Imran tersipu-sipu malu mendengar kata-kata Ustaz Zikry. Perlahan-lahan dia mengangguk.
"Saya juga ada impian," kata Ustaz Zikry lagi.
"Apa impian ustaz?" soal Imran ingin tahu.
"Impian saya, mahu melihat anak bangsa saya berjaya dalam sukan pingpong," terang Ustaz Zikry.
Imran tersentak mendengar kata-kata Ustaz Zikry.
"Jadi saya mahu kamu buktikan yang kamu boleh lakukannya walaupun dengan hanya memakai jersi bola," ujar Ustaz Zikry dengan bersemangat.
Imran ketawa mendengar kata-kata Ustaz Zikry. Dia teringat dalam perlawanan tahun lepas, mereka meminjam jersi pasukan bola sepak keran tidak mempunyai jersi sendiri. Selepas mereka berjaya merangkul kejuaraan, barulah pihak sekolah memberi peruntukan bagi membuat jersi khas pasukan ping pong.
"Saya mahu pemain-pemain saya mencontohi Shakirin Ibrahim, pemain pingpong utama negara sekarang. Tetapi impian itu tidak mudah dilaksanakan, Imran. Jadi..." kata-kata Ustaz Zikry terhenti.
"Jadi apa ustaz?" soal Imran tidak sabar.
"Jadi saya sudah merangka sesuatu untuk dilakukan sepanjang cuti nanti,"
Belum pun sempat Ustaz Zikry menghabiskan kata-katanya, loceng berbunyi menandakan waktu rehat tamat.
************
Impian Juara adalah sebuah tajuk novel awal remaja yang bertitik tolak daripada hasrat saya pada bulan April 2009 lepas.
"Saya ingin berjumpa dengan tuan petang ini," saya memulakan perbualan melalui telefon dengan Editor Kanan Galeri Ilmu Sdn Bhd, Encik Zakaria Sungib.
"Saya mahu jadi penulis," ujar saya terus terang.
" Boleh, insya-Allah,"
"Tapi saya tidak tahu apa yang mahu saya tulis," balas saya lagi.
"Tulislah sesuatu yang dekat dengan saudara," jawab Encik Zakaria.
"Kebetulan pada bulan depan, pihak kami akan mengadakan Bengkel Penulisan Novel Remaja Islami, saya rasa bagus untuk saudara datang," Encik Zakaria memberi cadangan.
"Tapi.." saya mula risau.
"Kenapa?"
"Saya tidak pernah beli atau baca novel sebelum ini,"
"Itu bukan suatu halangan, saudara boleh mulakan daripada sekarang," pujuk Encik zakaria.
Bulan Mei 2009, saya mula mengenali dunia penulisan. Apa itu tema, watak perwatakan, plot, gaya bahasa dan sebagainya. Walaupun semasa belajar di tingkatan lima dan enam dahulu, mata pelajaran sastera sudah diterokai, namun ia masih belum cukup untuk berkecimpung dalam bidang ini.
Selepas itu saya terus berdayung dalam arus penulisan ini. Alhamdulillah, pada bulan Jun 2009, sinopsis novel awal remaja siap. Namun bukan suatu usaha mudah, apabila ia berulang kali keluar masuk daripada kotak email.Beberapa kali Encik Zakaria meminta saya mengubahnya. Akhirnya pada bulan Julai 2009, sinopsis diluluskan seperti mana ditulis dalam Impian Juara.
Di dalam proses penulisan manuskrip itu, saya mula semakin dekat dan cinta terhadap dunia penulisan. Bengkel Penulisan Novel Kusyi Hirdan saya kunjungi selepas itu dan diikuti pula Bengkel Penulisan Cerpen anjuran KEPEZI ( Kelab Penulisan Zaharah Nawawi) yang diadakan di Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Lebih kurang sebulan selepas itu, seingat saya dalam bulan September 2009. Manuskrip siap dan dihantar ke meja Encik Zakaria. Cuma agak kelakar juga kerana saya begitu ghairah sehinggakan proses pengeraman tidak dilakukan sebaik mungkin. Siap sahaja ayat terakhir, saya katakan kepada Encik Zakaria.
"Manuskrip sudah siap,"
Selepas itu saya mula sibuk berhubung dengan penyunting novel ini, Puan Zulina Hassan. Salah seorang novelis dan bekas wartawan yang saya hormati. Dia banyak mengajar dan memberi bimbingan serta teguran kepada saya. Kalau tidak, Impian Juara tidak akan diterbitkan seperti mana hari ini. Terima kasih....
Barulah saya tahu, bukan senang rupanya menjadi seorang penulis walaupun ia sebuah naskhah setebal 114 muka surat. Tapi cabaran ini telah memberikan saya suatu kepuasan tidak terhingga. Daripada impian saya mahu menulis pada bulan April 2009, dan pada bulan Disember 2009 Novel Impian Juara berada di toko-toko buku. Bagai mimpi apabila sebuah buku tertera nama Zayu Hisham sebagai penulisnya. Itulah Keazaman Membara menjadi suatu realiti. Syukur ke hadarat Ilahi di atas keizinan-Nya.
*Terima Kasih kepada saudara Nimoiz Ty, penulis buku 'menjadi Penulis Jutawan' yang memberikan saya inspirasi untuk menulis sebelum ini. Walaupun saya telah miliki buku ini pada April 2007.Saya tidak jangka selepas 2 tahun.Ia baru direalisasikan.
*Terima kasih Galeri Ilmu Sdn Bhd kerana beri ruang dan peluang untuk saya belajar dan menulis.
*Terima Kasih kepada saudara Nimoiz Ty, penulis buku 'menjadi Penulis Jutawan' yang memberikan saya inspirasi untuk menulis sebelum ini. Walaupun saya telah miliki buku ini pada April 2007.Saya tidak jangka selepas 2 tahun.Ia baru direalisasikan.
*Terima kasih Galeri Ilmu Sdn Bhd kerana beri ruang dan peluang untuk saya belajar dan menulis.
Assalamualaikum sdr Zayu Hisham. Tahniah dari saya. Saya juga yang tetap menjadi pembaca dan peneliti yang setia. Karya? Tiada.