CABARAN CERTOT RAMADAN/SYAWAL : KANCIL MERAH

Posted: Saturday, August 3, 2013 by WZWY in Labels:
0

KANCIL MERAH





DIA SEDAR BAHAWA dirinya sekarang kurang diberi perhatian lagi. Mahu atau tidak itulah hakikat yang harus dipercayainya. Kadang-kadang dia merasakan pepatah Melayu itu ada benarnya, “Habis sepah madu dibuang’. Itulah yang dirasakan selama ini. Namun begitu, dia harus reda dengan ketentuan-Nya.

            “Begitulah lumrah alam. Jangan kau kesal. Bukan sahaja kita, tetapi sesama manusia pun lebih teruk lagi. Mereka bukan sekadar tidak tahu hargai orang lain, tetapi sanggup ‘tikam belakang’ sahabat sendiri.” Honda Prelude putih memujuk.

            Kancil Merah tersenyum sendiri. Sesungguhnya dia akur dengan kata-kata sahabatnya itu, Honda Prelude yang masih setia di sisi tuannya sejak 15 tahun yang lalu. Sahabatnya itu jenama luar negara yang ditatang bagai minyak yang penuh 15 tahun lalu. Dan kini, sahabatnya itu pun senasib dengan dirinya juga.

Kancil Merah mula berfikir, “Ini pula aku keluaran tempatan sahaja. Apalah hebatnya aku berbanding mereka.”

Kancil Merah mula mengelamun jauh. Pejam celik usianya kini sudah mencecah angka 15 tahun. Kalaulah dia manusia, dia sudah berada di sekolah menengah dan sedang rancak menempuhi hidup remaja. Tapi hakikatnya dia hanya ‘makhluk besi’ yang semakin usang dimamah usia.

            Dia bersyukur kerana dia masih dihargai walaupun khidmatnya tidaklah sehebat dahulu. Kalau hendak dibandingkan dengan teman-teman seusianya, banyak sudah yang terburai di kedai ‘kereta potong’.

Apa yang menggores perasaannya ialah apabila isteri pemiliknya, Puan Rafidah mula semakin membencinya.

“Abang jual sahaja kereta buruk itu. Kita kan sudah ada kereta baharu.” Puan Rafidah mula membelai-belai badan Proton Exora putih itu.

“Isk! Mana boleh jual. Kancil Merah itu adalah kereta pertama kita. Ada ‘sentimental value’ tau!” Balas Encik Zulkifli.

Kancil Merah masih ingat. Kenangan indah yang sukar dilupakan apabila Syawal hampir tiba. Encik Zulkifli akan menghantarnya ke ‘klinik’ untuk dia menerima rawatan yang terbaik. Minyak enjin, penapis minyak dan segala keperluan dirinya ditukar ganti dengan yang baharu. Kemudian dia meluncur laju menghala ke Pantai Timur tanah air. Pada masa itu dia menjadi kemegahan keluarga Encik Zulkifli. Anak sulung Encik Zulkifli, Radhi juga sayangkan dirinya. Dan selepas itu keluarga ini menerima dua ahli anggota baharu. Dirinya masih diberi tugas untuk berkhidmat dengan keluarga bahagia ini.
Lamunannya terhenti.

Tak perlu mengelamun jauh sangat. Awak duduklah situ sampai tua. Minggu depan aku nak balik kampung. Encil Zul dah bagi tau anak-anaknya semalam. Kau tengok badan aku pun dah berkilat. Petang semalam aku dicuci dan diletakkan pewangi yang sungguh harum,” kata Proton Exora putih mencebik ke arah Kancil Merah.

“Huhhh!”Keluh Kancil Merah. Kecewa.

“Marahlah tu!”

Kancil Merah diam seketika. Mahu sahaja dilepaskan air mata ini. Namun dia harus cekal dan terima kenyataan seadanya. Dia sedar siapa dirinya kini. Tetapi dia tahu, Tuhan lebih berkuasa daripada segala-galanya. Dia hanya mampu mengeluh sendiri. Kedengaran sayup-sayup lagu hari raya di corong radio. Tahulah dia bahawa hari bahagia itu semakin dekat dan hampir tiba saat kemenangan umat Islam berpuasa. Dan tinggallah dia bersendirian di sudut parkir ini.

Merintih sendiri. Sekali sekala dia menoleh ke arah rakan lama, Honda Prelude di rumah sebelah.

Beginilah nasib di penghujung usia.


*****
“Tak kan kita nak naik Kancil Merah itu pula.”

“Habis tu, awak ada idea lain?”

“Yeahhhh! Esok kita nak balik kampung!” Farid, anak bongsu berusia lima tahun melompat keriangan.

Kancil Merah terkejut. Namanya disebut berulang kali. Dia sendiri kebingungan. Apakah yang berlaku sekarang.

“Naik Kancil Merah?” Dia berfikir sendirian tanpa kepastian.

Kancil Merah menjeling ke arah Honda Prelude yang masih setia di sebelah. Honda Prelude itu juga kebingungan. Tiada idea untuk dilontarkan. Apatah lagi untuk menjelaskan apa yang telah berlaku.

“Ini sudah ketentuan Tuhan. Proton Exora kesayangan awak terpaksa masuk bengkel. Awak juga yang pandu kurang cermat petang semalam,” suara Encik Zulkifli jelas kedengaran.

Dan di pagi yang berbahagia ini, Kancil Merah senyum lebar. Berita sedih pula buat Honda Prelude apabila hanya mampu melihat Kancil Merah balik kampung buat sekian kalinya. Dan bagaikan mimpi menjadi kenyataan. Kancil Merah di usia 15 tahun ini masih diberi kepercayaan untuk membawa lima sekeluarga ini balik beraya. Dan seingatnya, sudah hampir lima tahun dia ditinggal sendirian apabila tiba musim cuti sekolah atau di musim perayaan.

Kancil Merah sungguh bahagia. Dan dia akan ceritakan kepada teman-teman lama di kampung nanti. Sesungguhnya ketentuan Tuhan itu tanpa diduga oleh sesiapa pun. Kita hanya merancang, tetapi Tuhan itu yang menentukannya.

Tapi...dia juga simpati. Proton Exora ditinggalkan sendirian di bandar. Walaupun dia tahu, selama lima tahun ini dia diejek sentiasa saban waktu. Dia pasrah dan tidak terniat dalam dirinya mahu lakukan perkara yang sama.

Kerana dia tahu. Siapalah kita di dunia fana ini.

Pasti tiba detik akhir sebuah kehidupan.

Itu suatu kepastian. Benar.



***TAMAT***

0 Komentar: