PBAKL 2013.
Posted: Monday, April 29, 2013 by WZWY in
0
ALHAMDULILLAH dengan izin-Nya saya masih diberi ruang dan peluang berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 buat kesekian kalinya sebagai pembaca dan penulis. PBAKL ini boleh diibaratkan sebagai program kemuncak para penerbit dan penulis memasarkan produk masing-masing.
Pada tahun ini doa saya dimakbulkan Tuhan apabila buku motivasi kedua saya 'Cikgu, Anak Saya Okey?' sempat diterbitkan sebelum PBAKL ini berlangsung. Saya juga memperoleh bonus apabila pihak Galeri Ilmu Media Group (GIMG) bersetuju menerbitkan siri komik Geng 5A yang sebelum ini disiarkan di dalam majalah ASUH sejak Januari 2012.
PBAKL kali ini juga begitu meriah sekali apabila ramai penulis datang dan mempromosikan hasil karya masing-masing. Syukur kerana masih diberi nikmat ilham untuk terus berkarya.
Seperti biasa rakan penulis akrab saya di GIMG seperti Tuan WebSutera dan Tuan Syed Alwi akan hadir ke PBAKL ini bagi memeriahkan lagi gerai GIMG yang tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang pencinta buku. Memang tidak dinafikan aura Prof. Kamil, Puan Roza, Tuan Syed Alwi, Ustaz Pahrol, Ustaz Hasrizal serta penulis muda Tuan Hilal Asyraf begitu kuat sekali seiring nama besar GIMG dalam dunia penerbitan buku dewasa ini. Buku-buku hasil karya mereka sering menjadi 'buruan' pencinta buku. Doakan saya juga sebagai 'penulis kecil' ini mampu berada searas dengan nama-nama besar ini suatu hari nanti.
Walaupun kita dalam 'mood' PRU 13, namun ia bukan suatu alasan bagi penggiat dan pencinta buku untuk terus memeriahkan lagi suasana PBAKL kali ini. Semua penerbit dan pengedar buku telah memasang strategi masing-masing terutama menurunkan harga buku sehingga 30%.
Jom! PBAKL masih lagi berlangsung sehingga 5 Mei 2013.
Selamat membeli belah di sana.
Wassalam.