Marah

Posted: Sunday, July 28, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

"Bukan mudah."

"Memang diakui ia bukan sesuatu yang mudah," tambah seorang sahabat bersetuju.

Sifat marah ini bukan perkara yang boleh diambil enteng oleh sesiapa sahaja. Tidak kira dia seorang lelaki atau wanita. Dewasa atau kanak-kanak.

Saya juga akui, saya hamba-Nya yang cukup lemah dan sering kali 'tergelincir' dalam menguasai amarah dalam diri. Moga Allah SWT tetapkan hati saya agar menjadi seorang yang diredai-Nya. Sungguh!

Tidak perlu salahkan orang lain. Lihatlah diri kita sendiri. Apa yang silap? Apa yang tidak kena lagi? Diri kita sendiri yang dapat rungkaikan andainya kita masih belum mampu menguasai sifat marah yang keterlaluan. Marah memang sifat manusia. Namun ia harus dikawal dengan sebaik-baiknya.

"Marah adalah salah satu anak panah syaitan. Oleh itu hindarilah marah, kerana ia mendatangkan rahmat dan dicintai Allah." Wasiat Imam Bukhari.

Abu Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan, "Ada seorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah SAW duduk di sebelahnya. Nabi diam sahaja, begitu juga Saidina Abu Bakar."

Tidak lama kemudian lelaki itu terus memaki Abu Bakar. Dan tiba pula giliran Saidina Abu Bakar membalas makian tersebut. Rasulullah SAW terus bangun dan berlalu pergi. Abu Bakar berasa hairan dan terus mengekori Rasulullah SAW.

"Ya Rasulullah, pada kali pertama dia memaki saya, kamu diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba kamu bangun lalu pergi," kata Saidina Abu Bakar minta kepastian.

Rasulullah SAW menjawab, "Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam. Tetapi engkau membalas makian itu, malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan."

Rasulullah SAW menambah lagi, "Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah."

Kadang-kadang sifat marah ini membuatkan seseorang bertindak di luar batasan tanpa memikirkan risiko mendatang. Kalau tidak dikawal, maka ia akan memberi kesan yang buruk kepada diri sendiri dan orang lain.

Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa saya dan juga tuan-tuan apabila gagal menguasai rasa amarah ini. Walaupun itu sifat kelemahan kita, jangan biarkan ia terus menguasai diri. Kelak kita juga yang merana sesal.

Allahu Akbar!

Sesal sungguh apabila keadaan reda. Orang yang kita marah pula terluka. Adakah dengan kemarahan melampau itu membuatkan setiap permasalahan itu selesai?

Tidak.

Masalah baru pula muncul.

Rasulullah SAW bersabda, "Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk. Dan jika dia duduk hendaklah dia berbaring."

Inilah antara nasihat yang diutarakan oleh Rasulullah SAW. Selain itu berwuduklah kerana ia akan membuatkan kita lebih tenang. Insya-Allah.

Ya Allah!
Ampunilah dosa-dosaku.
Peliharalah aku dari sifat marah ini.
Jangan biarkan hatiku menurut bisikan syaitan laknatullah.

Amin!


0 Komentar: