Saya Mahu Jadi Penulis

Posted: Saturday, October 13, 2012 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH dengan keizinan-Nya, dalam tempoh hampir tiga tahun saya menceburi bidang penulisan ini, saya berjaya menghasilkan empat buah novel kanak-kanak dan sebuah buku tarbiah rohani. Kesemuanya diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd. Dan sekarang hampir setahun saya terlibat pula dalam penulisan skrip komik bulanan GENG 5A yang disiarkan di dalam majalah kanak-kanak No. 1, ASUH.

Semua ini adalah NIKMAT kurniaan Ilahi. Tanpa saya sedar bahawa penglibatan saya dalam penulisan ini telah pun bermula semasa saya dilantik menjadi Pembantu Ketua Editor dan Ketua Editor majalah di salah sebuah sekolah menengah 21 tahun yang lalu. 

Selepas memasuki alam pekerjaan, saya tidak pernah terfikir untuk terlibat dalam dunia penulisan sehinggalah saya berkenalan dengan Tuan  Haji Zakaria Sungib. Itu pun perkenalan tanpa diancang apabila saya membantu beliau memperkenalkan satu produk kesihatan. Tidak lama kemudian, selepas majlis fatwa menetapkan segala jenis perniagaan FOREX ONLINE diharamkan, saya terus bertekad berhenti. Walaupun modal tidak besar mana, tetapi itu berkaitan hukum Islam. Saya wajib 'tutup buku' walaupun ketika itu saya dalam proses mengutip keuntungan selepas lebih dua tahun belajar dan terlibat dengan perniagaan tersebut.

Fikir punya fikir apakah pekerjaan yang boleh memberikan keuntungan dunia akhirat yang saya mampu lakukan.

Toinggg....idea datang untuk menjadi penulis buku kerana buku adalah teman setia saya sejak dahulu lagi tetapi bukan novel. Saya bukan peminat novel sebelum ini.

Akhirnya...SAYA MAHU JADI PENULIS.

Itu semua telah diatur kemas oleh Yang Maha Esa.

Maka begitulah dengan tuan-tuan, setiap yang berlaku dalam hidup ini tidak perlu ditangisi atau diratapi kerana semua itu dalam pengawasan-Nya. Ada hikmah yang kita sendiri tidak ketahui.

Pernah saya terfikir, kenapa tidak 10 tahun dahulu saya menulis. Mungkin sudah berapa banyak buah buku sudah dihasilkan. Kenapa saya tidak menulis ketika sebaya Hilal Asyraf? Itu semua kehendak-Nya. Kita ada sejarah hidup masing-masing. Tahap kemampuan kita juga berbeza.

Apa yang penting, setiap yang kita lakukan sekarang memberi kebaikan dunia akhirat atau sebaliknya. Tidak kira apa pekerjaan sekalipun. Insya-Allah dengan niat dan cara yang betul, kita akan dirahmati-Nya.

Amin.

* ilmu penulisan masih cetek. belajar dan terus belajar.

0 Komentar: