LANGKAH DEMI LANGKAHMU KU BILANG

Posted: Monday, May 30, 2011 by WZWY in Labels:
0

KU PANJATKAN RASA SYUKUR KE HADARAT ILAHI.

ALHAMDULILLAH...akhirnya IMPIAN isteri untuk menjejakkan kaki ke tanah suci terlaksana. Tinggal hanya saya masih belum ada rezeki untuk ke sana. Azam tetap ada, cuma waktu sahaja jadi penentu.

Langkah demi langkah isteri ku bilang. Makin jauh makin sayu rasanya. Anak-anak juga begitu. Anak bongsu siap bertanya lagi, "Umi nak pergi mana?"

Hanya lambaian selamat tinggal yang mampu. Insya-Allah, pada 11 Jun nanti akan kembali semula ke tanah air. Pemergian isteri untuk mengerjakan ibadah umrah sudah dirancang agak lama. Masa dan keadaan sahaja jadi pemisah. Kebetulan suami saudara sebelah isteri mengendalikan pakej umrah. Alhamdulillah, akhirnya terlaksana.

Kini, selama lebih kurang sepuluh hari saya perlu menguruskan anak-anak. Dan tugas rasmi di pejabat. Minggu cuti ini adalah giliran saya pula bertugas. Tidak boleh katakan "TIDAK" lagi. Seminggu cuti pada bulan Mac yang lalu, rakan sejawat sudah sudi jadi pengganti.

Kali ini situasi agak sulit sedikit. Saya akan berkejar di dua lokasi. Di rumah, perlu melayan tiga hero. Dan kebetulan pula sejak 25 Mei yang lepas, anak nombor tiga iaitu Wan Muhammad Zikry masih ditahan di wad Pediatrik Hospital Sungai Buloh. Saya minta isteri jangan risau. Laksanakanlah IMPIAN itu. Saya di sini masih kuat lagi untuk menguruskan anak-anak.

Cuma yang merisaukan saya ialah pada esok hari, 31 Mei 2011. Anak pertama dan ketiga dihantar untuk menyertai kursus ibadah di Surau Al-Mukhlisin Taman Puncak Perdana selama dua hari. Hijazi, anak bongsu perlu diletakkan di rumah adik (kebetulan masih dalam pantang bersalin). Kasihan juga. Tapi saya tidak dibenarkan membawa Hijazi ke wad kerana kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenar masuk. Moga dipermudahkan.

Ini adalah tanggungjawab.

Doakan sahaja dipermudahkan. Insya-Allah, Allah akan tunjukkan jalannya. Hati perlu yakin. Ikhlaskan diri dalam setiap apa yang dilakukan.

Apa yang saya perlu ingat, " Selangkah kita menuju Allah, seribu langkah Allah mendekati kita."

7.30pm
Wad Pediatrik 7A
Hospital Sg. Buloh.



0 Komentar: