Sukarnya Kalau Bergantung Harap Kepada Manusia

Posted: Friday, December 6, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

MEMANG BENAR, pesan guru saya agar kita hidup di muka bumi ini janganlah terlalu bergantung harap kepada manusia. Jangan diletakkan satu harapan yang paling tinggi dalam apa juga usaha dilakukan kepada seseorang yang lain. Kelak nanti kamu akan kecewa.

Tak kala di saat ini saya merasakan sukarnya apabila kita bergantung harap kepada orang lain semata-mata. Biarlah hasilnya 'kurang elok' tetapi kita bebas dalam melakarkan apa juga yang kita mahukan dalam kehidupan kita. Dan kita punyai waktu sendiri tanpa perlu terikat dengan jadual kehidupan orang lain.

Tetapi, tidak semua kita mampu lakukan sendiri.

Ya, benar. Dalam sesuatu keadaan dan masa tertentu kita juga perlukan sokongan atau bantuan orang lain. Dan mustahil untuk kita lakukan semuanya sendiri. Oleh sebab itu, kita dianjurkan hidup saling bantu-membantu sesama kita.

Saya masih ingat ketika membaca sebuah buku berkaitan kebebasan dalam sesebuah perniagaan. Dikatakan seseorang peniaga itu tidak bebas lagi kalau hanya bergantung kepada peniaga yang lain. Contohnya, apabila kita menjadi pembekal sesuatu produk dan mengharapkan pekedai yang membayar balik harga barang yang dibekalkan kepada mereka. Andai mereka lewat atau tidak bayar langsung, maka kita akan alami kerugian. Jadi, pembekal tadi dinasihatkan agar terus jual kepada pembeli tanpa bantuan 'orang tengah'. Selepas dilaksanakan, hasilnya lumayan dan dia telah berjaya memperoleh keuntungan berlipat ganda tanpa pergantungan kepada pekedai tadi. Ini hanyalah satu contoh yang mampu dilaksanakan oleh pembekal tadi. Masih ada barang yang perlu kepada pekedai atau peruncit yang menjual kepada pembeli.

Selepas merenung semula, saya akui bahawa setiap perkara itu semuanya datang daripada Allah. Dia berkuasa di atas segala-galanya. Maka pergantungan kita hendaklah kepada-Nya dengan sepenuh hati.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rum, ayat 40 bermaksud:

"Allah jualah yang mencipta kamu kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu sesudah itu Ia mematikan kamu kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya)."


Sesungguhnya Allah itu dekat. Pohon pada-Nya pada setiap masa. Jangan lelah dalam berdoa dan bergantung harap kepada-Nya. Insya-Allah kita diberi kekuatan untuk usaha-usaha seterusnya.

Cita-cita masih sama. Cipta kejayaan walau terpaksa harungi 1001 ranjau keperitan perjuangan. Masih banyak cara yang mampu dilaksanakan. 

Berdoa pada-Nya.

0 Komentar: