukaran cucunya. Anak lelaki yang lama terlibat dengan penagihan dadah entah ke mana menghilangkan diri. Menantu pula keluar rumah tanpa berita. Tinggallah si anak menagih simpati nenek tercinta.
"Cucu nenek layak tak bantuan RM100 ni, sebab dia lama tak bersekolah tahun lepas."
Memang kalau dilihat pada rekod, sudah beberapa bulan cucu nenek ini tidak hadir ke sekolah.
"Makcik jangan risau. Dia layak terima walaupun sudah bertukar ke sekolah baru."
Nenek tersenyum. "Terima kasih."
"Ini ada beg sekolah baru."
Nenek itu terkejut apabila dihulurkan sebuah beg sekolah.
"Ini adalah lebihan beg sumbangan tahun lepas. Saya rasa cucu nenek perlukan ini."
"Oh! Terima kasih dik!"
Saya hanya angguk. Gembira melihat senyuman di wajah nenek itu.
Semoga bantuan RM100 dan beg ini mampu meringankan sedikit beban nenek ini. Apa daya saya selain berdoa agar dipermudahkan segala urusan nenek ini. Bersyukur dengan segala nikmat-Nya. Saya dididik dan diberikan kasih sayang dengan baik oleh ibu bapa sebelum ini.
Al-Fatihah buat arwah ayahanda tercinta.