Mudahnya Buka Aib Orang
Posted: Saturday, December 29, 2012 by WZWY in Labels: Motivasi Diri, Tarbiah
0
KADANG KALA KEMUDAHAN yang dinikmati hari ini merupakan satu ancaman besar kepada kita.
Ancaman apa?
Dosa.
Saya tidak nafikan segala kemudahan itu akan memberikan banyak ganjaran pahala apabila digunakan dengan cara yang betul.
Dalam masa satu hingga dua saat sahaja, rakan kita di seluruh dunia dapat mengetahui setiap apa yang kita lakukan pada masa itu. Ia bukan lagi sesuatu yang pelik. Kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun pun sudah mengerti apa itu kemudahan internet terutama facebook dan twitter.
Saya ingin berkongsi satu hadis Rasulullah SAW iaitu, Daripada Ibnu Umar R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Orang
Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia
menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat
saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong
seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya
Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya dihari
kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan
menutup keaibannya di hari kiamat”.
Hadis ini cukup jelas meminta kita yang mengaku beriman dengan Allah SWT agar tidak menzalimi orang lain terutama orang-orang yang dekat dengan kita. Andainya masih juga mahu melakukan juga, tanya diri sama ada aku ini benar-benar menuruti sunnah Rasulullah SAW atau sekadar tahu sahaja tentang hukum tetapi ingkar dalam melaksanakannya.
Misalnya dalam soal berkaitan rumahtangga atau keluarga, kadang kala saya tertanya-tanya untuk apa diuar-uarkan keburukan atau kejahilan orang lain berbanding diri kita. Adakah kita mahu pengiktirafan atau dikatakan berada di sebelah pihak yang benar? Tidak memadaikah terus berdepan dan menceritakan perkara sebenar dengan pasangan atau ahli keluarga terbabit? Berbincang dengan penuh hikmah. Kenapa perlu dihebahkan seantero dunia bahawa si anu bin si anu ini begitu, begini dan sebagainya. Kalau pun kita benar, orang yang berpendidikan agama akan melihat betapa rendahnya akhlak kita sebagai seorang muslim. Betapa hati kita sememangnya gelap dan ditokok tambah oleh ransangan daripada syaitan laknatullah untuk menyebut-nyebut kesalahan atau kekurangan orang lain.
Pada pandangan saya yang daif ini, kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata pepatah, "Kuman di seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan."
Pesan guru, "Lihatlah kekurangan diri sendiri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kelemahan diri kita."
Kalau benar kita mahu menguar-uarkan kita adalah seorang Islam sejati, maka biasakan diri melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia, apatah lagi hubungan suami isteri, adik-beradik dan sebagainya. Lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatlah kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah melakukan kebaikan. Hanya dengan cara ini kita mampu menyekat bisikan syaitan yang sentiasa mahu memerangkap kita untuk terjerumus sama ke dalam api neraka. Nauzubillah.
Semoga perkongsian daripada insan yang serba kekurangan ini mampu menyedarkan kita tentang segala kelemahan diri dan seterusnya kemaskini semula iman kita.
Wallahualam.
Al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.