Cikgu, Anak Saya OK?

Posted: Friday, October 19, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

Saya siarkan sebahagian satu bab di dalam manuskrip "Cikgu, Anak Saya OK?" Ia bukan kisah cerita rekaan. Ini adalah realiti sebuah kehidupan sebahagian manusia yang tabah menghadapi kesukaran hidup.

Jujur saya katakan, saya bertuah dianugerahkan ibu bapa yang penyayang dan sentiasa mendoakan kejayaan saya. Walaupun ayah sudah lama meninggalkan alam ini, kenangan terindah bersamanya terus 'bersama' saya hingga akhir hayat.

BAB MENGHARAPKAN KASIH AYAH

Ketika saya sedang menyiapkan beberapa tugasan di bilik, saya dikunjungi seorang ibu murid. Wajahnya memang saya kenali kerana kami pernah berjumpa dua tiga kali sebelum ini. Anak-anak beliau adalah di antara murid-murid yang diberi kemudahan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Saya cukup simpati apa yang berlaku ke atas anak-anak beliau. Anak sulung perempuan beliau yang belajar di Tahun Lima telah menerima tekanan hebat sehingga terpaksa dibawa berjumpa pakar psikiatri. 

            “Keadaan anak saya semakin buruk.”

            “Kenapa?” Tanya saya.

            “Dia sudah bosan belajar dan tidak mahu datang ke sekolah,” bicara ibu itu tenang.

            “Kenapa begitu?”

            “Apa yang saya tahu baru-baru ini dia dimarahi oleh ayahnya melalui telefon dan dikatakan anak sial.”

            “Masya-Allah. Sampai begitu sekali.”

            “Ayah dia marah kerana dia meminta baju baru untuk menyambut hari raya.”

            “Bukankah itu kewajipan ayah dia?”

            “Saya pun tidak tahu nak cakap apa. Bekas suami saya itu tidak pernah berubah. Sejak kami berpisah setahun lepas, dia tidak pernah ambil tahu fasal kami. Anak sulung saya sangat rindukan kasih sayang ayah.”

            “Saya cukup simpati dengan anak puan. Memang sebulan lepas seorang guru telah merampas kertas soalan peperiksaan beliau. Apa yang mengejutkan kami ialah dia menulis tentang kesukaran hidup keluarga. Dia cukup benci dengan ayahnya. Dia juga sanggup…sanggup bunuh ayah dia kerana abaikan keluarga.”

            “Itulah cikgu. Saya sudah tegur dia agar tidak lakukan perkara itu lagi. Malah dia minta maaf kerana perasaannya tertekan. Jiwa dia meronta-ronta marahkan ayahnya. Dan dia tahu bahawa tindakannya itu adalah salah.”

            “Dia seorang murid yang pandai.”

            “Prestasi dia semakin merosot. Dia juga perlukan rawatan mata dan buah pinggang di hospital. Saya tahu perkara-perkara ini menyebabkan jiwanya tertekan. Saya pernah tangguhkan rawatan kerana tidak cukup duit.”

            Saya hanya mampu diam. Sesungguhnya di depan saya adalah seorang ibu yang cukup tabah dengan kesukaran hidupnya. 

            Satu kisah yang boleh saya kongsi tentang anak perempuan ibu murid ini ialah ketika berada di minggu terakhir sekolah sebelum menyambut hari raya Aidil Fitri. Seorang guru meminta bantuan saya menghulurkan duit raya kepada mana-mana murid yang perlukan bantuan. Dengan izin Allah, saya teringatkan murid perempuan ini. Sebelum pulang saya memanggil murid ini dan menyerahkan sampul duit.

            “Duit raya ini adalah pemberian seorang guru. Balik nanti tolong beri pada ibu.”

            “Baik cikgu. Terima kasih.”

            Apa yang membuatkan saya cukup terharu ialah apabila dimaklumkan oleh ibu beliau.

            “Kalau cikgu nak tahu, apabila sampai di rumah dia lekas-lekas ajak saya ke kedai membeli baju raya. Seingat saya, saya tidak pernah menjanjikan baju baru pada tahun ini. Memang saya tiada duit untuk beli baju baharu. Dia maklumkan semasa di sekolah, cikgu serahkan duit raya tersebut. Muka dia berseri-seri.”

            “Alhamdulillah.”

            “ Apa yang menyebabkan saya sedih juga apabila dia beritahu bahawa walaupun ayah tidak pernah belikan baju raya, tetapi ada orang lain yang sanggup berikan duit.”

            Sesungguhnya pilihan saya tepat pada waktu itu. Pemberian duit raya itu memang kena dengan penerimanya. Walaupun jumlahnya tidaklah besar tetapi mampu untuk mereka tiga beradik memakai baju baharu. Semoga guru yang bersedekah itu dilimpahi rahmat Allah SWT. Saya hanya perantara sahaja. Ini semua perancangan Allah SWT. Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tidak semua orang yang bernasib baik sebagaimana keluarga murid ini. Itulah apabila mengenangkan saya dan isteri membawa anak-anak ke pasar raya untuk membeli pakaian baharu, betapa beruntungnya seorang anak yang masih memiliki kedua-dua ibu bapa yang menjaga semua keperluan mereka.

Nantikan kelahiran 'Cikgu, anak saya OK?'.
 

0 Komentar: