Janganlah Membenci Suatu Kesalahan
Posted: Monday, December 26, 2011 by WZWY in Labels: Motivasi Diri
0
HATI MANA YANG TIDAK KECEWA apabila berdepan dengan seseorang yang melakukan kesalahan terhadap kita. Contoh, pasangan suami isteri berdepan krisis keluarga apabila kecurangannya dapat dihidu oleh isteri. Segala SMS telah dibaca oleh isteri. Kecewa dan marah hingga bawa diri. Tenangkan fikiran. Suami datang pujuk tetapi tidak diendahkan. Lama kelamaan isteri dapat terima semula selepas si suami berjanji tidak ulangi lagi kesilapannya. Alhamdulillah, rumah tangga dapat diselamatkan.
Bagaimana pula yang gagal selesaikan kemelut hubungan tersebut?
Maka mereka memilih jalan mudah iaitu perpisahan. Dan bukan suatu perkara mudah kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan. Anak-anak, harta benda, dan sebagainya. Maka mereka tinggal berasingan mencari kebahagiaan masing-masing. Adakah itu penyelesaian terbaik mereka?
Janganlah membenci suatu kesilapan
Saya pernah buat silap. Pada isteri, anak-anak, adik-beradik, rakan-rakan dan juga pada ibu dan ayah tercinta. Dan begitu juga dengan anda. Kita tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan sama ada disedari atau sebaliknya.
Kesilapan atau kesalahan yang kita pernah lakukan itu bukan bermakna satu pengakhiran dan berputus asa. Sesungguhnya kesilapan itu dapat menjadi platform yang mempertemukan kita dengan kebenaran. Kesalahan juga boleh menjadi proses yang efektif dalam mempelajari dan meraih sesuatu yang positif.
Mustahil jika kita pernah berjumpa dengan orang yang tidak pernah lakukan kesalahan atau kesilapan. Mungkin semalam atau sebentar tadi kita telah lakukan kesalahan dengan sedar atau tanpa sedar. Dan kita tidak tahu bahawa ada seseorang yang marahkan kita. Mereka ada sebab tersendiri. Jika dimaklumkan, maka kita tentu akan mohon maaf dan janji tidak ulangi. Contoh, sebentar tadi ada seseorang menyapa kita di sebuah kedai buku. Oleh kerana, asyik dengan membaca sebuah buku, kita tidak perasan dan berlalu begitu sahaja. Selepas itu terima SMS, "Awak sombong sekarang ya?" Ia dihantar oleh seorang rakan lama. Selepas itu barulah kita tersedar dan mohon maaf dan ajak rakan lama tadi minum teh di sebuah restoran berhampiran. Kita bukan sombong, tetapi keadaan pada masa itu membuatkan kita berada dalam situasi begitu.
Situasi itu tadi membuatkan kita lebih berhati-hati. Ini bermaksud bahawa jika orang yang tidak pernah lakukan kesalahan, tidak akan dapat benar-benar menghargai nilai sebuah kebenaran.
Contoh lain, katakan seorang rakan berjanji untuk keluar minum di sebuah restoran. Rakan tadi menunggu sampai satu jam tetapi kita tidak muncul-muncul. Dia telefon dan SMS tetapi kita tidak sedar. Hingga keesokkan harinya, dia berjumpa dan marahkan kita kerana mungkir janji. Kemudian, baru kita teringat bahawa kita memang berjanji untuk keluar minum semalam. Dan kemudian barulah kita ceritakan bahawa kita tertidur di atas sofa di depan televisyen dan tersedar pada pukul lima pagi. Kita mohon maaf dan belanja dia makan tengah hari. Nasib rakan boleh terima dan hubungan jernih kembali.
Jika seseorang itu pernah lakukan dosa-dosa besar. Bukanlah bermakna tiada jalan langsung untuk kita berubah. Pertama sekali perlulah bertaubat bersungguh-sungguh. Minta doa dan keampunan daripada Allah SWT. Kemudian dekatkan diri pada-Nya. Lakukan solat sunat selain ibadah wajib. Jangan sesekali terjebak atau menghampiri dosa-dosa lampau. Teruskan bermujahadah dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah SWT. Perbanyakkan sedekah dan menjalinkan hubungan baik dengan orang-orang yang soleh. Insya-Allah dosa-dosa kita akan diampun oleh Tuhan sebelum Dia menjemput kita menemui-Nya.
Kesimpulannya, selepas ini jangan marah jika anak-anak, pasangan, rakan atau sesiapa sahaja melakukan kesilapan. Ia adalah satu proses pembelajaran. Sama-sama perbetulkan kesilapan itu. Marah dan herdik bukan penyelesaian terbaik. Walaupun sudah jadi tabiat manusia akan terkeluar juga kata-kata menyakitkan hati. Bukan kata orang lain, kadang-kadang itu berlaku pada diri saya sendiri. Maka kita sama-sama dekatkan diri pada-Nya. Berubah ke arah yang lebih baik. Insya-Allah kita akan diredhai dan diberkati.
Yakin dan pasti
Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Yakin dan pasti
Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang