9 Nyawa.....

Posted: Tuesday, February 16, 2010 by WZWY in Labels:
0

Novel terbaru karya novelis tersohor Ramlee Awang Murshid setebal 519 muka surat akhirnya sampai ke noktah terakhir.

Sejujurnya, ia merupakan novel pertama karya RAM yang saya beli dan baca. Sebelum ini hanya dengar daripada rakan-rakan tentang keunikan hasil tulisan beliau. Sehingga salah seorang rakan menawarkan untuk meminjamkan saya koleksi beliau. Saya menolak dan ingin membelinya sendiri jika ia sesuatu hasil berbaloi.
Pada 7 Februari 2010 yang lepas, saya  membelinya di MPH Shah Alam dan mula membaca bab ke bab.Walaupun ia memakan masa hampir 9 hari baru sampai titik akhir, saya sentiasa teruja ketika menatap helai demi helai novel ini. Saya sengaja melambatkan proses pembacaannya. Saya mahu setiap hari, ia menjadi teman setia. Oleh sebab itu, sebelum tidur pun saya akan membaca sekurang-kurangnya tiga helai muka surat. Saya mahu hayati sepenuhnya penceritaan 9 Nyawa ini. Di samping itu saya akan mencatat beberapa perkataan baharu untuk dimasukkan ke dalam buku catatan saya.

Saya bukan membaca semata-mata ingin tahu apa yang tersurat sahaja. Saya ingin mengenali cara RAM berkarya. Saya kagum dan tabik di atas hasil usaha beliau. Cukup mendebarkan. Baharulah saya teringat pada penghujung tahun lepas apabila bercerita tentang karya-karya RAM dengan salah seorang rakan sekerja. Saya bertanyakan beliau, kenapa RAM digelar Novelis Thriller Nombor 1 Malaysia? Apa yang dimaksudkan 'thriller'? Beliau hanya mencadangkan saya kenali dulu hasil buah tangan RAM, kemudian baharu tahu apa jawapannya. Kini, baharu saya tahu kenapa karya-karya beliau menjadi peneman setia peminat-peminatnya.

AKhirnya, saya juga terpengaruh dan akan mendapatkan karya-karya RAM sebelum ini. Novel Tombiruo dan Tombiruo Terakhir akan menjadi tatapan saya pula selepas ini.

Berkenaan novel 9 Nyawa pula, walaupun pada peringkat awalnya saya agak berpinar-pinar dan kekok ketika membacanya. Lama kelamaan ia menjadi semakin menarik dan kagum dengan cara garapan RAM. Kisah alam nyata dan alam ghaib digarap dengan sempurna oleh beliau.

Oleh sebab itu, saya semakin tidak sabar untuk menghadiri kursus penulis skrip drama anjuran AVA. Ia amat berguna untuk diaplikasikan di dalam penulisan novel dan ia sesuatu yang menarik. Saya berazam untuk menulis sebagaimana RAM dan akan terus belajar menjadi lebih baik. Amat beruntung jika suatu hari nanti saya berpeluang bersemuka dan berguru dengan beliau.Insya-Allah ia dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Hati berasa puas.....

0 Komentar: