DEKAT TAPI JAUH

Posted: Monday, August 15, 2011 by WZWY in Labels:
0

"Dunia semakin mengecil sekarang," kata seorang sahabat.

"Awak rujuk kajian siapa?" Tidak puas hati bertanya.
"Tidak perlu dikaji-kaji. Buat penat sahaja," jawab selamba.

"Kenapa?"

"Kemajuan teknologi yang mengecilkan dunia ini. Dulu jika mahu balik kampung, kita perlu ambil sehingga sehari suntuk. Tapi kini dengan kapal terbang, dalam masa satu jam sahaja, kita sudah sampai."

"Ohh..begitu. Saya faham. Begitu juga apabila kita mahu berhubung dengan seseorang yang berada ribuan kilometer jauhnya, kita dapat berhubung dengan sekelip mata sahaja."

"Ya, betul."

Begitulah kemajuan dunia masa kini. Hinggakan kadang kala kita terleka bahawa kemajuan ini menjarakkan perhubungan sesama kita.

"Bagaimana?"

Semua itu terpulang kepada diri masing-masing menguruskan masa. Kanak-kanak lebih suka duduk di depan komputer dan televisyen berbanding berkejaran di lama rumah. Berbeza dengan apa yang dilalui oleh saya ketika dahulu. Mungkin juga tuan-tuan pun maklum hal ini. 

Hilangnya kemesraan di alam realiti berbanding di alam maya.

"Bagaimana pula?"

Apabila masing-masing sibuk melayan tetamu-tetamu di laman sosial, maka tidak dihiraukan insan terdekat. Sibuk katakan. Senyum sendirian. Ketawa sendirian. Asyik masyuk di dunia maya. Rasanya lebih tenteram berbanding alam realiti.  Bagaimana perasaan mereka yang terdekat apabila melihat kita lebih pentingkan perasaan rakan 'chatting' semata-mata.

"Entahlah, dunia akhir zaman." Teman mengeluh.

"Bukan begitu."

"Habis itu, bagaimana?"

"Hmmm."
Inilah harga perlu dibayar dengan kemajuan diterima.

Alam maya dipenuhi dengan jutaan manusia dengan pelbagai ragam dan budaya. Jika salah pilih teman, buruk padahnya. Berapa ramai yang pada mulanya merasakan dunia ini ana yang punya, akhirnya menangis tanpa lagu. Kecewa. Rupa-rupanya intan yang ditemui itu rupanya kaca yang melukakan.

Ramai pula gadis-gadis muslim tanpa segan menayangkan aurat masing-masing kepada jutaan manusia di laman sosial  atau blog. Tanpa segan silu. Bermegah dengan kecantikan diri. Hidung kembang kempis apabila dipuji. Perasan atau tiada perasaan bersalah?

Harus bagaimana?

Kita harus bijak membahagikan masa untuk berada di alam maya dan juga di alam realiti penuh makna ini. Lihat kiri kanan apa yang berlaku. Jangan pula bila masanya, kita akan menyesal apabila orang-orang terdekat semakin menjauh dan tidak hiraukan kehadiran kita di samping mereka. Mereka juga ada perasaan.

Sungguh sukar untuk berubah jika putaran masa harian dipenuhi dengan dunia maya semata-mata. Jika tidak dapat masuk ke laman sosial untuk satu malam, boleh demam. Masya-Allah. Kerdilnya kita.

Jangan terlalu TAKSUB dengan dunia internet semata-mata. Jengok juga jiran sebelah. Lihatlah juga masyarakat sekeliling. Kunjungi surau terdekat. Bergaul dengan masyarakat. Jangan pula waktu terdesak baru dicari siapa imam, siapa bilal, siapa ketua kampung.

Tapi...laman sosial juga banyak disulami tazkirah dan nasihat
Memang tidak dinafikan itu semua. Memang betul. 100% sokong. Ia tidak salah dan seharusnya kita juga menulis status yang berkenaan. Kata-kata nasihat, ungkapan ucapan para ulama, hadis-hadis nabi dan juga firman Allah SWT.

Walaupun MATLAMAT itu betul dan baik untuk komuniti alam siber ini, kita harus juga pandang dalam sisi orang terdekat. Apa yang mereka rasa jika kita hanya sibuk dengan urusan di depan skrin semata-mata. Kalau kerja pejabat sekali pun, apabila di rumah ia juga perlu ditimbang tara agar tidak menimbulkan suasana kurang enak di kalangan orang terdekat.

Masing-masing perlu muhasabah diri. Begitu juga diri saya yang banyak kealpaan dan kekurangan ini. Sama-sama berubah untuk kebaikan.

Wallahualam.

0 Komentar: