Pengalaman Membezakan Kita?

Posted: Wednesday, October 10, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

PENGALAMAN  yang berbeza membuatkan setiap daripada kita mempunyai pandangan berbeza. Tiada yang salah dalam menafsirkan pandangan masing-masing.

Lahirnya sifat SYUKUR itu juga berdasarkan pengalaman hidup.

Ya ka?

Contohnya, sejak dua tahun ini saya berjumpa dan berkenalan dengan ramai insan-insan yang menjalani kehidupan yang sukar. Pelbagai masalah menimpa. Bermula dengan masalah perniagaan, masalah kewangan, masalah keluarga, masalah kesihatan dan sebagainya. Wah! Saya merasakan bahawa apa yang saya hadapi sekarang ini masih lagi dikira baik berbanding mereka. Maka, setiap perkara yang menimpa diri, saya anggap itu sebahagian daripada ujian hidup yang perlu saya tempuh. Jika mereka di luar sana, mampu berdepan dengan masalah mereka, apa bezanya saya pula. Saya juga hamba-Nya. Tiada lagi tempat pergantungan saya kecuali Dia.

Berbeza Pandangan

Si A berdepan dengan masalah komunikasi dengan isterinya. Bagi Si A apa yang telah dilakukan terhadap keluarga sudah cukup baik. Bangun pagi kejutkan anak-anak, gosokkan baju mereka, menyediakan keperluan dapur dan sebagainya. Berbanding dengan apa yang dirintih oleh rakan setugas bahawa suaminya selalu pulang lewat malam. Kemudian pantang ditegur, maka maki hamun pula diterimanya. Solat pula selalu culas. Maka Si A yang kadang kala ke surau mengerjakan solat berjemaah merasakan apa yang dilakukannya itu lebih baik dan bersyukur dengan kehidupannya.

Isteri Si A pula merasakan suaminya itu dikategorikan sebagai suami yang gagal kerana jika dibandingkan dengan suami rakan-rakan sepejabat yang mempunyai pendapatan yang mantap dan memiliki aset yang besar di luar sana. Mereka mampu miliki rumah besar dan selesa. Isteri Si A juga merasakan suaminya itu bukan pilihan terbaik kerana selalu menghadapi masalah kewangan pada setiap hujung bulan. Apatah lagi sebelum ini, dia tidak dilayan dengan baik oleh suaminya. Setiap langkah perubahan suami itu bagaikan tiada ertinya lagi. Semuanya sudah terlewat. Tiada lagi kata maaf.

Maka di manakah titik penyelesaian pasangan ini?

Jelas sekali, hala pandangan mereka jauh berbeza. Ibarat timur dan barat. Seorang berasa sudah cukup dan seorang lagi berasa serba kekurangan.

Bukan sekadar berdoa dan berdoa. Usaha juga perlu dilaksanakan agar ia tidak membuatkan konflik dalaman itu menjadi semakin rumit. Mungkin tanpa sedar, tetapi ia pasti dalam pengetahuan mereka. Berbincang dan melihat dalam semua aspek. Bukan hanya mengikut kemahuan hati semata-mata. Lihat dari segenap segi seperti kehidupan yang bakal dilalui oleh anak-anak mereka nanti. Bagaimana pula penerimaan keluarga yang lain dan seumpamanya. Bukan sekadar faktor diri masing-masing, tetapi orang-orang terdekat dengan mereka juga perlu diambil kira. Satu perkara yang jelas ialah setiap apa yang kita rasai dan lakukan itu di bawah pengawasan Ilahi. Hanya Dia yang mengizinkan atau tidak segala yang berlaku. Tugas kita pula sebagai hamba-Nya bertindak dengan waras dan bijaksana. Jangan bertindak dalam situasi amarah yang dikuasai oleh syaitan laknatullah. Sengaja mahu membecah belahkan ummah.

Yakinlah pada-Nya.
Lihat seseorang itu sekarang dan bukan pada masanya yang lampau.

Semoga kita semua dirahmati Allah SWT.
Amin.

0 Komentar: