Liku-Liku Hidup

Posted: Monday, August 27, 2012 by WZWY in Labels:
0

Yang pasti setiap manusia yang hidup di muka bumi ini mahukan KEJAYAAN dan KESENANGAN.

Itu perkara yang normal. Dikatakan manusia itu tidak siuman jika tiada langsung keinginan untuk BERJAYA.

Yang pasti juga tidak semua memperoleh apa yang mereka mahukan. Betulkan?

Adakah sahabat-sahabat sudah peroleh semua yang dicita-citakan?

Pasti menggeleng. Ya, benar. Masih ada KEMAHUAN yang belum dicapai. Sampai bila? Entahlah, pastinya sudah ada perancangan untuk itu. Itu semua kerja Allah SWT. Kita hanya TADBIR kerana TAKDIR itu milik Allah jua.

Belum Kahwin

Sesetengah sahabat yang masih solo pastinya rimas dengan soalan, "Bila awak nak kahwin?" "Saya dengar awak belum kahwin, betulkah?" "Kenapa awak tak kahwin-kahwin lagi?" Dan banyak lagi versi soalan-soalan yang biasa ditanya. Dan jawapan selamat ialah "Insya-Allah."

Belum Ada Cahayamata

Kahwin sudah hampir dua tahun. Contoh. Namun begitu, Allah uji mereka masih belum peroleh cahayamata. Maka soalan-soalan cepumas pula, "Awak berdua sudah kahwinkan? Belum teringin timang anak lagi?" Kalaulah kita boleh memilih, pasti kita pilih yang terbaik, tetapi rezeki itu milik Allah sepenuhnya. Maka jawapan terbaik ialah, "Awak doa-doakan kami dapat cahayamata cepat-cepat." Sesungguhnya mendoakan orang lain itu juga satu perbuatan yang diberi ganjaran pahala. Insya-Allah.

Belum Beli Kereta

Dilema juga apabila belum memiliki kereta sendiri. Ke sana ke mari naik motor. Mudah dan menyenangkan. "Awak sudah kerja pun tak mampu beli kereta lagi?" Kalau boleh, esok juga nak beli kereta, tetapi ongkos  belum mampu lagi. Tengah kumpul duit kahwin dulu. Itu pula dilema bagi anak bujang. Jangan ingat orang bujang sahaja. Orang berkeluarga pun masih ada yang belum mampu beli kereta walaupun kereta terpakai. 

Bila beli kereta terpakai, masih belum selesai. "Tak kan tak mampu beli kereta baru. Awak berdua kerja." Ada lagi, "Awak tak takut kereta ni rosakkah? Baik beli kereta baru macam saya."

Ada lagi kes lain. "Tak kan kereta kecil ni sahaja? Belilah MPV yang lebih besar. Kan selesa." "Kenapa awak sanggup naik ramai-ramai kereta kecil ni?" Kalau ada rezeki, pastinya tiada pun seorang ayah atau suami atau isteri sanggup berhimpit-himpit dalam kereta kecil. Mereka ada masalah tersendiri. Anggap itu belum diizinkan Allah lagi. Doakan perancangan kewangan mereka sukses dan berjaya membeli yang lebih besar. Insya-Allah. Kadang kala kesilapan lepas membuatkan seseorang itu terpaksa menanggung akibatnya di kemudian hari.

Belum Beli Rumah

"Awak kan dah kerja lima tahun. Tak kan tak mampu beli rumah besar sikit?" "Awak masih menyewa?" "Tak kan nak tinggal di rumah flat ni. Belilah rumah teres." "Awak beli rumah teres di hujung dunia buat apa. Belilah dekat kawasan bandar." 

Apa lagi soalan atau keluhan orang terhadap kita? Itulah asam garam selagi kita manusia dan tinggal dalam kelompok manusia. Kalau nak selesai kes, tinggal berseorangan di hutan. Jika sangguplah.

Cita-Cita Tetap Ada

Selagi manusia itu bernafas walaupun dalam penjara atau di katil hospital, mereka akan mempunyai cita-cita atau matlamat hidup. Selagi belum terlaksana atau dizinkan Allah, janganlah kita berdiam diri. Musahabah diri. Dekatkan diri pada-Nya. Jangan hanya lihat pada usaha kita semata-mata. Tanya diri juga tentang hubungan kita dengan Allah SWT. Hanya Allah sahaja tempat kita mengadu. Allah jua yang memberikan kita rezeki.

Anggap Satu Dorongan

Setiap soalan atau keluhan orang lain harus dianggap sebagai dorongan. Biar pun telinga terasa 'panas', bersabarlah. Sesungguhnya Allah amat suka pada orang-orang yang sabar. Orang lain boleh berjaya, kita juga boleh lakukan. Orang lain juga manusia biasa tetapi mampu menjadi orang 'luar biasa'. Bagaimana? Mereka mempunyai keazaman membara yang membuak-buak. Kita juga boleh. Betulkan segala perancangan dan fokus pada matlamat. Insya-Allah, pada suatu hari nanti kita menggenggam kejayaan yang dipinta.

Ada Nasihat?

Nasihat untuk diri sendiri sebenarnya. Perhebatkan lagi hubungan kita dengan Allah SWT. Sesungguhnya Dia adalah pemberi rezeki. Beramal soleh dan sentiasa berdoa pada-Nya. Insya-Allah hasrat kita akan ditunaikan oleh-Nya. Yakin dan percaya. 

Tidak cukup dengan itu sahaja. Berusahalah dengan penuh kesungguhan. Rancang dan laksanakan perancangan itu. Perbaiki segala kelemahan diri. Jangan pula berputus asa di kala kesukaran singgah sebentar di pertengahan jalan usaha kita. Teruskan dan maju ke depan. Ayuh! Terus bersemangat kental hingga ke penghujungnya.

----------------------

Jika ada kemahuan. Insya-Allah, jaya.

0 Komentar: