0
ALHAMDULILLAH pada 09 Mei 2011 yang lepas, majlis pelancaran novel terbaru saya iaitu IMPIAN JUARA 2 berjaya disempurnakan dengan jayanya.
Majlis serba ringkas itu diadakan di perkarangan tapak perhimpunan SK PPR Lembah Subang, Petaling Jaya.
Terima kasih tidak terhingga buat Guru Besar Puan Norhayati Binti Bakri yang sudi merasmikan majlis tersebut.
Begitu juga buat barisan pentadbir sekolah iaitu En. Bahruddin Abd. Wahab dan Tuan Haji Mansor Bin Haji Mokhtar yang sentiasa memberikan sokongan. Tidak lupa kepada guru-guru dan murid-murid di sekolah ini.
Masih segar dalam ingatan pada tahun lepas saya membuat dua pelancaran novel di tapak perhimpunan SK Taman Medan, Petaling Jaya. Pertama pada bulan Januari 2010 untuk novel sulung iaitu IMPIAN JUARA. Kemudian disusuli pula Novel Adib Adibah : Ops Menjejak Pencuri pada bulan Oktober 2010.
TIGA BUAH NOVEL
Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran di atas izin-Nya saya berjaya menyiapkan TIGA buah novel sepanjang saya berkecimpung selama hampir DUA tahun dalam dunia penulisan novel ini. Bagi saya ia satu pencapaian yang tidak dijangkakan. Memang hasrat awal untuk menyiapkan sekurang-kurangnya TIGA buah novel pada tahun lepas, namun kesibukan tugasan rasmi dan pelajaran membuatkan siri kedua Adib Adibah masih tersimpan sebagai manuskrip. Insya-Allah sambungan penulisan siri kedua itu akan disambung pada cuti sekolah nanti. Di samping itu saya sedang merangka penulisan NOVELET. Projek terbaru Galeri Ilmu Sdn Bhd.
KENALI DIRI
Masa berlalu cukup pantas. Tanpa sedar, kita sudah masuk bulan kelima pada tahun 2011 ini. Banyak perkara berlaku dalam tempoh lima bulan awal ini. Ia perlu ditanggani dengan bijaksana dan penuh kesabaran. Bagi saya setiap apa berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Allah mahu menguji sejauh mana kemampuan kita. Allah mahu beri ruang untuk saya muhasabah diri. Kenali diri semula. Dekatkan diri pada Maha Kuasa. Sukar atau senang, kita perlu tabah dan berusaha untuk mencapai apa yang diinginkan.
HARAPAN BUAT IMPIAN JUARA 2
Saya mengambil masa yang paling lama berbanding dua buah manuskrip terdahulu untuk disiapkan. Oleh itu, saya amat mengharapkan novel IMPIAN JUARA 2 ini dapat memenuhi selera khalayak pembaca. Terima kasih di atas bantuan penyunting Puan Zulina yang banyak membantu. Begitu juga buat Tuan Amir dan Tuan Haji Zakaria di meja editor GISB. Watak Imran dikembang sedemikian rupa bagi memberi kelainan berbanding IMPIAN JUARA terdahulu. Begitu juga dengan penambahan watak baru iaitu Adam Lee. Semoga novel ini dapat diterima baik dan ada manafaat untuk semua pembaca. Insya-Allah.
Terima kasih buat semua pembeli IMPIAN JUARA 2. Segala komentar amat dialu-alukan. Hantar ke kotak email saya wanzayu@gmail.com.
Wassalam.