MUJAHADAH SEORANG ISTERI SOLEHAH

Posted: Sunday, December 11, 2011 by WZWY in Labels:
0

Malam ini tidak sebagaimana malam-malam sebelum. Pengalaman seorang rakan persekolahan membuatkan fikiran dan minda saya 'terjaga'. Begitu kerdilnya saya dalam harungi kehidupan serba mencabar ini. Di manakah hilangnya rasa tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah, anak, suami, ayah, abang, guru, sahabat, ahli masyarakat dan seumpamanya.

Saya terus menitip entri ini khusus buat wanita bergelar isteri. Isteri solehah yang sentiasa mendambakan ketaatan kepada suami tercinta. Di samping terus beribadah kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kehidupan sebuah rumah tangga tidak sunyi dengan pelbagai pengalaman pahit manis yang dirasai. Mustahil dalam sesebuah rumah tangga hidup dalam keadaan sentiasa aman bahagia tanpa ada sedikit pun pengalaman yang menduga keimanan kepada Allah SWT dan ketaatan kepada pasangan. Pasti akan mengangguk setuju, bahawa mereka juga alami pelbagai onak duri sebuah perkahwinan.

Dalam usaha menjadi isteri solehah, sudah pasti pelbagai proses dan pengorbanan yang perlu dilakukan. Salah satu ialah mengikis sifat-sifat mazmumah yang sudah sekian lama bersarang dalam diri. Oleh sebab itu, dalam menuju ke arah menjadi wanita dan isteri solehah, Allah telah mengutuskan seorang suami yang akan menjadi penyebab bagi membongkarkan sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri masing-masing. Sebab, setiap hari isteri yang sentiasa menjalankan kewajipan mengharungi suka duka dan pahit maung perkahwinan. Akibatnya, segala sifat-sifat mazmumah dalam diri terserlah. Sifat pemarah, pendendam, gelojoh, dan sebagainya.

Satu perkara perlu ingat

Mungkin seseorang isteri yang menghiasi hidup mereka dengan sifat sabar dan redha apabila mendapat sesuatu perkara yang disukai, tetapi belum tentu boleh berbuat begitu apabila setiap kehendaknya dicabar. Begitu juga seorang isteri boleh mentaati suami yang bergaji lebih rendah sehingga kedudukan kewangannya pula dicabar. Maka ingatlah bahawa seorang isteri perlu melatih diri bermujahadah demi mencapai sifat-sifat mahmudah dan seterusnya menjadi isteri yang solehah.

Mujahadah seorang isteri....

1) Bila isteri lebih dikenali dan berpangkat daripada suami, isteri perlu beradab sopan di depan suami. Isteri juga perlu buang sikap meninggi diri bagu membolehkan dia mentaati perintah suami pula. Ingatlah bahawa kedudukan suami itu lebih tinggi di sisi Allah SWT.

2) Bila isteri lebih bijak, seorang isteri masih perlu meminta nasihat daripada seorang suami walaupun dalam hal-hal kecil. Isteri elakkan membantah atau memperleceh setiap idea suami.

3) Bila isteri sering ditinggalkan, seorang isteri perlu perbanyakkan ibadah sunat dan sibukkan diri dengan kerja-kerja berfaedah. Kenangkan peristiwa Siti Hajar ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Sambutlah kepulangan suami dengan hati terbuka dan istimewa.

4) Bila suami yang mencuaikan perintah agama, seorang isteri perlu tunjukkan sikap yang baik dengan melayan kehendak suami tanpa melanggar syariat Islam. Sentiasa doakan agar Allah berikan hidayah kepada suami. Bacalah bahan bacaan agama dan dengarilah lagu-lagu ketuhanan dan  zikrullah. Pujuk suami supaya tunaikan solat dan ceritakan janji Allah SWT jika abaikan solat. Isteri juga perlu perhalusi akhlaknya jika berdepan dengan suami yang pemarah atau suka memukul isteri.

Insya-Allah perkongsian ini dapat berikan sesuatu kebaikan untuk semua. Tuan-tuan dan puan-puan seorang yang hebat dan cemerlang. Buktikan kita mampu laksanakan setiap perintah Allah SWT tanpa ragu-ragu dan istiqamah. Nasihat ini paling utama untuk diri sendiri. Insya-Allah.

Akhiri dengan sepotong hadis Rasulullah SAW :

"Apabila seorang isteri meninggal dunia, dan suaminya redha ke atasnya, dia akan masuk syurga."

0 Komentar: