Tulis Novel Anda Pun Boleh!

Posted: Tuesday, December 6, 2011 by WZWY in Labels:
0

ENTRI KALI INI KHUSUS buat sahabat-sahabat yang berminat menceburi bidang penulisan novel. Dan saya percaya ramai akan mengatakan menulis sebuah novel itu sangat-sangat sukar sekali. 

"Saya nak tulis satu perenggan pun susah."

"Saya baca novel okey, kalau menulis memang tak mampu."

Ketika saya mula-mula mahu memasuki dunia penulisan dulu, jalan laluan saya dipermudahkan apabila berjumpa dan duduk berbincang dengan Tuan Haji Zakaria Sungib di sebuah restoran berdekatan Astana Karya yang menempatkan Galeri Ilmu Sdn Bhd di Kota Damansara.

Alhamdulillah. Sesungguhnya ia dipermudahkan oleh-Nya dalam usaha saya mengasah bakat penulisan yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini kecuali di blog sahaja.

Di antara buku panduan penulisan terbaik

Apabila saya ditanya tentang penulisan manuskrip novel. Saya mencadangkan sebelum menulis sebuah manuskrip, sila baca terlebih dahulu buku tulisan Sifu penulisan saya iaitu Puan Maria Kajiwa (MK). Buku Tulis Novel Anda Pun Boleh adalah sebuah buku panduan penulisan novel yang terbaik dijadikan rujukan selain buku-buku panduan yang lain. Penerangan yang lengkap dan dipermudahkan oleh Puan Maria untuk kita memahami beberapa istilah dan juga teknik penulisan yang betul.

Sejujurnya saya sentiasa bawa buku ini apabila balik kampung atau ke luar daerah jika berkursus. Ia menjadi salah satu bahan bacaan wajib bagi mempertajamkan skil penulisan. Kadang kala sebagai manusia yang sentiasa alpa ini selalu lupa tentang beberapa perkara dan ia perlu sentiasa diulang baca berkali-kali.

Saya tiada apa-apa komisyen atau diberikan saguhati jika sahabat-sahabat membeli buku ini. Ia sebagai satu perkongsian untuk bakal penulis atau sudah pun bergelar penulis menambah ilmu pengetahuan. Tidak rugi untuk dimiliki.

Jika berminat, boleh lawati blog TULIS NOVEL
Wallahu alam..semoga perkongsian ini memberikan  sesuatu yang berguna. Insya-Allah.

0 Komentar: