Katil No 3 Wad 8C

Posted: Wednesday, May 25, 2011 by WZWY in Labels:
0

24 Mei 2011 

Sejak dua hari lepas kesihatan Zikry agak terganggu. Batuknya menjadi-jadi. Walaupun sudah diberikan ubat batuk, nampaknya ia masih belum pulih. Tambahan pula, ia selalu dijangkiti selsema. Sejak diserang penyakit asma/pnemonia ketika usia 3 tahun, kesihatannya masih belum baik sepenuhnya. 

Berkejar ke klinik swasta 

Pada pukul 9.50 malam, saya lihat keadaan dirinya agak penat sejak pulang dari sekolah petang tadi. Dia juga bernafas agak sukar. Ambil keputusan ke klinik swasta berhampiran. Apabila doktor memaklumkan bahawa Zikry perlu dirujuk ke hospital, dalam fikiran saya hanya satu...MASUK WAD SEKALI LAGI. Pernafasan Zikry juga agak lemah. Mahu tidak mahu pada malam itu juga saya terus memecut ke Hospital Sungai Buloh.

Masuk Wad 8C

Setelah mendapat rawatan kecemasan di Unit Kecemasan lebih kurang dua jam, Zikry disahkan supaya masuk wad. Walaupun sudah tiga kali di beri ubat 'nebulizer', pernafasannya masih terganggu. Cuma apa yang dikasihankan apabila dia menangis ketika pembantu perubatan memasukkan jarum untuk memasukkan ubat ke tubuhnya. Apatah lagi dia terpaksa kena dua kali.MUla-mula sebelah kiri tetapi gagal. Kemudian dialihkan ke tangan kanan pula. Lebih kurang pukul dua pagi, Zikry dibawa masuk ke Wad 8C. Saya juga agak risau melihatkan dia tidak memberi respon yang baik terhadap ubat yang diberikan kepadanya.

Katil Nombor Tiga

ZIkry di tempatkan di katil nombor tiga. Bilik wad yang agak selesa. Sesuai dengan usia hospital ini yang masih baru. Kakitangan yang mesra dan cekap.

Seingat saya Zikry sudah masuk kali kelima tidur di katil hospital sejak dia sakit enam tahun yang lepas. Bermula di Hospital Kuala Terengganu, kemudian pindah ke Hospital Kota Bharu, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan terbaru di Hospital Sg. Buloh.

Zikry pun sudah mula menunjukkan perkembangan positif. Dia sudah boleh bangun dan ikut serta ke surau di tingkat bawah. Cuma batuk berkahak dia masih belum berkurang. Selera makan tiada masalah. ALhamdulillah. Semoga dalam tempoh masa 1-2 hari lagi dia dapat keluar wad dan dibenarkan pulang.

Sambung kerja penulisan

Suasana di bilik wad pun agak selesa. Saya pun boleh ambil kesempatan menyambung tugasan penulisan manuskrip siri kedua Adib Adibah. Sudah tertangguh sejak tiga bulan yang lalu apabila saya buat semakan semula manuskrip Impian Juara 2. Dan bersyukur kerana Impian Juara 2 sudah pun berada di pasaran. Cuma kadang kala di wad kanak-kanak ini,ia suatu kebiasaan dengan suara tangisan dan esakan kanak-kanak. Timbul rasa kasihan juga apabila tidur mereka dikejutkan untuk diberikan ubat dan rawatan.

Saya berdoa agar semuanya baik dan Zikry dapat sembuh cepat. Semoga ALlah perkenankan. Amin. Terima kasih kerana membaca entri ini hingga ke titik terakhir.

Wallahualam.

* Terima kasih buat keluarga dan rakan-rakan yang doakan kami.
* Terima kasih banyak-banyak buat 'mi amour' isteri tercinta kerana terpaksa seorang diri menguruskan tiga lagi hero.

0 Komentar: