Kenapa mereka boleh berjaya?

Posted: Saturday, May 8, 2010 by WZWY in Labels:
4

Kata seorang sahabat. " Kenapa sampai usia sekarang saya masih lagi ditakuk lama?"

"Kenapa Si A boleh berjaya sekarang?"

"Macam mana Si B boleh buka syarikat besar?"

"Rasanya aku sudah berusaha tapi masih lagi tidak berjaya."

"Macam mana kau boleh menjadi penulis sekarang?"

Pelbagai persoalan berlegar dan diajukan. Apakah jawapan terbaik yang perlu saya berikan dan boleh memuaskan hati seorang sahabat.
Setiap daripada kita sudah dijanjikan oleh Allah s.w.t berkaitan soal rezeki.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berkata," Wahai anak Adam, Aku ciptakan kamu maka kamu jangan bermain-main dan Aku jamin rezekimu maka kamu jangan merasa letih. Wahai anak Adam, carilah Aku, maka engkau akan menemukan-Ku. Apabila engkau menemukan Aku, engkau mendapat sesuatu dan Aku mencintaimu lebih dari segalanya."

Ia cukup cantik dan jelas kepada kita. Betapa besarnya kasih sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Allah menyuruh kita mencari rezeki yang ada di muka bumi ini tanpa henti kerana Allah sudah menyediakan rezeki tersebut.Mengapa kita masih ragu-ragu lagi tentang rezeki Allah? Cita-cita mahu kaya? Ia tidak salah selagi kita berusaha tanpa jemu.

Saya juga masih  berusaha untuk menggapai cita-cita menjadi salah seorang penulis berjaya. Ia bukan mudah dan ia tidak boleh dipandang enteng. Banyak perkara yang perlu dilakukan. Ia tidaklah pelik kerana semua orang berjaya melakukan perkara yang sama.

Kita tidak boleh berprasangka buruk kepada Allah, terutama dalam soal rezeki. Menetapkan visi hendak berjaya atau mahu kaya adalah prasangka baik kepada Allah. Insya-Allah, Allah meredhai cita-cita kita apabila kita mendekatkan diri kepada-Nya.

Apa yang boleh saya kongsi dengan sahabat tersebut ialah :

1- Hakikat rezeki yang saya pelajari dan baca adalah terbahagi kepada tiga kategori :

a- Rezeki madmun iaitu rezeki yang dijamin. Ia adalah rezeki yang menjadi pokok untuk keperluan hidup, badan, dan badan tidak akan kekal ada kalau rezeki itu tidak ada ( seperti makan, minum dan udara yang dihirup untuk hidup). Inilah yang wajib bertawakal kepada Allah kerana Allah telah menjamin bagi tiap-tiap manusia, dengan mafhum firmannya dalam surah Hud ayat 6 :

" Tiada yang berjalan di atas muka bumi melainkan rezekinya atas Allah."

b- Rezeki maqsum iaitu rezeki yang dibahagikan. Ia adalah rezeki yang dibahagikan oleh Allah dan ditentukan qadarnya di Luh Mahfuz daripada makanan, minuman dan pakaian.

c- Rezeki mau'ud iaitu rezeki yang dijanjikan. Ia adalah rezeki yang dijanjikan Allah dengan syarat taqwa, halal lagi senang mendapatkannya. Allah menjelaskan di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud, " Apabila kamu bersyukur, pasti Aku menambah nikmat kepadamu, tetapi apabila kamu mengingkari nikmat-Ku sesungguhnya azab-Ku sangat berat."

2- Kunci pertama untuk menjadi salah seorang yang berjaya ialah disiplin diri. Oleh itu, kita perlu mengoptimumkan potensi diri dan meningkatkan disiplin. Jika tidak, kita akan terus berada ditahap sama dan tidak berubah-ubah.

3- Berani bercita-cita, berani berubah dan berani menilai diri sendiri. Seseorang yang berjaya bukanlah suatu kebetulan tetapi dia telah melalui beberapa proses untuk berjaya. Dalam konteks dunia penulisan pula. Saya perlu berjumpa orang terlibat dalam dunia penulisan, membaca, menyertai bengkel penulisan dan menulis.

4- Di antara sifat yang wajib ada di dalam diri seseorang yang mahu berjaya ialah kegigihan, ketabahan dan pantang menyerah kalah. Saya masih ingat lagi apabila 'proposal' pertama saya hantar ke meja editor perlu diubah hampir 70%.Jika saya terus berkeras atau menyerah kalah, maka sampai sekarang tiada satu karya pun terhasil dan saya pun tidak lagi berkecimpung di dalam dunia penulisan ini.

5- Keazaman Membara. Ini adalah kekuatan saya selama ini. Lima proses Keazaman Membara yang saya pelajari daripada tulisan Dr. Asrul Zamani. Lima proses tersebut saya sebutkan secara ringkas pada entri kali ini. Insya-Allah pada entri akan datang saya akan perincikan apakah proses-proses tersebut.

Proses mencipta keazaman membara itu ialah :

1- Menetapkan matlamat.
2- Menghasilkan keazaman membara.
3- Perancangan.
4- Bertindak.
5- Peliharalah keazaman membara anda agar ia kekal hidup.

6- Dua buah buku lagi yang menjadi panduan saya sebelum ini ialah Law of Attraction dan Quranic Law of Attraction. Ia juga banyak membantu dari segi kekuatan dalaman untuk terus berusaha dan menjadikan impian suatu realiti.

Wallahualam, ia sekadar suatu perkongsian ilmu daripada seorang yang masih berusaha keras untuk mendaki puncak kejayaan.Ingatilah Allah dan dekatilah Allah. Semoga segala usaha kita diberkati. Insya-Allah.

4 Komentar:

  1. Anonymous says:

    Assalamualaikum! Tuan Wan Zayu...hamba mohon penjelasan ttg maksud kejayaan sebenarnya bagi seseorang hamba Allah...Dan tolong kemukakan dalil yang jelas samada drpd ayat2 Allah atau hadis rasulnya yg menyuruh kita mencari rezeki...

  1. Anonymous says:

    Assalamualaikum! Terima kasih atas usaha ustaz Wan untuk menulis...sememangnya kerja menulis ini adalah kerja yg mulia...kerja para ulama'...cuma pesan hamba setelah membaca berulang kali hadis Qudsi yg ustaz wan tulis tu...dan kaitan dgn perenggan berikutnya itu semacam ada sedikit kekeliruan faham dgn apa yg hamba faham...maka ingin hamba kongsikan dgn ustaz wan tentang apa yg hamba faham...mana yg baik itu jadilah pedoman...dan yg buruk itu jadikanlah sempadan... maksud hadis tu..."Aku ciptakan kamu" ialah Allah menyatakan bahawa Dialah tuhan yg sebenarnya..."Jgn kamu bermain2" maksudnya Allah tidak menciptakan kita dgn sia2 melainkan utk beribadah kpdNya..."Jgn kamu merasa letih" maksudnya jgn kamu memenatkan dirimu mencari perkara yg sia2 yg tidak dpt menolong mu di akhirat kelak..."Carilah Aku" maksudnya carilah ilmu yang dapat mengenal Allah,yakni dgn mempelajari ilmu tauhid,mengetahui sifat2 yg wajib, mustahil dan harus bagi Allah, utk mengesahkan bahawa akidah mu itu adalah benar2 akidah Ahlussunnah..."kamu akan menemui Aku" maksudnya dgn mempelajari ilmu tersebut baharulah kamu dpt mengenal Allah..."apabila kamu menemukan Aku kamu akan memperolehi sesuatu" maksudnya apabila kamu mengenal Allah sebagaimana yg tersebut itu, maka kamu akan memperolehi balasannya..."Aku mencintaimu melebihi segala2nya" maksudnya itulah balasan bagi mereka yg telah mengenal Allah Taala, yakni kasih sayangnya yang paling berharga dari Maha Pengasih...
    Yang terpenting dari hadis ini ialah Allah menyuruh kita menuntut ilmu yg boleh membawa kita kpd mengenal Allah...yakni tuhan tempat kita mempersembahkan ibadah yg kita kerjakan...bukannya mancari rezeki...kerana rezeki itu sudah dijamin Allah sebagaimana yg telah ustaz jelaskan pd perenggan yg berikutnya...iaitu rezeki yg madhmun...maksum...mau'ud...dan satu lagi yg belum ustaz jelaskan iaitu....mamluk(ustaz rujuklah kpd kitab minhajul abidin) Jadi...jgnlah kita menyibukkan dan membimbangkan diri dlm soal rezeki, beribadah kpd Allah dgn tenang...Carilah rezeki sekadar menolong kamu utk beribadah kpd Allah... sehingga dpt mengeluarkan zakat dan haji dan selebihnya utk bersedekah dan menolong org susah...jgnlah mencari rezeki sehinggakan lalai drpd beribadah kpdNya spt meninggalkan solat dll kewajiban semasa...sekadar itu komen saya...mohon maaf andai ada terkasar bahasa...yg baik itu dar Allah dan yg kurang baik itu dr sy sendiri...ku mohon keampunan dr Allah utk ku dan juga ustaz dan seluruh kaum muslimin.....

  1. WZWY says:

    Alhamdulillah..terima kasih di atas perkongsian tuan. Saya juga dapat manafaat.

  1. WZWY says:

    Di dalam al-Quran ada disebut perkataan kejayaan beberapa tempat. Antaranya ialah awal surah al-Mukminun. Kejayaan dalam surah ini disebut dengan lafaz "Aflaha" maksudnya 'Amat berjaya'. Iaitu pada ayat pertama, di awal juzuk 18. Maksud firmannya "Telah berjaya seorang mukmin itu. Iaitu mereka yang khusyuk menunaikan solat." dan ayat seterusnya.

    Seterusnya juga kejayaan di dalam al-Quran disebut dengan lafaz "Faza" yang berasal dari faiz. Maksudnya tepatnya pemenang. Ini boleh dirujuk di dalam ayat 185, surah Ali Imran yang bermaksud "Sesiapa yang terlepas dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah menjadi pemenang"

    Al-Quran menyatakan bahawa kejayaan di dunia bagi seorang Islam ialah apabila dia beriman kepada Allah dan mampu menunaikan solat dengan khusyuk. Ini kerana dunia adalah medan ujian, orang yang gagal adalah orang yang lalai dari mengingati Allah dan lupa melaksanakan tanggungawab. So, sesiapa yang kuat ingatan pada Allah dalam masa yang sama berjaya menjaga solat maka dia telah berjaya menjadi HAMBA ALLAH.

    Lalu, kemenangan terbesar bagi seorang Islam ialah apabila dia dimasukkan ke dalam syurga. Maka, saat itu dia dianggap JUARA dan PEMENANG sebenar. Manakala Kegagalan sebenar ialah mereka yang tewas di dunia dan dilontarkan ke dalam neraka.

    So, berjaya di dalam Islam itu mudah. Solat dan syurga. Gagal di dalam Islam itu mudah. Kufur(lalai) dan Neraka.

    Terima kasih buat Ustaz A.Ubaidillah Alias di atas penerangan di atas.

    Segala kekurangan dan kelemahan saya mohon ditegur dan diperbaiki. Semoga kita semua dirahmati-Nya.