2 Cerita 1 Hari

Posted: Wednesday, May 23, 2012 by WZWY in Labels:
0

SATU CERITA yang agak menyedihkan tentang segelintir masyarakat Islam di persekitaran kita. Kedua, sebuah cerita 'biasa' tetapi boleh diambil manfaat oleh sahabat-sahabat.

Saya mulakan dengan yang pertama. Selepas habis waktu kerja dan singgah sebentar di Kota Damansara untuk membuat pembayaran kad kredit di salah sebuah bank berhampiran simpang tiga berdekatan stesen minyak Shell. Selepas ini perancangan mengambil isteri di Hospital Sungai Buloh.

Saya terpaksa parkir kereta agak jauh dan berjalan melalui blok bangunan bersebelahan bank berkenaan. Dari jauh saya agak tertarik dengan gelagat seorang lelaki Melayu yang agak tegap dan fesyen rambut ala komando duduk di meja luar sebuah restoran. Sekejap pandang ke atas, sekejap ke bawah dan sekejap ke tepi. Kedua-dua mata mula membesar dan kemudian mengecil. Saya berhenti seketika kira-kira 10 meter di depan lelaki berkenaan.

Saya perhatikan apa yang dibuatnya dengan sehelai kertas di depannya. "Mungkin sedang mencatat nota atau senarai barangan." Saya berfikir demikian.

Apabila saya perlahan-lahan berjalan di sebelahnya, mata saya sempat menjeling ke arah meja lelaki berkenaan.

Alahai...rupa-rupanya dia sedang mencari ilham.
Benar ia mencari ilham nombor mana yang bakal naik.
7474, 4747, 7744, 4477. Inilah angka yang sedang ditulisnya. 

Saya menggeleng seketika. Badan tegap, tubuh badan sihat tetapi kerja 'tikam nombor' menjadi pilihannya. Memang patut dia berada di situ kerana deretan kedai nombor ekor bertapak di sini sehingga saya sampai ke muka pintu bank. Saya perhatikan di dalam kedai-kedai tersebut terselit 2-3 orang lelaki Melayu. Ada yang siap bertopi keledar.

Bukan lagi kira soal HALAL atau HARAM. Janji mudah dan berikan 'keuntungan'. Tidak pasti berapakah jumlah orang Islam yang kaya raya disebabkan gila judi. Kalau tonton cerita God Of Gambler, digambarkan para penjudi yang kaya raya. Namun begitu, entah apalah nasib orang-orang kita yang masih berjudi walaupun sedar ia dilaknati oleh Allah.

Bila fikirkan lagi. Rezeki inikah yang bakal dibawa balik untuk menyara keluarga. Itu jika menang. Kalau asyik kalah, tentu anak dan isteri akan menjadi mangsa. Saya juga terfikir tadi untuk minum semeja dengan lelaki berkenaan. Kemudian cuba bertanya, berapa banyak modal dan untung berjudi. Bila fikirkan soal keselamatan diri sendiri. Saya masih lagi lemah dan belum ada kekuatan untuk itu. Namun begitu, saya berdoa agar berjumpa lagi dengan lelaki berkenaan dan cuba bertanya khabar dan sampaikan apa yang sepatutnya. Insyallah.

Cerita kedua pula saya rasa ramai sudah mengalaminya. Bukan soal besar pun. Hanya berkaitan isu 'parking' di Hospital Sungai Buloh. Setiap kali saya ke sana, pasti sukar untuk parkirkan kereta. Biasanya terpaksa parkir di luar pagar. Lagi mudah dan tidak pening kepala. Cuma agak jauh berjalan.

Sebelum sampai ke perkarangan hospital, saya teringat tentang masalah 'parking'. Terlintas di hati saya agar urusan hari ini dipermudahkan. Saya beristighfar 10 kali dan membaca sekali surah Al-Fatihah. Pesan guru, bacalah mana-mana surah yang mudah diingati dan mohonlah sesuatu yang baik daripada Allah.

Selepas itu dengan penuh yakin berdoa, "Ya Allah, berikan aku kemudahan untuk 'parking'kan kereta pada petang ini. Biarlah ada satu petak 'parking' kosong untuk aku."

Sebaik sahaja memasuki perkarangan hospital, saya terus belok kanan ke kawasan parking di depan pintu utama. Biasanya saya 'parking' berdekatan cafe. Bila masuk kawasan 'parking' kelihatan tiada petak kosong. Memang pun, ada banyak kereta terpaksa 'parking' di luar tadi. Tiba-tiba, "Eh! Cantik pula tempat kosong di depan sana." Dua tiga buah kereta di depan saya tadi meluncur laju mencari petak 'parking' berhampiran cafe. 

Alhamdulillah. Tidak sampai satu minit, terus masuk 'parking' dengan aman damai. Wah! Sesungguhnya jika Allah izinkan, maka ia mudah untuk kita. Berdoa dan yakin pada-Nya.

Sekian.

0 Komentar: