TIADA ISTILAH GAGAL UNTUK ORANG BERJAYA

Posted: Sunday, May 17, 2009 by WZWY in Labels:
0

Siapa yang ingin gagal? Rasanya dalam sepuluh orang ditanya, pasti jawapan mereka tetap sama iaitu ingin berjaya dalam hidup.Walau bagaimanapun kenapa masih ramai yang gagal dalam usaha yang mereka lakukan? Adakah Allah SWT itu zalim? Sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Cuma yang penting kita kenali siapa diri kita, istiqamah dengan apa yang dilakukan dan melaksanakan segala perintah Allah SWT.

Kenapa saya baru hendak bermula sekarang sebagai penulis? Kenapa tidak sepuluh tahun dahulu? Adakah semua usaha dahulu menemui kegagalan? Bolehkah saya menjadi seorang penulis? Nampaknya pelbagai persoalan yang harus saya selesaikan.Walau bagaimanapun adalah cukup untuk saya nyatakan bahawa perkara-perkara yang dilakukan sebelum ini dianggap sebagai proses belajar untuk mematangkan diri.

Secara ringkas apa yang telah diusahakan sebelum ini selain tugas rasmi sebagai seorang pendidik sejak penghujung tahun 1994 dan lokasi pertama ditempatkan ialah di SMK Tungku, Lahad Datu, Sabah. Ia suatu pengalaman yang sukar pada waktu itu tetapi saya percaya masih ramai lagi rakan-rakan yang lebih sukar dalam menabur bakti sebagai pendidik terutama di Kepulauan Borneo ini. Kisah semasa bertugas di Sabah akan diceritakan pada masa-masa akan datang, Insyallah.

Selepas bertugas di Lembah Klang, ia suatu pengalaman yang jauh berbeza. Semua perkara perlu dilakukan dengan pantas dan bijaksana. Jika tidak, kita akan hanyut dan gagal menempatkan diri dalam suasana kota kosmopolitan ini. Semua perkara memerlukan kos sama ada ia besar atau kecil. Oleh itu, bermulalah pengalaman yang tidak pernah dilakukan semasa bertugas di Sabah selama lapan tahun iaitu menjadi guru tuisyen dari rumah ke rumah, multilevel marketing (MLM), agen insurans dan seterusnya pedagang matawang asing dalam talian.

Pelbagai pengalaman ditempuhi dan banyak suka duka dalam mengharungi kehidupan dengan melakukan dua tiga kerja dalam satu masa.Walau bagaimanapun ia bukanlah sesuatu perkara yang pelik dan ia sudah menjadi satu 'budaya' apabila tinggal di bandar-bandar besar terutama di Lembah Klang ini. Dalam senarai pekerjaan separuh masa yang pernah dilakukan, pekerjaan sebagai pedagang mata wang asing dalam talian atau pun lebih popular dikenali sebagai 'Forex Trading' yang agak mencabar dan memberi pulangan yang agak lumayan. Walau bagaimanapun dengan pelbagai isu yang berlaku, maka saya harus mencari alternatif untuk meneruskan kehidupan ini dengan lebih bermakna lagi. Oleh itu, salah satu usaha yang sedang dilakukan ialah menempatkan diri dalam Zon Planet Penulisan. Semoga usaha ini diberkati dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Semoga kita berjumpa lagi dalam pos seterusnya tentang mengenali diri kita yang sebenarnya dan syarat-syarat yang wajib saya lakukan jika ingin menjadi penulis.

Wassalam!

0 Komentar: