BEBANAN ATAU DILEMA

Posted: Monday, July 18, 2011 by WZWY in Labels:
0

DI ANTARA TIGA SEBAB UTAMA berlaku selain komunikasi tidak berkesan dan tidak menunaikan solat lima waktu, TIDAK bijak menguruskan kewangan keluarga merupakan faktor utama punca perceraian. Setinggi mana rasa CINTA sebelum perkahwinan itu akan luntur apabila si suami gagal memenuhi kehendak kewangan keluarga masing-masing. 

BEBANAN HUTANG
Kesilapan pengurusan kewangan sebelum ini bakal mencengkam sesebuah pasangan dalam menguruskan rumahtangga mereka. Bebanan hutang yang 'terlampau' akan mengakibatkan pasangan tersebut akan sentiasa bermasam muka atau bergaduh. Apatah lagi mereka terpaksa menanggung pelbagai kos kehidupan. Bukan mudah untuk mengubah segala kesilapan sebelum ini. Perlukan masa dan perubahan cara perbelanjaan.

Ada cara mengubah?
Perlukan nasihat pakar atau menukar semula corak perbelanjaan keluarga. Jimat dan berhemah mungkin satu perkara yang perlu diberi perhatian. Si suami atau si isteri mungkin terpaksa mencari alternatif pendapatan lain. Walaupun begitu ia bukan semudah yang disangka jika kedua-dua mereka sibuk dengan pekerjaan sedia ada. Jika kedua-dua suami isteri duduk berbincang dan menilai semula pendapatan dan perbelanjaan bersama, mungkin dapat meredakan keadaan.

Cinta Boleh Beralih Arah
Ia tidak mustahil berlaku dalam dunia penuh pancaroba ini. Masing-masing ada cita-cita dan matlamat hidup. Jika dirasakan sudah tidak mampu, mereka akan cuba mencari alternatif lain dalam menjamin kehidupan mereka sendiri. Tanpa pebincangan maka akan wujudlah cinta baru setelah dirasakan pasangan mereka gagal menjamin kewangan keluarga. Dan ini bukan omongan kosong kerana pihak Jabatan Agama Perlis sendiri melaporkan bahawa pada tahun 2010, masalah kewangan keluarga ini menduduki carta teratas punca perceraian. Dan begitu juga berlaku di seluruh Malaysia. Jika sesebuah pasangan menurut hawa nafsu semata-mata tanpa memikirkan masa depan anak-anak ( jika ada ), maka sesuatu perceraian akan berlaku. Ia menakutkan tetapi ia suatu hakikat. Di sinilah letaknya tahap keimanan dan ketakwaan dalam diri masing-masing. 

Suami Boleh Berubah tetapi....
Seorang suami mungkin boleh berubah dari segi sikap atau perilaku mereka untuk menjadi seorang suami yang baik. Namun untuk berubah dalam masa terdekat berkaitan penyediaan kewangan yang cukup mungkin mengundang masalah. Bebanan hutang bukan boleh diselesaikan dalam masa singkat. Ia perlukan masa dan perancangan teliti. Di samping itu si suami perlukan sesuatu pekerjaan atau usaha lain untuk meningkatkan pendapatan mereka. Mustahil dalam masa sebulan dua selepas sedar tentang kesilapan lampau untuk terus berubah hasil pendapatan mereka menjadi lebih baik. Silap tetap silap, tinggal kini apabila sedar, maka perlukan penstrukturan semula hutang mereka. Si isteri perlulah membantu dengan ikhlas untuk selesaikan kemelut itu agar tekanan sedia ada suami dapat dikurangkan. jangan terus menekan atau memaksa berkaitan kewangan keluarga dalam masa terdekat. Bincang dan bulatkan hati masing-masing. Cari penyelesaian terbaik. Jangan hanya mengungkit dan mengungkit apa-apa kesilapan lalu seorang suami atau isteri. Sama-sama berdoa. Untuk anak-anak dan keluarga. Tidak wajar seseorang itu terus menyalahkan dan cuba 'angin baru' dengan mencari 'orang lain' pula untuk lari daripada kesempitan hidup itu. Perkara yang haram jangan dibuat walaupun dengan tujuan dirasakan baik untuk diri sendiri.

U-Turn Ke Jalan Lurus

Segala kesilapan lalu dijadikan sempadan kehidupan masa depan. Jangan jadikan ia satu alasan untuk meruntuhkan sebuah keluarga yang selama ini dibina bersama. Sama-sama merenung semula apa yang telah dilakukan. Pertingkatkan semula rasa kecintaan kepada Maha Esa. Insya-Allah apabila ada rasa cinta yang UTAMA maka cinta yang lain dan sah itu akan bertaut kembali. Sama-sama kembali semula menilai semula hubungan mereka. Jika inginkan keluarga sakinah, apakah garis panduan yang perlu dilakukan. Ia bukan semudah yang disangkakan. Sama-sama akui kesilapan masing-masing dan sama-sama berjuang semula untuk hidup bahagia. Masing-masing perlu IKHLAS. Ingatlah segala yang dilakukan dengan ikhlas akan memperoleh ganjaran berganda daripada Allah swt.

Hikmah Di Sebalik Yang Berlaku
Kita perlu yakin dan percaya setiap perkara yang berlaku itu di bawah kekuasaan Allah swt dan ada hikmah di sebaliknya. Sesuatu yang kita sendiri tidak ketahui kerana ia milik Allah swt. Sama ada ia perkara yang baik atau sebaliknya, kita harus redha dan mengambil keputusan yang betul dan bertepatan dengan syariat Islam. Benci walau macam mana sekalipun, kita perlu tahu bahawa pasangan kita adalah cerminan diri kita sendiri. Sesuatu itu berlaku ada sebab musababnya. Mungkin kita tidak sedar ia merupakan suatu UJIAN untuk mempertingkatkan tahap keimanan kita. Mungkin juga suatu balasan di atas segala perbuatan kita sendiri. Dan dingatkan segala ketentuan Allah swt itu jangan sesekali dikaitkan dengan perkara-perkara diharamkan seperti tilik nasib dan sebagainya. Kita ingat kita mendekatkan diri dengan Allah swt, tetapi perbuatan kita itu sebenarnya menjarakkan hubungan kita dengan-Nya. Nauzubillah!

Akhir Kalam

Semoga ia suatu peringatan berguna buat tuan/puan dan semestinya untuk diri saya sendiri. Masih lemah dengan kehidupan dunia ini. Ikutkan HATI mahu bertanya, kenapa perlu berlaku ini semua kepada diri sendiri. Namun masih sedar dan waras, ia suatu peringatan dan ujian daripada Allah swt. Pertingkatkan diri menjadi orang yang lebih baik, maka pasangan kita juga berada di kalangan orang yang baik dan beriman. Sentiasa BERDOA agar segala cubaan dan halangan hidup suatu inspirasi membina satu kekuatan untuk terus hidup. Doa itu adalah SENJATA MUKMIN. Maka saya akan terus berdoa dan berdoa sehingga memperoleh nikmat di penghujungnya. Insya-Allah. Jika diperkenankan oleh-Nya. Mahu mencintai dan dicintai sepenuhnya. Dengan Izin Allah swt semuanya itu. Kita hanya TADBIR dan TAKDIR itu milik ALLAH SWT.

0 Komentar: